Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Sepanjang kembara dalam dunia penulisan sejak 30 tahun lalu, akhbar Siasah mempunyai posisi istimewa di hati saya. Berbeza dengan Harakah (lidah rasmi PAS) dan akhbar-akhbar tidak berkala yang saya terpaksa terbitkan selepas majalah Detik dan Al-Wasilah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Siasah bukan sahaja lebih bebas untuk beredar di pasaran tetapi sidang editorialnya juga kurang "diganggu"
Bagaimanapun, sukar untuk dipastikan apakah KDN kurang berupaya untuk menguatkuasakan undang-undang yang tidak munasabah itu atau sememangnya ia terpaksa "memejam mata" -- atas pertimbangan politik -- melihat Harakah bebas dijual di pasaran terbuka.
Manakala tabloid tidak berkala, yang judulnya terpaksa berubah-ubah -- daripada Haraki kepada Alternatif, Reformasi, Memo, dan hampir 30 nama-nama berbeza -- bukan sahaja terdedah kepada risiko rampasan KDN, malah berdepan karenah pihak pengedar.
Mengusahakan sebuah syarikat penerbitan yang tertumpu kepada makalah-makalah politik bukan hanya memerlukan komitmen tinggi daripada segi semangat dan keazaman, tetapi lebih penting adalah memastikan elemen perniagaan juga dapat dikendalikan dengan baik.
Alhamdulillah, saya dapat bersama-sama Mohd Sayuti Omar membidani kelahiran Siasah, melihatnya bertatih dan memimpinnya untuk berjalan, seterusnya berlari mendepani dugaan. Dibantu tiga pemberita muda, kami cuba merealisasikan impian dan idealisme luhur kewartawanan. Agak kerap juga target "deadline" tersasar.
Sebagai wartawan yang dibesarkan dalam lingkungan Harakah dan sentiasa menerima tekanan KDN, memang sukar untuk saya menentukan agar Siasah tidak dilihat begitu memihak kepada kumpulan atau parti tertentu.
Walaupun secara teorinya Siasah tidak menghadapi masalah untuk dipasarkan di mana-mana sahaja, rintangannya datang dalam bentuk berlainan. Seorang editor Harakah mungkin lebih bebas memilih bahan untuk siaran, termasuk yang sensasi dan kontroversi, namun ia tidak semudah itu di Siasah. "Kecondongannya" sentiasa diperhatikan.
Ya, bukankah dunia kewartawanan Malaysia penuh dengan pantang larang, 'kan? Apatah lagi mauduk perbincangan tentang perkara paling sensitif, iaitu siasah atau politik!
Malang sekali, iklim kebebasan media di negara kita jarang menyediakan ruang dan peluang selesa untuk berkarya. Pelbagai sekatan dan kongkongan -- sebahagiannya secara terselindung -- menghimpit daya kreativiti dan menumpulkan semangat.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) bukan sahaja mensyaratkan setiap penerbitan berkala memerlukan permit penerbitan, tetapi lebih buruk, pihak menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menolak permohonan, menggantung dan mengharamkan permit sedia ada. Dan semuanya boleh dilakukan tanpa perlu memberikan sebarang alasan.
Ketika AMCP mengamuk bagi memperlahankan momentum reformasi 1998 dan mengawal impak keputusan pilihan raya umum 1999, majalah Detik yang saya "sewa" permitnya daripada rakan karib, Allahyarham Samsuri Roslan, diharamkan.
(Ahmad Lutfi semasa menziarahi Allahyarham Samsuri, yang diserang angin ahmar, di Hospital Ipoh)
Buku-buku politik popular yang melambak di pasaran, bagai cendawan tumbuh selepas hujan, diperhatikan penuh minat oleh pihak berkuasa. Beberapa kesalahan kecil, seperti tidak meletakkan alamat pencetak, sudah cukup untuk membuatkan buku saya dirampas. Kaset dan VCD ceramah reformasi turut disekat.
Saya memberanikan diri mengasaskan NGO media, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi mempromosi dan melobi idea-idea kebebasan akhbar. Ibu pejabat sementara Suhakam di perkarangan Wiswa Putera, yang baru dilancarkan, menjadi destinasi untuk meluahkan amarah dan rasa tidak puas hati.
