Pemimpin sanggup menghina Islam secara halus dengan menaungi pertunjukan fesyen pakaian yang jelas berelemenkan penghinaan terhadap agama, rakyat masih menyokongnya.
Pemimpin ingin menghalalkan judi bolasepak, rakyat masih menyokongnya. Sokongan kepada UMNO/BN ini seolah-olah tidak berkait dengan dosa dan pahala. Inilah yang dikatakan sekularisme yang ditolak oleh agama.
Ingatlah bahawa manusia hanya berada pada satu kondisi daripada empat kategori. Pertama, manusia yang Islam di sisi manusia dan Islam juga di sisi Allah. Orang seperti ini diakui Islam oleh masyarakat yang menyaksikan corak kehidupannya yang melaksanakan perintah Allah dan di sisi Allah pula diterima sah Islamnya kerana Allah lebih tahu benar keislamannya.
Kedua, orang yang Islam di sisi manusia tetapi kafir di sisi Allah. Orang seperti ini dianggap Islam oleh masyarakat kerana namanya dan cara hidupnya. Apabila mati, orang seperti ini dikebumikan di perkuburan Islam. Namun di sisi Allah, hanya Allah yang tahu bahawa orang ini adalah kafir kerana telah terbatal akidahnya sama ada dari sudut kata-kata, iktikad dan perbuatannya.
Ketiga, manusia yang kafir di sisi manusia tetapi Islam di sisi Allah. Keadaan ini berlaku kepada orang kafir yang menyembunyikan keislamnya kerana sesuatu sebab atau setelah memeluk Islam dia tidak sempat melaksanakan syariat Islam kerana menemui ajal.. Orang tidak sedar bahawa dia telah menerima Islam. Keluarganya akan mengkebumikannya di perkuburan agama asalnya namun Allah telah menerima keislamannya.
Keempat, orang yang kafir di sisi manusia dan kafir juga di sisi Allah. Semasa hidupnya dia memang diakui kafir berdasarkan anutan dan cara hidupnya . Di sisi Allah juga dia adalah kafir.
Yang perlu dikhuatiri oleh kita ialah kategori kedua itu. Kita bimbang sekiranya kita termasuk ke dalam golongan tersebut. Kita mungkin tidak sedari ucapan, iktikad dan perlakuan kita telah membatalkan syahadah kita. Amat malang andai kesombongan kita untuk mendengar dan merenung nasihat ulamak akhirnya menyebabkan kita terjerumus ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.
Sebelum berlaku bala akidah ini, baik kita muhasabah diri untuk melihat sejauh mana keislaman kita. Mana mungkin orang yang tahu akidah dan syariat Islam sanggup mengundi parti dan pemimpin yang ingin merosakkan dan menyesatkan rakyat dengan idea hub hiburan maksiat, kelab malam diperbanyakkan dan kemasukan artis dilonggarkan. Mana mungkin orang yang menghantar dahinya ke tempat sujud sanggup memilih parti dan pemimpin yang jelas menghina agama dengan merestui pertunjukkan busana durjana dengan menampalkan nama Islam dan nama junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. Mana mungkin orang pernah berlapar di bulan Ramadhan sanggup memilih dengan tangannya parti dan pemimpin yang jelas menolak hukum Allah, hukum hudud dan hukum qisas dengan pelbagai alasan mengikut akal sendiri. Mana mungkin orang yang berzakat sanggup memberi undi kepada parti dan pemimpin yang menyumbat mulut rakyatnya dengan pendapatan arak dan judi. Mana mungkin orang yang pernah tawaf di Baittullah sanggup berkiblatkan pemimpin dan parti yang sesat lagi menyesatkan. Mana mungkin Islam begini?
Segala-galanya sudah terang lagi bersuluh. Rakyat maklumi gelagat pemimpin dan parti UMNO/BN baik dari segi gelagat, tindakan dan dasar mereka. Media cetak, media eletronik dan media baru menyiarkan secara terbuka ucapan pemimpin yang mahu menjadikan Malaysia destinasi hiburan antarabangsa, penglibatan pemimpin dalam Islamic Fashion Festival, laporan parlimen tentang lesen arak dan judi dan sebagainya. Ini bukan lagi andaian apalagi fitnah. Semuanya terucap oleh pemimpin mereka dan disiarkan pula oleh media massa mereka juga.
Apakah erti dua syahadah yang diucapkan kalau lain di lidah lain pula tindakan? Apakah erti solat kalau di luar solat bergelumang dengan amalan toghut? Apakah erti puasa kalau tak faham tuntutan agama? Apakah erti zakat kalau merelakan ekonomi negara membiakkan riba dan hasil mahsul yang haram? Apakah erti haji kalau di jamrah melontar syaitan manakala pulang mengiyakan kehendak-kehendak syaitan?
Tulisan ini penulis lontarkan atas dasar kasih sayang agar terselamatlah umat ini di atas akidah yang benar. Sampai bilakah lagi sensitivi agama tidak menyentuh keinsafan dan intelek umat? Kalau sudah jelas parti dan pemimpin bercanggah dengan agama, apalah balanya pemimpin mencipta lubang neraka kita juga ikut ke lubang neraka. Ingatlah dan tilik pandanglah di mana kedudukan kita di sisi Allah. Adakah benar kita bukanlah manusia yang berada dalam kategori kedua yakni Islam di sisi manusia tetapi kafir di sisi Allah? Fikir-fikirkanlah. Tepuk dada tanyalah iman.
Penulis menutup tulisan ini dengan satu peringatan yang cukup jelas dari firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 7 hingga 10 yang bermaksud:
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
No comments:
Post a Comment