Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bertekad untuk meneruskan perjuangan meskipun sekiranya ada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dipenjarakan hatta keluar meninggalkan perjuangan ini. Malah DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat akan menggerakkan perjuangan menuntut keadilan dan perubahan terhadap rejim yang korup ini dengan lebih bersemangat bagi memastikan kebangkitan rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13.
Bagi DPPM, doktrin perjuangan PAS dengan meletakkan matlamat perjuangan yang lebih besar iaitu menegakkan Islam di negara ini dengan tidak menjadikan seseorang individu pemimpin sebagai tempat pergantungan sebagai bekal untuk meneruskan perjuangan sekalipun berhadapan dengan kemungkinan akan kehilangan pemimpin.
Bagi ahli dan pendokong PAS, Islam adalah keutamaan dalam perjuangan dan pemimpin sebagai penggerak bagi mengemudi perjuangan ini. Malah PAS pernah diuji dengan pemimpin yang meninggalkan perjuangan ini di tengah jalan namun ia tidak meninggalkan kesan sedikitpun kepada PAS.
Dalam keadaan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan risiko dipenjarakan dengan kes mahkamahnya memasuki fasa terakhir menunggu keputusan, DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat telah mempersiapkan segala perancangan bagi menghadapi risiko sekiranya mahkamah tidak menyebelahi beliau.
Jadual dan aktiviti Pemuda Pakatan Rakyat padat seperti biasa, bahkan mungkin lebih penuh dengan siri penerangan kepada rakyat. Adalah suatu kesilapan sekiranya ada pihak menjangka jika pemenjaraan mana-mana individu akan melemahkan semangat ahli-ahli dan pendokong PR. Sebaliknya ia sebagai pemangkin bagi meningkatkan motivasi dan gerak kerja semua pihak bagi menghadapi PRU ke 13.
DPPM percaya kes yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tanda aras tersungkurnya UMNO-BN dalam PRU ke 13.
Suhu kemarahan rakyat sudah tidak dapat dibendung bagi memastikan kerajaan zalim dan angkuh ini akan dihukum. Rakyat sudah muak dengan politik fitnah secara lucah dan melampau yang direka acap kali sebagai jerat terhadap pemimpin rakyat. Rakyat mahukan gaya politik baru yang bersih dan dinamik merwarnai landskap politik negara.
Akhirnya, DPPM meyakini jika sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, maka lebih ramai pemimpin hebat akan tampil memimpin perjuangan rakyat.
Malahan, DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat sanggup memikul amanah kepimpinan ini jika diberikan kepercayaan oleh pemimpin Pakatan Rakyat demi memastikan kejayaan rakyat keluar penderitaan panjang yang membelenggu mereka selama ini.
Disediakan oleh;
DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment