oleh Abdul Manan Abd Razak
Pelbagai insentif, dorongan, bantuan, keutamaan daripada segi moral, politik mahu pun kewangan telah diberikan oleh negara sejak 1957 yang ternyata akhirnya menemui kegagalan hingga kini.
Apatah lagi keadaan Melayu dan Bumiputera semakin melarat dari hari ke hari disebabkan pemimpin UMNO sendiri begitu rakus membolot segala projek dan lain-lain insentif yang sepatutnya dihulurkan kepada kaum ini.Keadaan ini dirumitkan lagi dengan ketiadaan kemahiran, kepakaran dan pengalaman menguruskan sesuatu urusan baik secara teknikal mahu pun praktikal. Ini terserlah daripada segi ketidakmampuan bersaing dalam bidang perniagaan, mutu pekerjaan dan perkhidmatan serta kelemahan hasil produk yang dihasilkan.
Kemunculan syarikat-syarikat korporat secara payung terjun dalam sektor pembuatan, peruncitan, perladangan, pembinaan dan lain-lain hanyalah bersifat sementara waktu sahaja kerana syarikat-syarikat ini terbukti akan gulung tikar akhirnya setelah beberapa tahun beroperasi.
Oleh itu dasar keutamaan yang dipraktikkan perlu disemak semula atas tiga sebab:
- Pertama, untuk mengelakkan daripada pemimpin UMNO mengambil kesempatan;
- Kedua, agar Melayu dan Bumiputera dipastikan berdaya-saing dengan kaum lain; dan
- Ketiga – supaya pertumbuhan ekonomi negara tidak terbantut akibat terlalu memanjakan Melayu dan Bumiputera yang mana akhirnya telah membinasakan kemajuan yang sepatutnya dicapai oleh rakyat dan negara ini secara keseluruhan.
Siapa yang tidak sayangkan bangsa sendiri, asalkan keutamaan yang diberi tidak mengguris perasaan kaum lain kerana kita semua adalah rakyat Malaysia dan kebanyakannya dilahirkan setelah negara mencapai kemerdekaan 1957. Islam melarang sama sekali kita berlaku tidak adil sesama umat Adam apatah lagi menindas kaum lain.
Munculnya tokoh-tokoh korporat Melayu dalam bidang kapal selam, perkapalan, penerbangan, perhotelan, perbankan, pengangkutan dan lain-lain hanyalah bagaikan bermusim sahaja. Mereka ini semuanya anak manja UMNO yang berpaksikan politik untuk berjaya. Oleh itu dengan ketiadaan kemahiran, kepakaran dan pengalaman, mereka adalah penyebab utama pinjaman bank tidak berbayar di negara ini.
Berlainan sekali dengan kejayaan yang ditempah oleh syarikat-syarikat lain yang memakan masa puluhan tahun untuk mencipta kejayaan. Manakala saham-saham Bumiputera yang diperuntukkan juga banyak telah bertukar tangan.
Adakah skim ASN, ASB dan sebagainya telah mencapai matlamatnya? Ternyata tidak. Siapa sahaja ada duit dia boleh melabur dan menikmati pulangan yang baik di serata dunia. Pemberian lessen dan permit kepada Melayu ini seperti mana diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menjalankan pelbagai perniagaan hanyalah dikhaskan untuk kroni pemimpin UMNO dan apa saja tender yang bersaiz sederhana dan besar hanyalah untuk anak-beranak-menantu mereka.
Begitu juga dengan masalah surat hak milik tanah berkeluasan kurang tiga ekar atau 1.2 hektar yang gagal diberikan kepada Melayu secara keseluruhan sedangkan syarikat-syarikat besar mudah memilikinya hingga ribuan hektar walau pun penerima yang dianugerahkan adalah bukan Bumiputera.
Dengan itu di manakah keistimewaan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO dan ternyata UMNO hanya perjuangkan kepentingan pemimpinnya yang rakus dengan bermodalkan “hak istimewa” orang Melayu.
Adalah lebih baik usaha meningkatkan taraf hidup kaum-kaum di negara ini disatukan supaya pembaziran sumber dapat dielakkan dan kemiskinan dihapus tanpa mengira kaum dan seterusnya semua kaum diutamakan secara keseluruhan. Langkah ini bakal menjadikan Malaysia yang maju, dinamik dan rakyat yang hebat dalam pelbagai bidang di samping mengelak korupsi, salah guna kuasa dan kronisme.
Usah dilaungkan keistimewaan Melayu, Ketuanan Melayu, DEB, tanah rizab Melayu, kuota Bumiputera dan sebagainya jika UMNO sendiri yang makan hak Melayu. Kini Melayu dan Bumiputera hanya bagaikan melukut di tepi gantang. Pemimpin UMNO dan kroni serta ahli keluarga mereka sibuk mengumpul kekayaan dan disembunyikan di luar negara. Apakah mereka ini akan selamat? Ternyata tidak.
Sejarah telah membuktikan peristiwa yang bakal muncul kemudian hari. Kehadiran jutaan rakyat asing dan pemberian kerakyatan segera telah menyisihkan lagi Melayu dan Bumiputera.
Dulu Melayu dan Bumiputera boleh mencari rezeki hasil pembangunan ekonomi apabila terdapatnya industri dan projek besar dengan cara bekerja dan melibatkan diri dalam sektor ini. Namun sekarang mereka terpaksa bersaing dengan rakyat asing yang serba boleh.
Oleh itu di manakah hala tuju Melayu? Itulah antara sebab budaya lepak, bohsia dan kegiatan negatif banyak membabitkan Melayu. Pemimpin UMNO hanya bersandiwara di atas sebuah pentas yang rapuh yang mana akan runtuh apabila tiba masanya.
Kita lihatlah nanti. Usah dilaungkan UMNO adalah Melayu, Melayu adalah UMNO kerana apabila tiba masanya yang tersirat dan yang tersurat akan terbongkar juga akhirnya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment