Oleh: Shirzad Lifeboat
“Kalau aku jadi Taib, baik aku duduk di rumah saja. Enjoy saki baki kehidupan, makan ‘tahai dan gunakan masa yang tertinggal untuk berbakti kepada Tuhan pulak,” kata seorang kawan berasal dari Lawas, Limbang, Sarawak.
Adalah agak ironi, walaupun dia adalah seorang jurutera jalan/lebuh raya, tetapi Lawas yang merupakan bandar kelahirannya dan tempat dia membesar masih lagi terputus dari rangkaian jalan dan lebuh raya seluruh Sarawak. Sebaliknya Lawas hanya dapat diakses menerusi jalan raya melalui Sabah ataupun Brunei.
Mungkin sewaktu kecil dia berazam mahu membina jalan yang menghubungkan antara Lawas dan Kuching, ibu negeri Sarawak yang dirasakan ketika itu bagaikan sebuah kota kayangan. Namun, hari ini setelah 40 tahun masa berlalu, dan setelah Sarawak berada dalam Persekutuan Malaysia (yang dikatakan sebagai kaya raya), jarak kira-kira 700 kilometer di antara kedua-dua bandar itu masih lagi tidak dihubungkan dengan sebarang sistem jalan/lebuh raya, malah tidak ada jalan raya menghubungkan Lawas dengan bandar terdekat yang berjalan raya.
Sambil kami duduk minum di sebuah warong berhampiran Tower Square di tebing Sungai Sarawak dengan pandangannya menganjung ke arah Bangunan DUN Sarawak, kawan itu melahirkan rasa kecewanya terhadap kerajaan BN yang telah memerintah negeri itu sejak menyertai Malaysia.
Begitupun, sebagaimana orangtuanya dan kebanyakan rakyat Sarawak yang lain, dia terus mengundi BN dengan harapan satu masa kelak segala-galanya akan berubah. Namun setelah sembilan pilihanraya negeri berlalu, setelah generasi rakyat Sarawak silih berganti, kemajuan yang diharapkan adalah terlalu sedikit atau tidak wujud sama sekali.
“Kalau you tengok Kuching ni, memanglah you nampak progres,” jelas kawan berkenaan. “Tapi bukan satu Sarawak tinggal di Kuching. Macam mana dengan rakyat luar bandar. Kami pun nak maju jugak. Tapi nak maju macam mana kalau jalan pun susah nak buat. Nak kata tak ada duit, hmm…”
Keluhan jurutera ini sebenarnnya adalah satu daripada jutaan keluhan anak Sarawak yang dilahirkan sama ada menerusi perbualan, sesuatu bentuk tulisan di Internet dan sebagainya dan yang kini tersebar secara meluas lama sebelum bermulanya kempen pilihanraya umum negeri.
Begitupun, malangnya, hampir semua keluhan tersebut ibarat kata pepatah mencurah air ke daun keladi sehingga rata-rata rakyat Sarawak merasakan pemimpin mereka tidak ada telinga dan justeru tidak mampu mendengar sebarang luahan rakyat. Kalau ada telingapun, telinga pemimpin mereka itu cuma tumbuh pada musim pilihanraya tetapi telinga tersebut tidak dihubungkan kepada akal budi dan hati naluri. Dalam lain perkataan, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Di sebalik segala usaha pemimpin dan kerajaan negeri berdolak-dalik mengenai itu dan ini bersangkutan keluhan rakyat, nampaknya rakyat Sarawak sudah tidak lagi memiliki keyakinan kepada pemimpin mereka.
Bukan sahaja rakyat Sarawak menuding jari ke atas pemimpin BN negeri tetapi juga terhadap pemimpin Persekutuan yang meluluskan peruntukan projek tidak menurut prioriti dan tidak memberikan keutamaan kepada nasib rakyat negeri itu yang majoritinya adalah penduduk kawasan luar bandar.
“Projek Bakun boleh buat, jalan raya tak boleh buat. Kalau suku duit Projek Bakun digunakan untuk buat jalan Lawas ke bandar lain Sarawak, jangan kata satu jalan, seratus jalan pun boleh buat…” Jurutera itu bersungut.
Dalam kempen pilihanraya umum kali ini, pemimpin BN, baik dari Sarawak mahupun di peringkat nasional yang turut hadir untuk berkempen di sini sekali lagi bercakap tentang pembangungan. Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut kononnya rakyat Sarawak tidak perlu kepada perubahan kerajaan kerana BN mampu membuat transformasi.
Nampaknya Muhyiddin merasakan pembangunan Sarawak dan nasib rakyat negeri itu boleh ditukar serta merta macam transformers.
Sekiranya seseorang mahu mempercayai betapa BN berkemampuan mengubah segala senario sosial dan pembangunan Sarawak dan rakyatnya ibarat mengubah transformers dari satu bentuk kepada satu bentuk lain dengan serta merta, maka mengapakah ia tidak dilakukan dalam masa sembilan pilihan raya umum lalu?
Inilah persoalan yang akan mengubah kerajaan negeri Sarawak dalam pilihanraya umum ini. Kecuali, jika BN benar-benar dapat meminjam dan menggerakkan sebuah Transformer seperti dalam filem Hollywood dan mengubah segala-galanya di negeri itu dengan sekelip mata termasuk mengadakan jalan raya dalam tempoh yang sesingkat itu, maka mungkin parti tersebut masih mempunyai sedikit harapan untuk kembali berkuasa.
Jika tidak? Tak payahlah sebut tentang transformers.
No comments:
Post a Comment