Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Hampir semua parti politik yang dijangka mengadakan pemilihan kepemimpinan pusat pada 2011 menangguhkan agenda penting itu. Tumpuan tentulah mahu difokuskan sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13. Pertandingan dalam parti seringkali mengundang perpecahan, atau sekurang-kurangnya melemahkan kesatuan. Walaupun tempoh penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 2013 tetapi semua pihak berkepentingan pastinya tidak mahu mengambil risiko.
Umno yang memulakan tradisi penangguhan ini. Selepas 1999, pemilihan MKT Umno tidak lagi dijalankan tiga tahun sekali, tetapi hampir lima tahun, iaitu menyamai usia sesebuah kerajaan. Malah tempoh kerajaan di Malaysia lebih pendek daripada penggal barisan kepemimpinan Umno berkuasa.
Selepas Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim pada September 1998, sebagai langkah mempertahankan kuasanya yang dilihat goyang, kita jarang didedahkan dengan spekulasi kerusi no. 1 dan no. 2 dalam Umno akan dicabar. Era singkat Abdullah Ahmad Badawi juga nampak damai di permukaan. Beliau terpaksa melantik Najib Razak sebagai timbalannya, setelah ditunjuk Mahathir.
Muhyiddin memang regu Najib dalam Team Wawasan 1993, iaitu pasukan yang dibentuk Anwar (bersama Muhammad Muhd Taib dan Rahim Tamby Chik) ketika menawarkan perubahan bagi menghadapi Ghafar Baba (bersama Abdulah dan Sanusi Junid). Meskipun pada awalnya dilihat lebih dekat dengan Abdullah, namun Muhyiddin jugalah merupakan tokoh paling lantang mendesak Perdana Menteri kelima itu meletakkan jawatan lebih cepat daripada jadual awal, selepas prestasi buruk BN dalam PRU12.
Maknanya, Muhyiddin secara berani membawa suara hati Mahathir, yang meletakkan kekalahan BN itu sepenuhnya ke atas bahu Abdullah. Sejak itu, Muhyiddin dilihat rapat dengan Mahathir. Berbanding Abdullah, tentulah Mahathir lebih menyenangi Najib. Namun ia tidak menghalang beliau - secara tertutup - untuk melanjutkan kritikannya, termasuk kepada pemerintahan Najib.
Secara luaran, sokongan terhadap Najib nampak padu. Tiada tanda-tanda beliau akan dicabar daripada dalam. Walaupun usia Muhyiddin lebih tua berbanding Najib, dan dijangka tidak akan menggantikan ketuanya itu, kesetiaannya mungkin boleh dipersoal. Semasa Anwar disingkirkan, Muhyiddin dianggap rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Selain itu, Muhyiddin juga dianggap lebih pintar, percaya kepada keupayaan diri dan mempunyai kekuatan intelektual tersendiri berbanding Najib. (Malah, ada pemerhati politik melihat isterinya, Rosmah Mansor, lebih ke hadapan dalam isu atau keadaan tertentu). Sementara Najib pula lebih mudah dipengaruhi dan tidak tetap dalam pendirian. Dalam hal ini, Mahathir tentunya lebih cenderung dengan perwatakan Muhyiddin.
Di peringkat barisan Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein memang cukup rapat dengan Najib. Seorang mempunyai hubungan kekeluargaan dan seorang lagi pengikut setia. Naib Presiden seorang lagi, Shafie Apdal, dijangka bermasalah untuk mengekalkan kedudukannya. Rasanya Najib tiada sebarang masalah dengan Zahid, apatah lagi Hisham.
Di waktu "aman", Muhyiddin mungkin tidak menimbulkan kesukaran kepada Najib dan boleh menjadi regunya yang baik. Bagaimanapun, politik selalu mengundang krisis dan ia mungkin muncul secara tiba-tiba. Jika Najib mengharapkan timbalannya yang setia membuta-tuli - sepertimana Mahathir menginginkan Anwar mengikut apa jua kehendaknya - Muhyiddin bukanlah orangnya.
Bagi mengelak Umno ditohmah parti bangsawan baru, Najib lebih selesa dengan Zahid berbanding Hisham, sementalahan pula sepupunya itu gagal menunjukkan prestasi yang baik. Kementerian yang diterajui Hisham kerap menimbulkan masalah walaupun beliau ditempatkan di kementerian-kementerian strategik, seperti Pelajaran dan Dalam Negeri.
Nasib Umno-BN dalam PRU13 seumpama telur di hujung tanduk. Walaupun begitu, ia tetap tidak mampu mengendurkan keghairahan para pemimpinnya untuk mempersiapkan kelengkapan awal bagi pemilihan kepemimpinan parti untuk sessi akan datang.
II. Usah ghairah kuasai Putrajaya
Selamat bersidang perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua, Ahad ini. Sementara banyak pihak mengharapkan perbahasan lebih tertumpu untuk memperkemaskan strategi menguasai Putrajaya dan mengambil alih kerajaan, elok juga beberapa peringatan agar pengukuhan ke atas pemerintahan tiga negeri sedia ada dimantapkan, diberi perhatian serius.
"Saya tidak bimbang Kelantan," kata seorang veteran politik. "Tapi, kita tidak boleh pandang mudah-rendah usaha BN untuk tawan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Usaha pembaharuan di negeri-negeri ini belum nampak merata. Masa berbaki menjelang pilihan raya perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan perubahan ke atas kehidupan rakyat. Biar mereka terkesan dengan gaya Pakatan Rakyat memerintah. Potensi besar kita di Perak harus diimbangi dengan sokongan lebih meluas pengundi Melayu. Biar kerajaan negeri nanti mewakili semua kaum."
"Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Mungkin ramai yang marah sebab saya seperti antiklimaks. Tak mengapalah ...," tambahnya lagi sambil meminta saya agar mencatatkan, "tolong ingatkan pemimpin dan wakil rakyat Pakatan, penyakit yang menimpa Umno-BN kini sudah menjalar kepada kita, iaitu wabak jangkitan KUASA." (Beliau menekankan supaya saya menulis kalimah "kuasa" dalam huruf besar).
"Pencapaian kerajaan negeri kita belum boleh dianggap cemerlang. Apatah lagi sebaran media kita tidak mencukupi dan kurang berkesan," rungutnya lagi.
Saya juga tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, yang juga dikenali sebagai strategis DAP: "Sebenarnya jika kekuatan kita benar-benar tinggi, kita hasratkan untuk menawan Putrajaya, tetapi agenda mengekalkan apa yang telah kita menang itu sangat penting."
Pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah pula tidak mahu krisis dalaman KeADILan dipandang ringan pimpinan Pakatan. Beliau membandingkan masalah dalaman yang turut melanda PAS, tetapi katanya, pemimpin parti Islam itu "berjaya menyelesaikan dengan cukup cermat dan bijaksana". Tambahnya, ia barangkali akibat daripada KeADILan yang masih belum dapat menguasai dan membentuk satu organisasi yang benar-benar kukuh dari aspek pentadbiran dan pengurusan.
III. Najib dan Altantuya di Wikileaks
Kalau pendedahan Wikileaks hanya menyentuh komen bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes sodomi yang didakwa terhadap Anwar semata-mata, tentulah media dan pemimpin Umno-BN riuh-rendah "7 hari 7 malam" menjajanya bagi meraih kepentingan politik. (Secara kebetulan ataupun terancang, Utusan Malaysia rancak menyerang personaliti Ketua Pembangkang itu dengan menemubual kembali Ummi Hafilda Ali, aktor penting di sebalik fitnah besar terhadap Anwar 12 tahun lalu).
Bukankah sejak awal lagi kes liwat itu "direkacipta" Dr Mahathir semata-mata demi survival kuasanya, dan ia tiada kena mengena langsung dengan soal moral ataupun perundangan? Imej Anwar, yang dilihat seteru paling ketat BN dalam PRU13 nanti, cuba direndahkan sehina-hinanya, terutama pada kaca mata orang Melayu, iaitu khalayak yang masih dipercayai mungkin memberi sokongan kepada Umno.
Malangnya, keghairahan itu tertunda disebabkan Wikileaks turut memuatkan "maklumat" tentang Najib, yang pastinya begitu "menggerunkan" Perdana Menteri. Laporan hasil pandangan peribadi pegawai diplomatik Singapura itu menyebut tentang "masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa dan Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa". Ia secara jelas mengaitkan Najib dengan skandal pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, dengan menekankan "Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu".
Sebenarnya pendedahan laman kontroversi itu sekadar bersumberkan komen peribadi orang-orang tertentu dalam kabel sulit yang dipintas, tetapi belum dapat dipastikan kesahihan faktanya. Media yang dikawal mutlak Umno pula hanya menyiarkan apa yang dirasakan menguntungkan pemiliknya, dan meninggalkan kandungan yang mampu merosakkan imej taukehnya itu. Ibarat orang kelemasan, apa jua yang dianggap mampu menyelamatkannya akan dipergunakan seoptimum mungkin.
Saya tidak menjangkakan komen-komen dalam Wikileaks itu akan membawa masalah besar buat Anwar. Beliau sudah melalui tribulasi yang jauh lebih dahsyat-kejam dan dapat melepasinya. Bagaimanapun, rasa ingin tahu rakyat terhadap isu yang disensasikan itu wajar dimanfaatkan untuk menggemblengkan satu momentum baru, yang tidak terbatas kepada persoalan batang tubuh Anwar. Masyarakat yang dahagakan ketepatan maklumat lebih terdorong untuk mengikuti penjelasan Anwar, dan ini boleh membantut misi jelajah Najib ke seluruh negara yang dijangka bermula awal tahun depan.
"Saya tidur masih nyenyak. Makan makanan enak. Isteri masih cantik dan setia. Alhamdulillah. Mereka mahu melemahkan kita, lagi banyak kita diserang, Alhamdulillah lagi banyak rakyat datang kepada kita," kata Anwar ketika menyampaikan ceramah di tapak pasar malam Taman Melati di Wangsa Maju, 14 Disember lalu, mengulas serangan media berikutan pendedahan Wikileaks.
IV. Lebih baik hidu bau sampah
Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung, saya mudah sesak nafas apabila tersedut asap rokok. Ramai pula kawan-kawan perokok tegar sehingga saya selalu semput dan sukar bernafas. Alhamdulillah ramai perokok yang mula faham tentang bahaya menimpa ke atas orang yang tidak merokok tetapi terpaksa menghidu asap ketagihan mereka.
Malam minggu yang lalu, saya mengajak anak-anak dan isteri minum di restoran mamak. Teringin sekali menikmati capati. Kebetulan ada siaran langsung bolasepak Inggeris. Kerusi hampir penuh. Ada meja kosong di tengah-tengah. Belum pun pesanan tiba, asap rokok berkepul-kepul di kiri-kanan kami. Terpaksa saya menarik keluarga keluar. Mujur ada lima kerusi menanti di tepi longkang.
Lari daripada asap rokok, kami dikelilingi bau tengik sampah. Apa nak buat ...
No comments:
Post a Comment