Oleh Kassim Muhammad
Ramai yang sudah yakin bahawa projek menghapuskan Anwar Ibrahim dari dunia politik tanah air kita adalah sebuah projek politik mega yang tidak pernah dan tidak akan mati sehinggalah pemimpin politik yang berani menentang Umno ini dilenyapkan sama sekali. Kalau yang mahu dimusnahkan itu lalang ― yang dimusnahkan bukanlah sekadar batang dan daunnya yang kelihatan dek mata kasar ― hatta akar umbi rhizomnya pun mereka racuni semahu-mahunya. Biar pupus petualang jalang, namanya lalang itu.
Dalam episod 1998, seorang mantan Menteri Besar Kedah pernah menyatakan secara terbuka dalam kumpulan yang kecil bahawa Anwar Ibrahim itu hanyalah seekor nyamuk sesat yang memudharatkan waktu tidur. Tidak lebih daripada itu, hanya seekor nyamuk. Dalam tahun 1998 juga, seorang rakan sekolah, mantan orang besarnya KCS, Kedah Civil Service mendakwa bahawa paling lama, fenomena Anwar Ibrahim ini bertahan ialah tiga bulan. Setelah edah itu berlalu, Anwar Ibrahim ― sama seperti mantan para penentang Umno yang lain sebelumnya akan menjadi bahan sejarah. Para penentang Umno ini dilupakan kerana mereka semua telah kematian pengaruh (simply sublimed and perished into oblivion, facing its natural death).
Ramai yang sering menyatakan betapa takutnya Umno itu kepada pengaruh dan perjuangan Anwar Ibrahim itu. Ramai yang telah melihat betapa ketakutan itu membuat sekian ramai mantan penguasa dan penguasa sedia ada, tidak dapat tidur lena. Namun ramai yang tidak dapat melihat betapa besarnya nyala dendam kesumat itu meraung-raung dan menggelupur di dalam jiwa-jiwa yang kosong tandus lagi bejat itu. Ramai yang gagal melihat betapa kebejatan dendam kesumat itu menjadi dorongan yang paling besar untuk sebuah projek politik yang maha mega pula: Menghapuskan seorang Anwar Ibrahim.
Lihatlah bagaimana seorang Perdana Menteri seperti Abdullah Badawi itu saban waktu dicemuh semahu-mahunya, secara terbuka pula oleh seorang mantan Perdana Menteri. Bagi orang itu dosa yang paling besar Abdullah Badawi ialah membebaskan seorang Anwar Ibrahim.
ii.
Dengan latar yang sedemikian, apakah pilihan yang ada di depan kita? Atau mungkin soalan pertama yang lebih relevan yang harus dijawab ialah: Bagaimana mahu kita melihat atau tanggapi Anwar Ibrahim itu sendiri? Dalam konteks ini terdapat wisdoma generasi dulu yang berbunyi kira-kira begini: Jika mahu ketahui betapa buruknya sesorang itu, bertanyalah kepada musuhnya. Ertinya kita boleh saja senaraikan sekian banyak nama yang pernah bersama-samanya tetapi kini telah lari dan berlindung di kemnya musuh. Mungkin tidak ada satu pun jawapan yang molek tentangnya yang kita perolehi.
Katakanlah sebagai seorang manusia Anwar Ibrahim itu kaya sekali dosa dan kesalahannya. Lalu siapakah kita yang mahu menjadi hakimnya? Apakah kita ini orang-orang bersih suci tanpa sebarang dosa? Apakah orang itu nabi yang mahu disanjung angkat begitu tinggi sekali? Ya, dia hanyalah seorang manusia biasa yang sudah diuji sedemikian rupa. Sepanjang ingatan kita tidak ada seorang manusia pun di negara ini yang pernah didera sedemikian rupa dengan sedemikian hebatnya. Apa lagi yang tidak digunakan untuk memusnahkannya? Dalam konteks sejarah moden ini, mungkin tidak ada sesiapa pun yang dapat menandinginya dalam soal-soal penderaan oleh sebuah pemerintah yang zalim.
Inilah peluang terbaik yang pernah kita miliki sejak lebih setengah abad kita merdeka. Bagi kita ketika ini dialah salah seorang calon terbaik yang kita miliki yang mampu membawa perubahan yang kita perjuangkan dan kita harap-harapkan itu. Ertinya dialah yang menjadi taruhan serta harapan kita untuk sebuah masa depan yang lebih baik. Dialah peluang yang kita miliki sekarang ini.
Itulah sebabnya kenapa Umno begitu nekad mahu memusnahkannya walau dengan apa cara sekali pun.
iii.
Dalam masyarakat binatang kita sentiasa temui kebinatangannya. Apakah itu pelik? Manusia yang binatang juga meniru gaya dan kaedah para binatang ini. Bapa gajah yang mahu dimusnahkan akan diasingkan oleh gerombolan harimau itu supaya senang dilaukkan.
Persoalnnya di sini ialah: Bagaimanakah Pas dan Dap melihat seluruh episod pembahaman seperti ini?
Pas dan Dap juga selesa menjadi pemerhati yang setia?
Apakah Pas dan Dap mahu melihat Ormas(Organisasi Massa)/NGO yang memikul tanggungjawab ini? Sila maklumkan secara terbuka bahawa Anwar Ibrahim itu bukanlah urusan kalian.
No comments:
Post a Comment