Oleh: Shirzad Lifeboat
Sebuah tulisan ringkas dari seorang bernama ‘ning’ di portal Internet, Trengganukite Online menyebut: “Kenyalang ialah burung yang melambangkan kekuatan dan kebanggaan negeri Sarawak yang sekian lama menjadi bumi yang didiami Kenyalang ini. Burung Kenyalang adalah burung yang hidup berkeluarga dan sentiasa menghadirkan suasana yang riang dan aman.”
Semakan selanjutnya dalam laman lain di Internet mendapati burung kenyalang yang dimaksudkan itu dan menjadi simbol negeri Sarawak adalah dari spesies Enggang badak (Rhinoceros hornbill) atau dalam bahasa saintifiknya (Buceros hinoceros).
Tidaklah begitu pasti mengapa nama burung enggang ini ada berkaitan dengan badak. Barangkali tatkala sudah kenyang, siburung lazimnya bersantai di atas belakang badak. Walaupun masyarakat purba menganggap burung kenyalang ini sebagai ‘dewa peperangan’ tetapi sebagaimana yang dikatakan oleh ‘ning’, ia adalah sejenis burung yang mementingkan semangat kekeluargaan.
Hari ini walaupun masyarakat Iban Sarawak masih lagi menggunakan simbol burung kenyalang ini dalam upacara tertentu, namun semangat kedamaian dan persaudaraan yang ingin dicerminkan menerusi simbol burung kenyalang di Sarawak ini nampaknya sudah mula pupus sebagaimana pupusnya burung itu sendiri di bumi negeri Pulau Borneo ini.
Justeru apabila parti DAP berjaya merampas kerusi Parlimen Sibu dari BN pada Mei lalu, ia seolah-olah mengisyaratkan betapa rakyat Sarawak sebenarnya sudah sedar dari satu lena panjang dan bangkit untuk berusaha menyelamatkan semangat kenyalang tulin dari terus diancam kepupusan akibat berleluasanya semangat ‘bujang senang’ yang melanda dan membaham rakyat Sarawak.
Dalam memperkatakan Pilihanraya Umum Negeri Sarawak ke-10 yang bakal diadakan pada 16 April ini, nampaknya BN dan pihak yang menyokong parti berkenaan agak segan-segan untuk membawa perihal Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu ke dalam sebarang diskusi mengenai peluang BN mempertahankan kedudukannya di Bumi Kenyalang itu.
Barangkali pemimpin BN Sarawak dan juga di peringkat nasional serta penyusun strategi mereka sedang mencari satu kaedah baru dalam menghadapi pilihanraya berkenaan. Kaedah ‘Santa Claus-tidak langsung’ iaitu menerusi pemberian dan pengumuman projek dari kerajaan mungkin tidak lagi diguna pakai setelah kesannya di Sibu nyata meleset. Barangkali kaedah ‘Santa-Claus-langsung’ masih boleh digunakan iaitu kaedah di mana memberikan habuan secara langsung kepada pengundi individu.
Apapun kaedah ‘Santa-Claus langsung’ ini didakwa telah digunakan di Sarawak dan juga di tempat-tempat lain di Malaysia dalam pilihanraya kecil membabitkan DUN dan juga kawasan Parlimen dan malah dalam pilihanraya umum sendiri walaupun kesan dan kebarangkalian membuahkan hasil kian berkurangan dari 50-50.
Banyak telah diperkatakan oleh pelbagai pihak tentang peluangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN. Pelbagai analisis telah dilakukan dan pelbagai alasan dan justifikasi dibentangkan bagi menunjukkan peluang ini sebenarnya ada. Malah ia boleh diterjemahkan bahawa sekirannya BN kekal berkuasa di Sarawak sekalipun, parti itu sama ada akan kehilangan majoriti dua pertiga atau kehilangan banyak kerusi yang menjurus kepada kehilangan majoriti dua pertiga dan mengakibatkan kewujudan kerajaan negeri yang tidak stabil.
Begitupun, media yang dikuasai oleh BN sedaya upaya memutarkan belitkan fakta dan analisis bagi menunjukkan betapa BN masih lagi kuat di Sarawak seperti 10 pilihanraya umum negeri yang lalu.
Menurut sebuah kertas kerja yang dibentangkan oleh Faizal S. Hazos, Pensyarah Kanan di Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia Sarawak, ancaman yang dihadapi oleh BN adalah sahih. Dalam abstrak kepada kertas kerja yang dibentangkan di S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura, Faizal merumuskan (terjemahan):
‘Sementara gabungan parti pemerintah Barisan Nasional telah mendominasi politik Sarawak lebih dari empat dekad, perubahan penting telah berlaku di negeri tersebut yang mana boleh melemahkan penguasaan mereka. Perkembangan terpenting berlaku dalam beberapa tahun terakhir ini adalah bertambahnya populariti bersifat nasional seperti Democratic Action Party ((DAP) dan Parti Ke ADILan Rakyat (PKR) di tengah-tengah di kalangan tenaga pembangang Sarawak. Satu lagi perkembangan penting ialah perubahan sokongan kaum Cina dari parti pemerintah kepada parti pembangkang. Perkembangan ini berserta kemunculan ‘Dayak intelligentsia’ yang begitu kritis terhadap pemerintah akan membolehkan pembangkang muncul sebagai cabaran getir dalam pilihanraya akan datang ini.”
Bagi PAS pula, walaupun kewujudannya di Sarawak dari segi perwakilan sama ada di DUN atau Parlimen boleh dikatakan tidak signifikan, namun penerimaan rakyat Sarawak terhadap PAS sebagai sebuah komponen penting dalam Pakatan Rakyat turut membimbangkan BN.
Sebanyak mana sekalipun media BN cuba memaparkan PAS sebagai sebuah parti ekstrim Islam, tetapi, sebagaimana yang terbukti dalam pembabitannya di Sibu, rakyat bukan-Islam telah menerima hakikat betapa PAS merupakan sebuah parti paling toleran terhadap agama lain.
Dengan di latar belakangi isu penggunaan nama ‘Allah’ dalam sebuah penerbitan Kristian di Sabah dan perampasan kitab Bible berbahasa Melayu di Sarawak, sikap tidak bertoleransi BN dalam isu agama membabitkan rakyat Malaysia Timur nampaknya begitu ketara.
Antara faktor lain yang mempertingkatkan kebarangkalian kecundangnya BN di Sarawak kelak ialah faktor Tan Sri Taib Mahmud, pemimpin BN yang telah begitu lama menduduki kerusi Ketua Menteri serta kajian organisasi seperti Bruno Manser Fund yang mendakwa Taib diasosiasikan dengan 49 buah syarikat di lapan negara dengan nilaian dalam kiraan beberapa bilion dolar Amerika.
Barangkali ia satu dakwan yang tidak benar. Namun apapun, tidak ada rakyat mana-mana negara yang dapat lagi menerima hakikat betapa seorang individu harus berkuasa sehingga sekian lama. Malah Timbalan Ketua Menteri, Alfred Jabu Numpang telah mewakili DUN Layar selama 36 tahun.
Nice blog..
ReplyDeleteFeel free to visit and follow our blog at http://kakinginti.rumahpanjai.com
Cheers!!