" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Saturday, December 4, 2010

Warkah Cinta Untuk Dua Tuan Guru

Oleh: BayangDiAir

"Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah dua ikon dan idola bagi pejuang-pejuang Islam di negara kita. Gandingan dua tokoh berkarisma gerakan Islam ini sudah terbukti memberi impak yang besar terhadap perjuangan PAS. Ketokohan TG bukan sahaja diakui di peringkat nasional malah di peringkat gerakan dan negara Islam global TG turut dipandang tinggi. Tuan Guru Nik Aziz dan Kerajaan PAS Kelantan dikenali dan menjadi bahan berita media mereka manakala Tuan Guru Haji Hadi merupakan pemimpin yang sentiasa berdiri di pentas utama.

program gerakan Islam antarabangsa. Kedua-dua TG adalah lambang kesinambungan ulama silam yang berjuang untuk memartabatkan Islam. Namun agar TG kekal relevan untuk terus memimpin parti PAS dan Pakatan Rakyat, TG sewajarnya turut mengambil beberapa pendekatan yang segar dan kontemporari.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am perlu lebih bijak dan bercermat dalam mengulas isu-isu politik. TG seseorang yang berani dan ikhlas. TG tidak takut untuk bercakap apa-apa sahaja selagi benar pada pandangan dan ilmu. Setiap patah kata dipertahankan meskipun diserang bertubi-tubi oleh musuh. Isu ‘Allah Samseng’ yang bergema sedekad yang lalu adalah bukti kekentalan peribadi. Yang mutakhir ialah tentang Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia.

TG sentiasa kelihatan bercakap tanpa segan dan bercakap lepas. Hujah-hujah TG mudah difahami oleh ahli-ahli PAS tetapi belum tentu difahami oleh pengundi atas pagar dan rakyat terbanyak. Ahli-ahli PAS boleh menerima pendapat TG walaupun ada pandangan yang berbeza daripada sebahagiannya. Yang rosaknya ialah kemarahan dan kebencian golongan atas pagar dan rakyat terbanyak. Mereka tidak mendapat maklumat jelas daripada TG. Penjelasan TG tidak akan disiarkan secara jujur oleh media massa arus perdana malah ada tempat ayat-ayatnya dimanipulasikan oleh media lidah syaitan itu.

Di sinilah penulis rasa tidak bijaknya TG dalam mengulas atau mengutarakan sesuatu isu yang berbentuk kontroversi. Bukan cakap dan hujahnya lemah. TG bercakap dengan hujah dan sumber. Tetapi kita harus ingat bahawa kita berjuang untuk menang; bukan berjuang untuk kalah. Kalau berjuang untuk kalah, baik kita balik awal ( meminjam kata Ustaz Azhar yang bermaksud ‘berhenti cepat-cepat’). Memang kalah dan menang itu adat berjuang. Kalah dan menang adalah ketentuan Allah. Allah tidak tanya kenapa kita tidak menang. Allah tanya sama ada kita berjuang atau tidak. Namun matlamat kita semestinya kemenangan kerana dengan kemenangan itulah nanti kita dapat mendaulatkan Islam dan hukum Allah.

Apabila TG bercakap isu yang menyebabkan pengundi atas pagar dan rakyat terbanyak marah bermakna cederalah perjuangan kita. Penulis tidak perlu memfokuskan tentang isu apa yang menyebabkan mereka marah kerana penulis hanya maksudkan kepada ‘bercakap tanpa segan dan bercakap lepas’. ‘Bercakap tanpa segan dan bercakap lepas’ hanya sesuai apabila kita mempunyai radio, Tv dan akhbar harian sendiri. Kita dapat mengetuk pintu rumah setiap rakyat dengan penjelasan yang bernas dan panjang lebar. Justeru pada pandangan penulis, TG sewajarnya jangan mudah ‘bercakap lepas’ dalam isu-isu yang agak kontorversi. Bercakaplah dengan berhemat bagai menarik rambut dalam tepung; rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Kalau perlu diam, baik diam daripada memberi ulasan yang mencederakan. TG sewajarnya mengambil pendekatan TG Haji Hadi dalam hal ini.

Tuan Guru Haji Hadi pula janganlah sekadar berani mendengar kritikan dan bersikap berlapang dada. TG sewajarnya mengambil nasihat dan intipati penting daripada teguran terhadap kepimpinan. Sedia mendengar kritikan tetapi kalau tidak mengambil nasihat daripada kritikan itu tidak ada ertinya juga. Perubahan sikap dan kepimpinan pada tempat-tempat yang patut , perlu dilakukan. TG perlu dilihat berubah seperti mana disarankan.

Antaranya ketangkasan memberi respon terhadap isu-isu semasa. Banyak isu-isu penting dimainkan oleh UMNO/BN namun agak lambat rakyat mendapat respon daripada TG. Sepatutnya TG cepat mendapat maklumat sesuatu isu kerana TG mempunyai pegawai atau setiausaha politik dan akhbar. TG boleh berhubung terus dengan rakan-rakan dalam PAS dan Pakatan Rakyat dalam tempoh segera. Jangan tunggu wartawan datang meminta respon, baru nak cari sumber untuk diselidiki. Malah dalam sesetengah isu sewajarnya TG mengeluarkan kenyataan akhbar segera, bukan kenyataan yang telah dirasakan agak lambat. Bukan memadai dengan sekali kenyataan akhbar sahaja. Kalau perlu, jawab balik sekiranya kenyataan itu dimanipulasikan semula oleh musuh atau perlu kepada penjelasan yang lebih lanjut. TG Nik Aziz kadang-kadang sampai beberapa kali memberi penjelasan dan mematahkan hujah dan permainan kotor lawan. Beliau tidak diam selagi rakyat tidak faham. TG patut mengambil kaedah TG Nik Aziz dalam hal ini.

Di samping itu, TG sewajarnya lebih banyak menyerang sebelum sempat posisi menyerang diambil oleh pemimpin UMNO/BN. Posisi ofensif hanya milik suatu pihak. Kalau suatu pihak telah mengambil posisi itu maka satu pihak lagi terpaksa mengambil posisi defensif. Banyak isu-isu kedurjanaan UMNO/BN padam begitu sahaja kerana TG kelihatan bermain secara selamat atau bersikap ekonomis dalam kata-kata. Sepatutnya TG banyak mengeluarkan idea dan kenyataan yang mampu menggugat kredibiliti UMNO/BN. Jangan pula lontarkan satu kenyataan dan idea lalu terus menyepikan diri.

Kesimpulannya, penulis bukanlah jenis manusia yang suka mencadangkan pemimpin ini berundur dan pemimpin itu diundurkan. Ilmu, ketrampilan , komitmen dan keikhlasan dua Tuan Guru tidak pernah disangsikan oleh sesiapa sahaja yang bersama dalam perjuangan ini. Hanya masa dan peristiwa yang berubah. Perjuangan mahu kedua-dua Tuan Guru kekal relevan memimpin ummah. Justeru itu, kebijaksanaan dan ketangkasan hendaklah sentiasa diberi zat agar kekal sihat dan mapan. Mohon maaf dan salam kasih sayang untuk kedua-dua Tuan Guruku.

lawati: http://bayangdiair.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111