SUATU ketika dulu, apabila PAS bercadang ingin menegakkan negara Islam, ramailah puak-puak yang menentang bukan sahaja di kalangan orang bukan islam (mungkin tiada kefahaman) malahan termasuklah Umno dan BN juga menzahirkan kebencian dan penentangan.
Masih segar diingatan rakyat kes yang berlaku di negeri Kelantan sekitar tahun 1993 berkaitan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah, selain pandangan sinis dan memperlekehkan negara Islam dan hukum hudud ala PAS yang dilemparkan ke atas PAS.
Ini membuktikan siapa yang sebenarnya menentang konsep pembentukan negara Islam.
Mutakhir ini, apabila PAS melaungkan pula negara berkebajikan, puak-puak ini jugalah yang menjadi hero dalam sesi penentangan dan kebencian terhadap konsep negara berkebajikan. Seolah-olah merekalah yang ingin menegakkan negara Islam. Mereka seolah-olah seperti cacing kepanasan lebih-lebih lagi hendak berhadapan dengan saf kepimpinan PAS yang baru.
Padahal, ke mana perginya mereka (Umno) semasa mereka sangat berkuasa. Malang sekali kuasa yang ada pada tangan mereka tidak digunakan untuk menegakkan negara Islam.
Malah sebaliknya memperlekehkan usaha yang dibuat oleh pihak PAS, walaupun PAS menyedari misi mereka agak mustahil.
Perlu difahami, perbezaan antara PAS dan Umno bagaikan langit dan bumi. Dalam PAS ada Dewan Ulama dan Majlis Syura yang menentukan dasar parti. Mereka terdiri daripada golongan alim dan ulama yang mempunyai kepakaran dalam bidang dan hukum tertentu berkaitan politik Islam.
Berbanding Umno yang ada hanyalah Biro Agama yang sangat kecil peranannya. Jadi, tidak timbul PAS lari daripada perjuangan asal. Ini hanyalah propaganda Umno sahaja. Malahan konsep negara berkebajikan itu sebahagian daripada konsep negara Islam yang amat luas maknanya.
Kepada golongan rakyat marhaen dan golongan profesional fahamilah betul-betul konsep negara berkebajikan. Konsep negara berkebajikan tidak merugikan sesiapapun. Malah ia membawa keuntungan kepada rakyat jelata dan juga negara.
Konsep negara berkebajikan yang akan dilaksanakan oleh PAS ditunjangi oleh sumber ekonomi yang berteraskan kepada urus tadbir yang baik dan jauh daripada amalan rasuah, ketirisan, projek pembaziran yang menguntungkan sesetengah pihak sebagaimana yang pernah dilaporkan bahawa negara mengalami ketirisan sebanyak RM28 bilion pada tahun 2009.
Adakah dengan menggunakan RM28 bilion ini untuk tujuan subsidi kepada rakyat merugikan negara berbanding kehilangan wang negara RM28 billion akibat rasuah, ketirisan dan projek pembaziran?
No comments:
Post a Comment