Naib Pengerusi Suhakam, Allahyarham Harun Hashim, bersama tiga pesuruhjaya lainnya, Zainah Anwar, Hamdan Adnan dan Mehrun Siraj kemudiannya bersetuju mengadakan dialog dengan 15 wakil KAMI di sebuah hotel bersebelahan PWTC.
Secara peribadi, saya mula memohon permit penerbitan pada penghujung 1980-an, semasa menjadi pemberita di Harakah. Ketika itu saya ditugaskan oleh Pengarang Harakah, Zin Mahmud (sekarang Pengarang Mingguan Malaysia), menumpukan liputan kepada kegiatan mahasiswa dan aktiviti kampus.
Kebetulan semasa di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), saya pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PMUTM dan berkesempatan berinteraksi serta "bertembung" dengan dua Menteri Pelajaran (Pendidikan), Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim.
Demonstrasi mahasiswa Universiti Malaya pada malam Pesta Konvo 1989 memang mengejutkan. Ratusan pelajar, lelaki dan wanita, berkumpul selepas solat hajat di kawasan lapang, menuntut konsert Sheila Majid yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor malam itu dibatalkan.
Sebenarnya mereka bukanlah antihiburan seperti didakwa pihak tertentu tetapi mahu meluahkan protes ke atas sikap double standard pentadbiran universiti; program keilmuan yang memupuk daya intelektual disekat tetapi aktiviti huburan mudah diluluskan.
Saya sebut "mengejutkan" kerana para mahasiswa ini langsung tidak berganjak walaupun selepas diberikan amaran berulang kali supaya bersurai oleh pihak polis.
Autonomi universiti -- yang sudah dicabuli sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dipinda pada 1975 -- tambah parah dengan tindakan pasukan keselamatan menangkap penunjuk perasaan secara kasar.
Kasihankan pelajar yang mungkin terpaksa merengkok dalam lokap, maka saya menjadi penjamin kepada salah seorang daripada mereka, yang saya tidak pernah kenal sehingga hari ini.
Seminggu kemudian, ketika mahu memperbaharui jaminan ke atas pelajar berkenaan di Balai Polis Brickfield, saya ditahan ISA dan dihantar ke Kem Batu Kentomen, Jalan Ipoh. Serentak itu, KDN menyenarai-hitamkan nama saya daripada diberikan permit penerbitan.
Tragedi dipecat UTM selepas menamatkan pengajian selama lima tahun dan seterusnya berehat sekejap di "universiti kedua" bukannya kisah sedih yang perlu ditangisi, malah ia merupakan di antara koleksi pengalaman hidup yang cukup bermakna.
Mendekati penderitaan keluarga tahanan ISA dan merasai kesukaran mereka dari dekat cukup menggelisahkan sehinggalah saya menubuhkan tabung bantuan yang disumbangkan pembaca Harakah. Rakyat Malaysia memang pemurah. Rasanya, lebih sejuta ringgit berjaya kami kumpul dan agihkan. Sempat juga saya berkunjung dua kali ke Sabah bagi menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang teraniaya itu.
Siasah juga mengingatkan saya tentang kematian. Secara tiba-tiba anak kedua saya, Nurul Syafiqah, 11 tahun, meninggal dunia, pada 1 Ramadan 2005, tanpa didahului sebarang petanda penyakit serius. Detik-detik itu cukup menyentuh dan menghiris. Berbekas sampai bila-bila.
Sempat saya rakamkan peristiwa itu dalam Siasah secara spontan, "Perginya Jantung Hati Kami ..." Tulisan penuh emosi itu mendapat reaksi pelbagai, termasuk menemukan kembali saya dengan teman-teman lama dan bekas guru yang terharu dengan catatan itu.
Azam untuk menghidupkan kembali kolum "Simpul Mati" ini pastinya tidak mudah. Apa pun saya cuba berbicara lebih santai berbanding ruang tetap dalam Harakah. Saya berhasrat untuk berkongsi cerita dan pengalaman, yang sebahagiannya belum tertulis. Sebenarnya banyak babak dalam kehidupan kita, yang mungkin dilihat remeh, tetapi sebenarnya mampu mendorong atau menyuntik inspirasi buat orang lain. Insya-Allah, jumpa lagi .
Artikel ini pertama kali disiarkan dalam kolum Simpul Mati, akhbar Siasah
No comments:
Post a Comment