Oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
Permulaannya saya bersyukur apabila Umno menghentikan amalan mengalung bunga ke Tugu Kebangsaan walaupun ianya adalah suatu tindakan yang terlalu lewat setelah mereka bergelumang dengan amalan syirik itu sejak 22 tahun yang lalu setelah Fatwa Syirik dari Majlis Fatwa Kebangsaan digazetkan .
Saat semua pihak menumpukan perhatian kepada gaya pendekatan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri yang dikatakan mula mendapat sokongan 68% , tindakan Datuk Najib menghentikan amalan syirik yang sekian lama diamalkan oleh Kerajaan Umno dan BN sangat dialu - alukan
3. Amalan syirik ini pernah dihentikan seketika di zaman Tun Dr Mahathir tetapi malang edisi syirik itu terus disuburkan kembali oleh pendiri mazhab Islam Hadhari di zaman Tun Abdullah . Alhamdulillah , Datuk Seri Najib kembali menghentikannya dan harapan kita agar ia terus dihentikan buat selama - lamanya .
4. Namun malang , apa yang dikatakan Umno ialah sebuah parti yang dasarnya terus memburu dosa dan selesa untuk terus bergelumang dengan dosa . Manakan tidak , sejurus mereka menghentikan amalan syirik mengalung bunga ke tugu kebangsaan , mereka cipta satu lagi dosa besar yang lain iaitu Judi Sukan .
Firman Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil ?”.
5. Perdana Menteri telah mengemuka cadangan untuk menghalalkan Judi Sukan di dalam negara kita sewaktu menghadhiri Persidangan Asia Credit Suisse kali ke 13 di Hong Kong . Saya kira ini adalah cadangan yang sungguh tidak bertanggungjawab . Bukan sahaja tidak mengambil kira soal dosa pahala tetapi juga dilihat sebagai satu usaha untuk terus menjerumuskan negara dan rakyat ke lembah maksiat serta mungkar .
Pengumuman oleh Timbalan Menteri Kewangan Dato' Dr Awang Adek jelas membuktikan bahawa cadangan Perdana Menteri benar - benar mahu dilaksanakan tanpa mengambil kira soal dosa pahala dan sentimen rakyat yang beragama Islam .
6. Antara hikmah mengapa Islam mengharamkan judi adalah sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Dr. Yusof al-Qaradawi antaranya :
a- Kerugian mendorong pihak yang kalah untuk mengulangi lagi, barangkali dengan ulangan yang kedua itu dapat menutup kerugiannya yang pertama. Sedang yang menang, kerana didorong oleh enaknya kemenangan, maka ia tertarik untuk mengulangi lagi. Kemenangannya yang sedikit itu mengajak untuk dapat lebih banyak dan sama sekali dia tidak ingin untuk berhenti.
Begitulah berkaitnya putaran dalam permainan judi, sehingga hampir kedua putaran ini tidak pernah berpisah. Dan inilah rahsia terjadinya pertumpahan darah antara pemain-pemain judi.
b- Hobi ini merosakkan masa dan aktiviti-aktiviti kehidupan dan menyebabkan si pemain-pemainnya menjadi manusia yang tamak, mereka mahu mengambil hak milik orang tetapi tidak mahu memberi .
Selamanya pemain judi sibuk dengan permainannya, sehingga lupa akan kewajibannya kepada Tuhan, kewajibannya akan diri, kewajibannya akan keluarganya dan kewajibannya akan ummat keseluruhannya .
Tidak terlalu jauh kalau orang yang asyik itu akan berani menjual agamanya, harga dirinya dan tanah airnya, demi permainan judi. Kecintaannya terhadap hidangan ini akan mencabut kecintaannya terhadap barang lain, atau nilai apapun.
Keasyikan ini dapat menaburkan benih permainan judi dengan segala macam cara. Sampai pun tentang harga dirinya, keyakinannya dan bangsanya, akan rela dikorbankan demi terlaksananya pekerjaan yang sia-sia ini.
Betapa benarnya dan indahnya susunan al-Quran yang mengkaitkan arak dan judi ini dalam satu rangkaian ayat dan hukumnya, sebab bahayanya terhadap pribadi, keluarga, tanah air dan moral adalah sama.
Betapa benarnya al-Quran yang telah menjelaskan kepada kita, bahwa arak dan judi adalah salah satu daripada perbuatan syaitan; dan kemudian diikutinya dengan menyebut berhala dan azlam serta ditetapkannya kedua hal tersebut sebagai perbuatan yang najis dan harus dijauhi.
Judi yang terdapat di dalam sukan :
a- Menentu dan mengatur perlawanan
· Sebelum pertandingan bermula keputusan perlawanan sudah ditentukan
· Sogokan akan diberikan kepada atlit atau pegawai perlawanan untuk mengatur keputusan pertandingan
b- Bertaruh keputusan pertandingan
· Peminat sukan akan bertaruh untuk satu-satu pertandingan contoh bola sepak. Peminat akan bertaruh dari segi keputusan pertandingan mahupun jaringan.
Impak sekiranya perjudian ini diteruskan di dalam sukan negara kita:
a. Mencemarkan imej Malaysia selaku sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi .
b. Kualiti dan mutu sukan di Malaysia juga akan merosot sekiranya unsure-unsur perjudian sudah bertapak di dalam arena sukan di Malaysia . Ini kerana pertandingan yang diperjudikan itu telah diatur kemenangan mahupun kekalahan masing-masing .
c. Menjejaskan kepercayaan yang datang dari peminat-peminat sukan .
d. Bayaran yang dibuat kepada seseorang secara personal demi merealisasikan pertaruhannya akan menyebabkan hubungan di antara ahli sukan yang sepasukan boleh terjejas.
p/s :
Judi juga adalah di larang di dalam agama - agama lain .
1. Kristian
Begitu juga dalam agama Kristian, perjudian dikutuk keras sebagai amalan diskriminatif yang menguntungkan satu pihak dan menganiaya satu pihak yang lain hingga meleburkan nilai-nilai kehormatan dan kemanusiaan seseorang sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya The New Testament (Mark 12:31).
2. Buddha
Bagi agama Buddha pula, perjudian dikutuk sebagai amalan yang jahat kerana ia menuntun kepada pelbagai natijah negatif yang mampu memporak-perandakan kehidupan. Dalam sebuah teks Buddha, Digha Nikaya, disebutkan bagaimana amalan perjudian mampu menjelmakan krisis moral yang parah termasuklah mencetuskan kebencian sesama manusia, menghancurkan harta benda dan menghakis kepercayaan masyarakat dan kerabat terhadap seseorang.
3. Hindu
Pengharaman judi turut disebut dalam teks agama Hindu yang dikaitkan dengan pelbagai krisis nilai dan pendangkalan moral seperti hancurnya nilai amanah, hilangnya perasaan kasih sayang pada masa yang sama membiak amalan penyelewengan, menggejala nilai pembaziran dan membudaya pengabaian tanggungjawab dalam masyarakat (Tirukkural, 94: 931-940).
Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment