Oleh Hafiz Zainuddin
Apabila mereka buka mulut, mereka cuba melabel diri sebagai "hero" dan pembela bangsa. Mereka menjaja nama bangsa mahupun agama demi mengemis sokongan masyarakat. Mereka menggunakan alasan "Hak Melayu yang dijamin perlembagaan" untuk mewujudkan ketidakharmonian antara kaum. Walhal hakikat sebenarnya, mereka cuma mahu mempertahankan "periuk nasi" dan keberlangsungan saki-baki kuasa yang ada.
Persoalan "hak Melayu" sememangnya telah terjamin oleh perlembagaan sampai bila-bila. Persoalannya, siapa yang memperkosa hak Melayu ini selama lebih separuh abad merdeka?
Bayangkan, walaupun bersandarkan dengan fakta-mereka akan terus cuma menegakkan benang yang basah. Saya melihat ia suatu yang sangat bodoh dan tidak matang apabila golongan ini cuba mempolitikkan segala isu yang timbul dan dilihat cuba menggugah keamanan dengan menjerumuskan hampir apa jua isu ini kepada isu perkauman.
myBALIKpulau oh myBALIKpulau
Kali ini isunya bukan kepala lembu, bukan kandang babi, bukan "Cina" masuk surau. Kali ini, isunya adalah mengenai risalah myBALIKpulau yang diterbitkan oleh Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang (Arts-ED) yang dikatakan "menghina Melayu dan sangat berbahaya".
Ada dua kekeliruan yang telah ditimbulkan mereka yang tidak berpuas hati. Pertamanya adalah berkaitan sumber-sumber sejarah yang dituduh "menghina Melayu dan berbahaya". Kedua adalah mengenai "siapa" yang bertanggungjawab menerbitkan risalah tersebut.
Pada 11 Februari baru-baru ini, Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang telah mengeluarkan tiga mukasurat Kenyataan Akhbar yang menjawab semua pertuduhan mengenai sumber-sumber sejarah yang menjadi rujukan. Jelas, terang lagi bersuluh sebenarnya tiada isu panas yang boleh dimainkan.
Mari kita turuti sepintas lalu kronologi myBALIKpulau. Isu ini dibawa oleh ADUN Pulau Betong Muhammad Farid Saad ). Risalah ini seperti yang kita sedia maklum dituduh sebagai menghina orang Melayu, cuba melupuskan sejarah Melayu di Balik Pulau dan cuba mengelirukan generasi muda. Muhammad Farid Saad juga menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pentadbiran Pakatan Rakyat telah menerbitkan risalah myBALIKpulau tersebut.
Maka seperti biasa, Utusan Malaysia akan mula "memukul gendang" perkauman. Pada 2 Februari 2011 terpampang besar tajuk utama berita akbar tersebut "Lupa Sejarah, Hina Melayu" yang dilihat cuba memainkan sentimen perkauman. Ya. Mungkin inilah hakikat sebenar 1Malaysia yang dibanggakan Najib Razak. Jelas, wajah 1Malaysia ini kelihatan sangat capik.
Isu ini tidak terhenti setakat ini. Sejurus selepas itu, pada 9 Februari 2011 sebuah badan yang menamakan diri mereka Gabungan Bela Hak Islam (Gabungan) yang terdiri dari empat NGO mendesak kuat agar Kerajaan Pulau Pinang mengharamkan risalah tersebut dengan sebab yang sama.
Kerajaan Negeri meminta agar Utusan dan Muhammad Farid memohon maaf tetapi tidak diendahkan. Malang sekali buat ADUN Pulau Betong ini. Pada 15 Februari, kerajaan Pulau Pinang bertindak memutuskan untuk menyaman beliau dan Utusan Malaysia. Hal ini disebabkan kerana risalah itu sebenarnya ditaja oleh Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Pelancongan Pulau Pinang bawah kepimpinan GERAKAN-BN. Ini beerti, segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah sesuatu yang berniat jahat.
