Oleh Subky Latif
LEBIH 20 tahun lalu Datuk Zaid Ibrahim pernah menghantar notis menyaman saya kerana tulisan saya mengkritiknya.Jika saya tidak silap ketika itu dia dalam tempoh peralihan dari seorang aktivis Majlis Peguam Malaysia kepada aktivis UMNO.
Kesnya saya mengkritiknya lebih dari sekali yang mensifatkan dia seorang yang mengikut bahasa Kelantan gedebe.Notisnya itu minta membuat permohonan maaf dalam masa dua minggu dan menghalang saya dari mengulangi kritik seperti itu.
Sepanjang kerjaya saya sebagai penulis sejak tahun 1962 tidak pernah kena saman. Pada hal kritik itu jauh lebih tajam dari kritik terhadap Zaid. Tetapi Zaid sau-satunya orang yang menyaman saya.
Saya rasa saya berani tetapi apabila menerima notis saman Zaid itu kecut juga.
Saya terfikir juga untuk membuat permohonan maaf terbuka, tak kira salah atau tidak bagi mengelakkan pergi ke mahkamah.
Banyak payahnya kalau turun naik mahkamah. Sebagai orang tak berduit yang menyusahkan saya tentang notis itu ialah implikasi kewangannya.
Tiada urusan guaman yang percuma. Untuk menjawab notis itu tentunya memerlukan duit. Belum lagi sampai ke mahkamah dan belum lagi kalau kalah perbicaraan. Nescaya habis duit yang ada bagi menghadapinya.
Nasihat rakan-rakan peguam, jangan minta maaf. Kena lawan.
Semuanya akan menelan duit. Sedang duit tak ada.
Saya diamkan saja.
Ada juga selepas itu penyampai notis cuba menyampaikan notis saman tetapi saya mengelak menemuinya.
Antara tujuannya membuat notis saman itu ialah mahu menghalang saya dari mengulangi mengkritiknya. Saya kira ini tujuan utamanya.
Bagaimana kalau saya penuhi kemahuannya itu?
Ia tindakan yang terbaik. Saya penuhi tuntutannya dengan tidak lagi mengulas apa-apa saja mengenainya. Dengan tindakan itu moga-moga Zaid tidak memanjangkan lagi notisnya.
Saya tidak menyampaikan apa-apa maklumat kepadanya tentang reaksi saya terhadap notisnya. Saya niat seorang diri, cukuplah kritik terhadapnya terhenti setakat itu, dengan doa dia lupa tentang notis samannya.
Allah perkenankan reaksi tersembunyi saya itu dan tidak ada lagi penyampai notis mencari saya. Sudah lebih 20 tahun hal itu berlalu.
Saya hanya menulis tentangnya setelah dia menjadi calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Pokoknya Zaid tetap gedebe seperti dulu juga. Tetapi gedebe itu tidak semestinya negatif. Seperti Tok Guru Nik Aziz, politiknya gedebe juga. Lazimnya gedebe Tok Guru itu positif.
Gedebe Zaid juga pada saya positif. Dalam keadaan kes disiplin terhadapnya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu belum jelas, dia diangkat menjadi menteri. Sebagai menteri dia memulihkan imej Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan beberapa rakan hakim yang ditribunal oleh regim Dr. Mahathir dulu.
Dia berjaya mengusahakan ganjaran kewangan untuk hakim-hakim yang malang itu sebagai tanda muhibbah negara kepada hakim-hakim yang tidak ada apa-apa kesalahan. Ada digri gedebe dalam tindakannya itu tetapi tindakan itu dikira mulia.
Dia berjanji dengan hakim-hakim itu tidak mengumumkan jumlah ganjaran muhibbah untuk mereka. Tentu dia amat kecewa bila kerajaan BN yang ditinggalkannya itu mengumumkan jumlah itu.
Sejak UMNO berkuasa tahun 1955 tiada menteri meletak jawatan kerana tidak setuju dengan kerajaan. Zaid meletak jawatan kerana membantah tiga orang termasuk dua Cina dikenakan tahanan ISA.
Majoriti Cina dan India adalah anti ISA. Zaid tinggalkan kerajaan kerana membela tiga orang bukan Melayu. Sepatutnya Cina dan India di Hulu Selangor tidak boleh melupakan pengorbanan Zaid atas mangsa ISA itu.
Sebagai calon PRK Hulu Selangor pribadinya dicerca. Zaid mengaku dia bukan malaikat dan banyak melakukan kesilapan semasa dulu terutama semasa menjadi UMNO. Tetapi sekarang dia Zaid baru yang diketahui taubat. Moga-moga taubatnya diterima dan kekal.
Sebelum taubat saya jumpa isterinya tidak bertudung. Setelah dia taubat, isterinya berpakaian kemas.
Zaid Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sama-sama gedebe. Kalau kedua-duanya bergabung, Hulu Selangor boleh bertukar wajah di hari muka. Sayang pengundi Hulu Selangor tidak memilihnya menjadi wakil rakyat, tetapi ia tidak menghalangnya berdua Khalid membangunkan Hulu Selangor berada di belakang Petaling Jaya, Subang Jaya dan Alam Shah
No comments:
Post a Comment