Oleh Mohamed Hanipa Maidin
Satu-satunya isu yang tidak berkesan di Sarawak adalah isu video terbitan trio Umno atau Dato’ T. Ramai juga yang meramalkan isu tersebut akan makan tuan. Apabila saya, Dato’ Seri Mohamad Nizar, Ustazah Salbiah dan Misbahul Munir berceramah di rumah Wak Pon di Kampung Jawa di Dun Mutiara Tuang, saya sempat bertanya Wak Pon tentang isu video tersebut.
Dengan bersemangat beliau ‘berceramah’ kepada kami lebih kurang begini bunyinya: "Cuba awak terangkan pada saya, siapa yang lebih kenal tubuh badan Anwar kalau bukan isterinya. Kamu (kerajaan BN) boleh panggil pakar dari luar negara nak tentukan video itu tulen, tapi bagi saya pakar sebenarnya ialah Wan Azizah yang lebih tahu tubuh badan suaminya. Bukankah Wan Azizah dah kata lelaki dalam video itu bukan suaminya. Habis cerita."
Itulah reaksi spontan Wak Pon, tokoh berpengaruh di Kampung Jawa itu tentang isu video tersebut.
Dalam ceramah saya di rumah Wak Pon malam itu, saya menyentuh sikit tentang isu video tersebut. Saya katakan lebih kurang begini:
"Tuan Puan! Saya dari PAS iaitu sebuah parti Islam. Mengapa kami menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan kami. Jawapannya kerana kita orang Islam tidak ada pilihan kecuali mengikut ajaran Islam.
"Jika dalam sembahyang kita kena ikut apa yang Allah SWT dan Rasul s.a.w tunjukkan, begitu juga dalam politik. Kita juga kena ikut ajaran Rasul.
"Kita ambil contoh isu video yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Jika pun diandaikan betul video itu merujuk kepada DSAI, betullkah tindakan menayang video itu di khalayak ramai?
"Islam melarang kita mengaibkan maruah saudara kita tetapi adakah pemimpin BN yang mengaku mereka sebagai orang Islam berpegang kepada ajaran Islam itu? Adakah perbuatan mereka itu mengikut mana-mana ajaran Rasul?
"Jika video itu betul pun Islam tidak benarkan kita tayangkan secara terbuka kerana ia akan mengaibkan diri orang itu dan keluarganya, apatah lagi kalau video itu tidak betul atau diragui. Inilah beza kita (PAS) dengan lawan kita."
Selepas majlis ceramah berakhir, para hadirin menghampiri kami dan berebut-rebut mengajak bergambar bersama-sama. Meskipun kali pertama bertanding di Dun Muara Tuang rata-rata hadirin amat teruja berada dalam program PAS.Misbahul Munir memberitahu saya, selama 5 hari beliau di sana telah 5 cawangan PAS ditubuhkan – setiap malam satu cawangan. Wakil calon PAS di Mutiara Tuang menyatakan kepada saya bahawa rakyat Sarawak dahagakan maklumat dari pemimpin Pakatan Rakyat khususnya PAS.
Malam kedua di Sarawak, saya bersama Dato’ Husam Musa mengadakan pertemuan dengan pengundi Iban di rumah panjang.
Meskipun ada gangguan dari wanita Parti Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Tan Sri Taib Mahmud yang cuba menghalang kami berjumpa rakyat Iban di situ, namun ternyata Tok Ketua (tuai rumah) di rumah panjang itu amat gembira menerima kedatangan kami.
Tidak dengar sepatah perkataan pun tentang isu video di rumah panjang itu. Sebaliknya Tok Ketua dengan nada marah berkata: "Kamek (kami) tak akan bagi undi pada BN lagi. Dia tipu kamek. Habis tanah kamek kena rampas. Patutkah? Kamek tanam getah dia (BN) ambil tanah kami tak bayar apa-apa pada kamek. Kamu loyar (peguam)... Patutkah (tindakan kerajaan BN itu)?"
Alhamdulillah pertemuan dan dialog dengan masyarakat Iban berjalan dengan baik dan berakhir dengan mereka berebut meminta baju T berlambangkan simbol PAS.
Selepas pertemuan dan dialog itu, saya dan Husam bergegas ke rumah Encik Murni untuk majlis ceramah. Setiba di sana kami dimaklumkan tuan rumah bahawa beliau telah diugut oleh ketua kampung dan diberi amaran agar tidak meneruskan ceramah PAS jika tidak mahu masa depan gelap (bahasa yang digunakan oleh ketua kampung). Encik Murni yang agak takut itu meminta pandangan kami.
Saya dan Husam berpendapat ceramah wajar diteruskan kerana beliau (Encik Murni) tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya kata kepada beliau, di Semenanjung kami sering kali diganggu polis tetapi baru-baru ini mahkamah memberi gantirugi RM200,000 kepada pemimpin PAS. Encik Murni akur dengan cadangan kami.
Alhamdulillah ceramah berjaya diadakan dengan jayanya tanpa apa-apa masalah. Pengerusi majlis ceramah yang merupakan orang tempatan meskipun kali pertama memegang mikrofon juga bersemangat dalam kegetaran. Sehari sebelum itu pengerusi majlis itu ditumbuk di mukanya oleh orang kuat PBB apabila berkempen di satu kampung di Dun Muara Tuang. Dalam keadaan pipi yang lebam ditumbuk, beliau tidak serik terus bersama PAS.
Yang menarik lagi, adik kembar pengerusi majlis yang berkerja sebagai seorang bilal di masjid juga telah dipanggil oleh orang kuat PBB untuk dipecat. Kesalahan beliau adalah bersama mengikut perarakan calon PAS di hari penamaan calon.
Saya bertanya adakah beliau takut akan dipecat. Lihat jawapannya: "Rezeki saya Allah yang tentukan bukan manusia atau PBB."
Wow! Bukankah ini manifestasi tarbiah PAS!
Pak bilal yang nak dipecat itu sempat memberitahu saya bahawa rakyat Sarawak kini ramai yang menyatakan PAS adalah Partai Anak Sarawak! Pak bilal ini yang amat gemar mendengar ceramah ‘Ahmad Sabu’ sentiasa ternanti-nanti ingin mendengar ceramah atau video ceramah pemimpin PAS.
Untuk BN kita ingin nyatakan di sini rakyat Sarawak tidak mahukan video lucah sebaliknya mereka rindukan video ceramah!
No comments:
Post a Comment