Agenda Jahat UMNO-BN
Masih tidak berpuas hati dengan "sambutan hangat rakyat". Api perkauman terus-menerus ditiup sebaik mungkin. Pada 16 Februari 2011, beberapa lagi pertubuhan NGO dan individu membuat laporan polis berhubung risalah ini. Pertubuhan NGO tersebut terdiri daripada Pertubuhan Seni Silat Gayung Pulau Pinang, PERKASA, Belia 4B Permatang Pauh dan Johari Ahmad. Pertubuhan Suara Anak-Anak Malaysia misalnya dilihat cuba mengheret Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dengan menyerahkan tiga sampul surat yang mendakwa mengandungi "bukti pembabitan kerajaan negeri" dalam penerbitan dan pengedaran risalah myBALIKpulau ini.
Belumpun isu myBALIKpulau reda, media UMNO memainkan isu perobohan yang melibatkan 1,000 gerai penjaja haram oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai di sekitar Taman Pelangi. Isu ini telah mendapat liputan yang meluas media cetak maupun elektronik. Kerajaan Negeri Pulau Pinang digambarkan "tidak perihatin" kepada nasib yang menimpa masyarakat Melayu. Walhal notis sebanyak empat kali telah dikeluarkan oleh pihak majlis.
Ini semua adalah permainan jahat. Para pemerhati menyimpulkan isu yang dilihat "membakar sentimen" perkauman ini adalah percubaan menjerumuskan kestabilan negeri ke kancah "ketegangan kaum". Dalam banyak-banyak isu yang timbul di Pulau Pinang. UMNO dilihat menjadi dalang utama memanipulasi isu. Bagi pendapat saya, isu ini sepatutnya tidak timbul. Rakyat Pulau Pinang lebih mengetahui perkara yang sebenar.
Soalan saya, apakah ini sesuatu yang bagus untuk rakyat, negeri mahupun negara? Tentu sekali tidak. Soalan saya lagi, sekiranya UMNO-BN berjaya menaikkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu, siapa yang akan untung? Tentulah UMNO. Adakah orang Melayu terbela di bawah BN satu ketika dahulu? Anda sendiri tahu jawapannya!
Skandal RM30 juta Pulau Jerejak??
Jangan jadi bodoh. Jangan bantut akal. Mari kita lihat dan fikirkan. Semasa isu Interlok timbul- isu ini telah dibawa ke peringkat tertinggi Kementerian Pelajaran. Walaupun pada mulanya mengundang tindakan emosi sesetengah pihak, Interlok dibawa ke meja mesyuarat dan rundingan. Wacana-wacana bersifat ilmiah terus dibahaskan.
Berbeza dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang; risalah myBALIKpulau tidak diberikan tempat yang adil seperti Interlok. Tindakan yang diambil dilihat emosi semata-mata. Mengapa ia jadi begini? Jawapannya amat mudah - Interlok disuarakan MIC manakala myBALIKpulau cuba diletakkan di bahu DAP! Bagi saya, apa yang berlaku sangat-sangat memalukan.
Ada beberapa sebab mengapa UMNO menimbulkan isu perkauman sebegini. Salah satu sebab adalah untuk menutup mata rakyat atas pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah pimpinan Koh Tsu Koon di mana beliau telah menyerahkan Pulau Jerejak kepada UDA. Ini merupakan skandal yang sangat hot. Cuba teka, siapa yang untung?
Rakyat Malaysia semakin matang. Ini bukan lagi zaman fotostat. Ini bukan lagi zaman mesin taip. Segala maklumat cuma dihujung jari rakyat. UMNO-BN harus sedar dan insaf. Sekiranya wujud kedaifan di kalangan rakyat Pulau Pinang, apatah lagi dari kalangan masyarakat Melayu; UMNO harus cermin diri mereka sendiri. Hodohkan?
*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.
No comments:
Post a Comment