Oleh SRI DIAH
Kata pepatah; kawan yang baik ialah mereka yang menemani kita saat suka dan duka. Bukanlah kawan juga jika kawan itu baik sangat sampai mengambil kesempatan ke atas kita. Bukan juga kerana kebaikan kita dia mahu menjadi sahabat kita.
Di laman komuniti dalam internet kita ada ramai kawan. Bukan sahaja puluhan malah ratusan hingga ribuan orang. Setiap hari, seorang demi seorang berminat untuk menjadi sahabat kita. Setiap hari asal klik sahaja pada laman sosial, ada sahaja rakan yang ingin mendampingi.
Bolehkah saya menjadi sahabat anda? Saya tidak menjual apa-apa... saya cuma hendak mencari sahabat. Ingin berkongsi cerita dan memohon nasihat manalah tahu satu hari nanti saya tersilap langkah; kata-kata itu mulus dan tulus. Namun apakah mereka benar ikhlas mahu berkawan jujur dengan kita?
Dalam hidup ini kita mempunyai banyak pilihan. Setiap hari kita menghadapi pilihan-pilihan. Adakalanya apa-apa yang kita inginkan tidak kita dapat. Ia malah pergi jauh daripada kita. Adakalanya pula, apa-apa yang kita dapat itu bukan merupakan keinginan kita.
Sekiranya kita diberi Allah peluang memilih, mengapa kita memilih untuk perkara yang negatif? Kita adalah raja kepada diri kita dan tersilap pilih itu menunjukkan kita raja yang bertaraf khadam kepada diri kita.
Allah SWT dengan segala sifatnya; yang Rahman dan Rahimnya telah memberi kita pilihan. Dia berikan kita dosa dan pahala. Dan dia menyediakan kita neraka dan syurga. Bukan banyak sangat pilihan... hanya dua sahaja. Dua!
Ke manakah langkah yang kita halakan setiap hari? Tutur bicara kita pula bagaimana? Lihat keliling, siapakah sahabat kita dan apakah kita telah memilih rakan yang sebenar?
Atau jika tersilap pilih sekali pun, kita masih ada masa untuk berubah. Kita ada ruang untuk mematah keputusan. Hentikan persahabatan yang tidak ikhlas. Jangan teruskan berkawan dengan mereka yang dajal, akan menjerumuskan kita ke lembah dosa.
Laman Facebook yang interaktif, Twiter yang asyik berkicau, blog tempat luahkan isi hati, kiriman sistem pesanan ringkas atau tersilap panggilan yang sengaja masuk ke talian kita adalah pintu-pintu yang terbuka luas untuk kita memilih.
Jangan pilih untuk berkawan dengan orang yang akan menjahanamkan masa depan kita. Mereka yang ingkar seruan ke arah kebaikan jangan didekati. Mereka yang mahu mengambil kesempatan jangan dilayan. Mereka yang sengaja menggugat iman kita harus dihapus daripada menjadi sahabat kita. Padam sahaja nama dia!
Milikilah cita-cita besar. Berfikirlah untuk terus maju. Kita dicipta dengan sebaik-baik kejadian. Jangan jadi seorang yang kalah. Jika kita terjatuh apakah ada orang lain yang akan membantu kita untuk bangkit semula?
Dalam meneruskan cita-cita kita haruslah menang. Menang dan menang. Jika ditakdirkan gagal sekalipun, segeralah bangkit. Ini bererti ada janji kita gagal kita tunaikan. Mungkin masih banyak ilmu Allah yang belum kita ketahui Jadi, jangan ulangi kesilapan serupa.
Sebaliknya jika kita berjaya jangan pula bongkak dan sombong. Jangan menunjuk-nunjuk harta kita sedangkan itu semua adalah milik Dia untuk dikongsi bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan. Jangan asyik sangat dalam kebahagiaan kerana semua itu dipinjamkan sementara kepada kita.
Sebaik-baiknya kita mesti diam saat orang lain sedang marah. Kita juga hendaklah tunduk saat orang lain sedang menceritakan kebobrokan mereka. Kita juga hendaklah teguhkan hati saat orang lain membolak-balik hati kita. Kita juga mestilah diam sahaja saat orang lain sedang angkuh.
Kita sudah berada pada Jumaat yang akhir untuk Jun 2010. Saya teringat pada tulisan Sifu Sastera saya, Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad... tulisnya, kita ini ibarat buah di hujung julai.
Betul, amat payah untuk menjadi insan kamil. Ini secebis cetusan untuk anda, untuk diri saya juga.
No comments:
Post a Comment