" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Tuesday, September 21, 2010

Iktibar kes Sosilawati dan kebiadaban polis berkas tahanan ISA

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Dalam keadaan masih uzur dan bercuti panjang sehingga November ini, saya kerap dinasihati agar tidak melakukan aktiviti yang mungkin meningkatkan stress. Saya turut diminta mengurangkan makan di luar (itulah juga nasihat pertama "dietitian" kecil-molek di HUKM dan pesanan berulang kali rakan yang diserang angin ahmar), melakukan senaman ringan secara berkala.

Mulanya saya bercadang hanya untuk mencatat hal-hal santai dalam ruangan ini, bagi mengelak pertembungan dengan mana-mana pihak, apatah lagi dengan mereka yang boleh dan "berkemampuan menyusahkan" saya.

Terpaksa ditangguhkan dahulu beberapa agenda Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) terutama berkaitan kempen memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).

Bersama rakan-rakan sepejabat seperti Tarmizi Mohd Jam dan juga Rashidi Hassan, saya lebih selesa membuat kunjungan hormat mengutip idea memantapkan perjuanganmenuntut kebebasan media yang lebih menyeluruh.

Ramadan lalu juga saya menziarahi beberapa bekas wartawan Harakah yang kini terlantar uzur, misalnya bekas Pengarang,Yusuf Jalil di Kampung Nakhoda, Batu Caves dan Ustaz Mashudi Bunyani, bekas Pengarang Rencana di Sungai Penchala, Damansara.

Kedua-dua mereka diserang stroke yang serius.

Terbaru, saya dikejutkan dengan berita malang rakan karib, Samsuri Roslan, bekas pemilik majalah proreformasi yang diharamkan KDN pada November 1999, Detik, yang juga wartawan berpengalaman akhbar Watan, kini penulis Siasah. Samsuri juga diserang angin ahmar semasa beraya di rumah mentuanya, di Gerik, Perak, jam 3 pagi hari raya keempat.

Saya berkejar ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh. Memang memenatkan. Itulah perjalanan paling jauh selepas operasi pembedahan pintasanj antung empat bulan lalu. (Aidilfitri baru ini pun saya terpaksa memendam rindu amat sangat kepada sanak-saudara dan rakan-taulan di kampung halaman, Tunjang, Kubang Pasu). Samsuri belum sedar. Memang menyedihkan keadaannya.

Namun, seperti orang lain juga, apabila membaca akhbar, melayari internet dan menonton berita tv mengenai kes pembunuhan Dato' Sosilawati Lawiya, pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV), 47, bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, tidak dapat tidak ia pasti mendorong satu rasa tersendiri.

Macam-macam cerita, gosip dan ulasan yang kita dengar. Tentunya lebih banyak dari sumber tidak rasmi terutama selepas pihak polis begitu lambat memaklumkan perkembangan semasa.

Keghairahan ingin tahu pihak awam tidak boleh ditutup dengan arahan pihak berkuasa semata-mata. Yang penting, maklumat berwibawa harus sentiasa dikemaskinikan. Jika tiada info pihak berkuasa, jangan salahkan rakyat yang lebih percaya sumber lain.

Bukan rahsia lagi apabila cara pengendalian pihak polis terhadap banyak kes membabitkan orang hilang, malah termasuk kes pembunuhan di siang hari, dikritik hebat rakyat.

Sehingga ada yang berani mendakwa bahawa polis Kuala Langat "telah dibeli". Tuduhan itu mungkin tidak disertakan dengan bukti (banyak perkara tidak dapat disahihkan dengan dokumen namun ia seperti sudah menjadi rahsia umum), tetapi itulah antara gelodak rasa masyarakat awam yang masih bersimpul.

Ada pihak melihat pihak polis tidak menjalankan siasatan secara serius dan berlaku kecuaian yang ketara terhadap aduan yang dilaporkan, terutama membabitkan "orang tidak berdarjat".

Keresahan ini bukan hanya baru tersingkap dalam kes membabitkan suspek yang sama dengan pembunuhan Sosilawati tetapi ia agak kerap menjadi bualan awam sebelum ini.

Saya bersetuju bahawa kes ini tiada kaitan dengan isu perkauman, seperti ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (dengar kata Ismail sederhana orangnya, tetapi mampukah ia membebaskan PDRM daripada kongkongan pihak ketiga, seperti dakwaan Tan Sri Musa Hitam beberapa hari sebelum beliau bersara?).

