Tidak pernah berlaku perubahan ‘mood’ pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro seperti yang berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak 6 April lalu apabila calon PAS, Abang Ahmad Kerdie Abang Masagus menerima sambutan ‘bak artis’ kalangan pengundi tempatan.
Bukan sahaja penyokong PAS tempatan yang menyambutnya, tetapi kehadirannya mendapat perhatian penyokong yang memakai baju BN yang berebut-rebut untuk bersalam dengan Abang Ahmad Kerdie
Sebaik diumumkan sah pertandingan satu lawan satu antara Abang Ahmad Kerdie dengan calon BN, razaili Gappur, seluruh mata tertumpu kepada calon PAS itu yang bingkas bertemu pengundi dan melawat medan selera berdekatan.
Wajahnya yang cukup segar dan sentiasa tersenyum meyakinkan masyarakat setempat akan ketokohan anak muda ini dan sikapnya yang mudah didekati.
Berbalik kepasa komposisi kawasan pilihan raya.Beting Maro sebuah kawasan yang agak jauh dari kemajuan pesat Bandaraya Kuching, dan Dun ini terletak di Batang Lupar dimana ahli Parlimennya adalah, Dato’ Rohani Abdul Karim.
Sebelum ini pada pilihan raya umum negeri tahun 2006, PAS diwakili Alem Din dan hanya kalah kepada calon BN Bolhassan Di dengan 895 undi.
Kerusi Dun Beting Maro memiliki peratusan pengundi Melayu-Melanau yang sangat tinggi pada tahun 2006 iaitu 90.99 peratus, sementara Cina 2.28 peratus dan Iban 6.73 peratus.
Abang Ahmad Kerdie bukan orang asing di Beting Maro, sanak saudaranya bersepah di sini, dan kehadirannya cukup disenangi bukan sahaja kawan, tetapi lawan.
Peguam muda berusia 32 tahun yang juga lulusan Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia memiliki jaringan rakan, sanak saudara yang mantap yang bisa sahaja menenggelamkan calon BN, Razaili Gapur.
Walaupun kehadiran penyokong PAS sekitar 300 orang sahaja untuk mengiringi calon, namun suasana cukup berbeza kali ini dengan penyokong BN juga memberikan ‘signal’ perubahan boleh berlaku.
Sebaik sahaja pintu pagar Pejabat Daerah Kecil Pusa dibuka jam 9 pagi, 6 April lalu, seluruh penyokong PAS dan BN berarak menuju ke pusat tersebut dari arah yang berbeza.
Masing-masing dengan bendera parti, di pihak PAS, bendera ‘terang bulan’ diusung bukan aktivis jentera PAS dari Semenanjung, sebaliknya pengundi tempatan kalangan masyarakat Iban yang mula menunjukkan perubahan.
Mereka ini terdiri daripada kalangan masyarakat Iban di rumah panjang Matong dan kalangan pengundi Iban di Pusa serta Beladin yang datang dengan slogan ‘perubahan’.
Sudah lama mereka duduk dengan ‘resam BN’ yang tidak menawarkan sebarang perubahan kepada mereka, sebaliknya hanya membuai mereka dengan janji-janji kosong, kata salah seorang penyokong PAS kalangan masyarakat Iban, Igau Ranggi.
Perubahan yang dikehendaki mereka bukan sekadar soal pembangunan setempat, lebih dari itu adalah penyelesaian kepada masalah tanah yang dihadapi penduduk di sini sejak 30 tahun lalu.
Pengambilan tanah secara berleluasa untuk dijadikan ladang sawit kroni membungkam rasa hiba dan kecewa masyarakat Iban, dan Bumiputera lain di Beting Maro.
Sejarah kesabaran mereka sudah sampai ke penutup, mereka tidak mampu lagi menahan sebak untuk melihat anak generasi mereka dihumban ke ‘sungai’ untuk hidup tak bertanah.
Seperti kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, pengundi di Beting Maro mahukan perubahan yang boleh menjamin kelangsungan hak-hak mereka terutamanya dalam hak tanah untuk masa depan.
Isu hak tanah ini perlu menjadi fokus utama PAS dalam mendekati pengundi Beting Maro kerana di setiap pertemuan dengan pengundi yang berjalan sebaik proses penamaan calon selesai, semuanya mengutarakan isu tanah.
Penyelesaian yang diujar Salahuddin iaitu hak tanah harus diberikan kepada rakyat sarawak jika Pakatan Rakyat memerintah, boleh melegakan pengundi.
Namun, jika PAS hanya menang di satu atau dua kawasan, solusi lain seperti khidmat guaman dan pembentukan jawatankuasa bertindak membela hak tanah rakyat harus direalisasikan.
Selain itu, wakil-wakil rakyat PAS harus berfungsi untuk menjadi ‘tulang belakang’ masyarakat dalam isu-isu tanah ini.
Harapan rakyat di bumi kenyalang sudah mula terbit, dengan slogan ‘terang bulan’ seperti yang dilaungkan semasa hari penamaan calon.
Wajah-wajah kecewa dengan wakil rakyat BN-PBB sudah mula teserlah, kepincangan dan perbalahan dalaman akibat pencalonan muka baru, Razaili Gapur boleh memutuskan harapan BN untuk mempertahankan kerusi Beting Maro yang memisahkan PAS dengan BN hanya 895 majoriti undi bagi pilihan raya yang lalu.
Sedikit sebanyak, PAS yang telah bertapak dan melakukan kerja khidmat masyarakat di Beting Maro sejak dua pilihan raya lalu mungkin akan memberi titik tolak permulaan ‘sinar terang bulan’ akan menjadi kenyataan!
Cuma, seperti kata Salahuddin, jika ‘duit’ ditabur saat akhir oleh pihak lawan, ianya agak sukar bagi PAS untuk memugar semula kesedaran pengundi kerana habuan berbentuk ‘kemewahan seketika’ .
Tanggal 16 April boleh menjadi suatu tarikh keramat bagi PAS memulakan sejarah di Sarawak, Abang Ahmad Kerdie boleh menjadi taruhan yang benar-benar mendatangkan impak, jika kerja keras dilakukan PAS dapat meyakinkan pengundi Beting Maro!
No comments:
Post a Comment