Oleh Subky Latif
NOOR Azam dalam tulisan mingguannya dalam harian yang diterbitkan di Shah Alam bertanya apakah Islam itu agama atau politik? Jawapannya ialah Islam adalah agama dan politik.
Isu ini bukan baru tetapi adalah soalan lama yang sudah banyak diperkatakan dalam masyarakat Malaysia sejak wujudnya parti politik yang berjuang atas landasan Islam.
Pada peringkat PAS baru muncul ketika sama masa dengan Umno diambil alih pimpinannya oleh Tunku Abdul Rahman Putra bahasa yang digunakan ialah agama tidak boleh dicampurkan dengan politik hatta ada mufti menasihatkan orang politik supaya meninggalkan politik di pagar masjid apabila memasuki masjid.
Pandangan yang mengatakan agama tidak boleh dicampurkan dengan politik adalah golongan sekular, suatu fahaman yang memisahkan politik dengan agama.
Pandangan ini tidak terpakai dalam Islam. Ia mungkin tepat bagi agama-agama lain yang mengira bahawa agama adalah urusan spiritual, mengenai peribadatan antara makhluk dengan Tuhan yang menciptanya saja.
Fikiran itu menyimpang dari maksud Islam sebagai agama dan peradaban yang sempurna. Tidak lengkap Islam sebagai sebuah agama jika tidak ada sistem pentadbiran dan cara hidupnya.
Dan politik itu sendiri akan hanyut jika ia tidak dikawal dan dipandu oleh ajaran agama.
Pandangan yang memisahkan politik dan agama dalam Islam ini bukan sekadar menguasai fikiran dan kepercayaan orang politik yang rata-rata mendapat pendidikan barat, tetapi ia juga mengongkong fikiran setengah badan dakwah dalam dan luar negeri.
Setengah kalangan pendakwah tidak menggunakan bahasa jangan dicampur adukkan Islam dengan politik atau politik mesti dipisahkan dari agama, tetapi mereka menggunakan bahasa, mana ada politik dalam Islam.
Politik itu adalah sains bagi mengatur kehidupan dan bernegara. Dunia dan negara itu diwujudkan adalah untuk kegunaan manusia dan untuk ditadbirkan oleh manusia.
Telah wujud jin sebelum manusia yang menduduki bumi tetapi ia tidak ditugaskan untuk mentadbir alam. Ia wujud untuk mengabdikan diri kepada Allah saja. Demikian juga kewujudan malaikat untuk beribadat dan menjalankan perintah Allah semata-mata.
Tetapi penciptaan manusia bermula dengan Adam adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di alam bumi. Kerja khalifah itu adalah kerja politik.
Keseluruhan para anbia menjalankan dua fungsi itu. Ada nabi memimpin umat tanpa menjadi pemerintah tetapi ada nabi menjadi raja dan pemerintah seperti Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan Nabi Ayub. Manakala nabi terakhir Rasulullah saw adalah imam dalam semua bidang baik dalam peribadatan dan urusan kenegaraan.
Al-Quran yang diturunkan bagi menjadi panduan manusia dan jin itu mengandungi urusan peribadatan dan urusan pimpinan serta pentadbiran. Ayat 2 surah al Baqarah bermaksud: Inilah kitab – Al-Quran – tidak ragu lagi adalah panduan bagi orang yang bertaqwa.
Sesiapa yang tidak berpandu kepada al-Quran bukan orang yang taqwa.
Ikrar dalam doa Iftitah di awal solat iaitu ‘solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah seru sekalian alam’. Dari ikrar ini disebutkan ibadat dan kehidupan itu disekalikan. Apakah yang terpenting dalam hidup selain dari politik yang menjadi alat kepada pentadbiran?
Mengeluarkan politik (hidup) dari ikrar ini menjadikan agama Islam itu tidak lengkap. Itulah fahaman sekular.
Sekarang sudah tidak ramai yang bercakap mengasingkan politik dari Islam. Hatta para pemimpin Umno sudah menerima, agama tidak boleh dipisahkan dari politik. Cuma yang kurang ialah tidak bercakap tentang dosa dan pahala dalam urusan dan perbincangan politik.
Golongan dakwah Pakistan yang berpegang tidak ada politik dalam Islam, gempar apabila Benazir Bhutto menjadi Perdana Menteri. Pada mereka ada yang tidak kena dari segi Islam. Mengapa Benazir jadi Perdana Menteri? Sebabnya kira-kira tiga juta yang layak mengundi tidak mengundi atau tidak pedulikan politik yang dianjurkan oleh Islam.
Tanpa disedari golongan dakwah yang mengatakan mana ada politik dalam Islam, telah terperangkap dalam sarang politik sekular sama seperti fahaman politik orang-orang barat yang jelas menentang Islam.
Agama dan politik saling melengkapi Islam yang dibawa Rasulullah saw. Islam itu adalah agama ibadat dan ia juga agama politik. Tidak lengkap Islam tanpa politik dan tidak lengkap ia tanpa ibadat.
No comments:
Post a Comment