Walaupun semua mangsa adalah Melayu dan suspek pembunuhnya adalah India, hal sensitif itu langsung tidak berbangkit. Difahamkan, semasa pertemuan Ismail dengan masyarakat sekitar pun, isu yang dibangkitkan lebih kepada "konflik antara dua darjat".

Sejak lama orang ramai tidak berpuas hati dan merungut dalam diam tentang fenomena menyedihkan itu. Masing-masing mungkin boleh mengemukakan hujah, jika mangsa orang biasa ada kalanya pihak berkuasa seperti "buat tidak kisah" sahaja.

Ditakdirkan ia membabitkan golongan ternama tentulah heboh satu negara. Kes Sosilawati tersirat iktibar sehingga mampu menyelongkar kes-kes hilang yang juga sama seriusnya.

Pembunuhan tetap satu kekejaman yang tiada taranya biar membabitkan siapa pun mangsanya. Dalam senarai jenayah, kes pembunuhan memang terletak di tingkat paling tinggi, sama ada ia membabitkan rakyat bawahan ataupun raja pemerintah.

Kecuaian tidak boleh diterima sama sekali, apatah lagi bersikap acuh tak acuh dalam siasatan.

Suka saya merujuk kes kematian T Selvi, 46, isteri seorang pemilik bengkel di Banting, P Balasandram, 54. Beliau mendakwa kes berkenaan juga ada kaitan dengan suspek utama yang sama, seorang peguam.

Semua akhbar menyiarkan dakwaan Balasandram itu, berkaitan dengan urusan pinjaman wang sejak 2006 membabitkan suspek yang menyediakan dokumen perjanjian.

Balasandram juga mendakwa, pada Disember 2008, peguam itu telah mengupah dua lelaki menyerangnya dengan parang di bengkel keretanya menyebabkan kedua-belah bahunya, kening, kepala dan hidung mengalami cedera parah.

Kemuncaknya, apabila isterinya, Selvi, dibunuh setelah diserang di kawasan rumah mereka. Isterinya ditikam di bahagian dada, perut pada April 2009 kira-kira pukul 5 petang. "Sehingga kini kes saya diserang dan isteri dibunuh masih belum selesai," ujarnya.

(Bayangkan, kes berlaku di siang hari, di depan rumah. Saya tidak mahu berkomentar panjang. Apa mesej yang mahu disampaikan pembunuh dan dalangnya? Fikirkan sendiri).

Beberapa kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek sama turut timbul kembali sekarang, dikhuatiri membabitkan sehingga sembilan kematian, dengan modus operandi hampir sama. Misalnnya misteri kehilangan dua sahabat yang juga ahli perniagaan dari Sungai Petani, sejak 9 April lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang turut mendedahkan pihaknya akan melihat kembali beberapa kes pembunuhan yang belum dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa tahun lalu, khususnya membabitkan kematian lima peguam.

"Imej negara merudum dengan dakwaan hakim boleh dibeli, dan jangan rosakkan lagi dengan tuduhan polis pun terbabit dengan perangai buruk yang sama," tegur seorang peguam.

"Seteruk-teruk keadaan di Singapura pun, hanya kes-kes membabitkan kepentingan kerajaan sahaja yang 'boleh dibeli" tetapi mereka berada di peringkat kelas pertama bila membabitkan kes-kes sivil," tambahnya.

II.

Akta drakonian yang perlu dimansuhkan segera, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mungkin tidak menelan korban terbaru daripada kalangan tokoh-tokoh terkemuka, namunia bukan bermakna penentangan terhadapnya boleh reda begitu sahaja. Ia tetap menjadi alat dan perkakas buat pemerintah dan elit penguasa mempertahankan kuasa terutamaapabila berdepan situasi sulit.

Penganiayaan dan ketidakadilan mesti ditentang meskipun kezaliman itu menyentuh orang biasa yang tidak berpangkat. Hak wajib dipertahankan walaupun ia hanyamenyinggung individu tidak bernama.

Agak sedih memikirkan realiti bantahan terhadap ISA hanya memuncak jika ia menyerkup pemimpin popular tetapi tidak dipedulikanapabila menyerat orang yang kurang dikenali.

Ketika mengendalikan tabung khas membantu mangsa ISA, saya berpeluang mendekati keluarga malang yang ditinggalkan, sehingga ke Sandakan, dan mutakhir ini menjejaki bekas tahanan yang tidak begitu bernasib baik.

Pada penghujung Ramadan lalu, hampir RM60,000 berjaya diagihkan, sumbangan pembaca Harakah yang begitu prihatin dengankisah-kisah pilu yang kami hidangkan.

Beberapa hari menjelang Syawal, saya bersama isteri dan anak sempat mengunjungi seorang isteri yang menjadi mangsa terbaru ISA. Kediamannya tidak jauh dari rumah kami. Suami Khairun Nisa, Mustawan Ahbab, ditahan pada hari pertama Ramadan lalu, jam 7.15 pagi. Selalunya, keluarga tahanan yang baru dicekup jarang sekali mahu bertemu media.

Anggota polis Cawangan Khas (SB) bijak dan licik menasihati isteri tahanan agar tidak mendekati NGO hak asasi manusia, seperti Suaram, apatah lagi yang aktif memperjuangkan pemansuhan ISA seperti Gerakan Mansuh ISA (GMI).

Mereka dijanjikan pembebasan orang yang tersayang jika tidak menghebohkan kes penangkapan melalui media atau mengambil tindakan mahkamah.

Berbeza sekali dengan Khairun Nisa dan kakaknya, yang tinggal bersama beliau. Mereka kelihatan tenang dan tabah. Kami dijemput naik penuh mesra. Apabila meminta izin untuk merakamkan pertemuan di malam-malam akhir Ramadan itu, tanpa ragu-ragu Khairun Nisa membenarkan.

Saya tidak pasti apakah SB semakin giat meracuni pemikirannya selepas kisah ini disiarkan atau ada tindakan lain bagi mencalarkan hubungan baik itu?

Sudah pasti pihak polis tidak mahu publisiti berlebihan terhadap "aktiviti mereka yang tidak menyenangkan itu".

Masakan tidak, saya dimaklumkan, satu ketumbukan anggota polis, lengkap bersenjata, siap dengan alat pengesan bom (termasuk memeriksa segala pakaian kotor dalam mesin basuh), memecah masuk rumah sewa Khairun Nisa - tentunya secara tidak beradab, kalaupun tidak biadab - yang disediakan majikan suaminya.

Apartmen mereka betul-betul berdepan dengan balai polis, hanya dipisahkan dengan satu lorong kecil.

Tanpa mendengar sebarang ketukan di pintu, apatah lagi lafaz salam, pintu depan dipecahkan. Puluhan polis menyerbu masuk, sudah pasti berkasut, sehingga mengotori ruang solat keluarga berkenaan (ingat kes propaganda Umno apabila ahli Parlimen DAP masuk surau Ramadan lalu).

Lucunya, sebaik Mustawan Ahbab, 34, meluru ke pintu di awal pagi pertama puasa yang hening itu, tangannya terus digari, melekat dengan grill pintu yang memang tidak pernah dikunci pun.

Dalam keadaan itu, pihak polis sendiri tidak dapat masuk ke dalam rumah sehinggalah diminta dilepaskan dahulu gari.

"Apa punya operasi? Lebih daripada menangkap penjenayah paling berbahaya," getus isteri saya, perlahan. "Lebih teruk daripada Zionis," tambah kakak Khairun Nisa. Saya perhatikan wajahnya menyimpan rasa geram dan marah.

Sambil memangku anak tunggalnya yang berusia satu tahun lapan bulan, Khairun Nisa bercerita dengan tenang. Suaminya seorang jurujual dengan sebuah syarikat pengedaran buku-buku akademik universiti, tidak jauh daripada apartmen mereka.

Saya rasa anak kecil itu demam dan tidak sihat. Dia kerap merengek. Mungkin teringatkan ay[jihad.png] ahnya yang dibawa pergi begitu sahaja.

Tiga hari sebelum itu saya bertemu beberapa orang kenalan baru, di rumah dan juga di pejabat Harakah, yang merupakan bekas tahanan ISA daripada "kumpulan KMM", yang diperkenalkan oleh Cikgu Non (Zainon Ismail).

Mereka turut bercerita soal "kejahatan" anggota SB tertentu, yang licik mengatur gerak bagi meruntuhkan rumahtangga keluarga tahanan. Ya Allah, kezaliman atas kezaliman. Bertindan-tindih. Tidak cukup dengan siri penyeksaan ditambah bebanan yang lebih memeritkan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111