Oleh Subky Latif
BERSETUJU pula Perdana Menteri Najib membentuk jawatankuasa Parlimen berbagai parti bagi mengendalian SPR supaya ia adil, bebas, telus dan bersih. Mengapa hal yang tidak dirasa perlu oleh Perdana-Perdana Menteri yang lalu dirasaskan perlu pula oleh Perdana Menteri Najib?
Selama-lamanya mereka mengatakan SPR dan pengurusannya sudah elok dan sempurna. Tiba-tiba bersetuju pula Najib membentuk jawatankuasa itu yang menurutnya bagai membaiki lagi pengurusannya supaya memuaskan hati pelanggan-pelanggannya.
Dia tidak sengaja bersetuju tentang penubuhan itu tetapi dia terdesak justeru adanya reaksi umum yang positif terhadap unjuk rasa Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Itulah kesan awal Bersih 2.0 itu yang dululnya dikata Najib tidak berfaedah dan tidak berkesan. Bolehlah dikira pembentukan itu, Najib telah menghirup ludahnya sendiri.
Najib adalah tokeh transformasi sebagai imbangan dan reaksi kepada gerakan reformasi oleh Anwar Ibrahim. Dia mahu semua ditransformasi di zamannya. Logiknya termasuklah pengurusan SPR.
Dari segi idealistik SPR itu perlu ditransformasi dan direformasi. Tetapi pembentukan jawatankuasa itu belum boleh dikira satu permulaan transformasi. Ia perlu dilihat apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibuat oleh jawatankuasa itu?
Bunyinya seperti Najib setuju dengan tekanan bagi merawat SPR dan pengurusannya. Erti Najib mengaku SPR itu sakit. Pembentukan jawatankuasa itulah ubatnya.
Apakah itu ubatnya?
Oleh kerana diri Najib juga perlu ditransformasi dulu, maka ada kebimbangan ia belum diberi ubat yang betul. Jangan jawatankuasa itu jadi ubat sapu di kulit bagi penyakit kencing manis apa lagi kalau pesakit itu sudah terpaksa dipotong kaki.
Memandangkan PRU 13 dirasakan sudah dekat seperti yang dibayangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin, mungkin sebelum haji atau sebelum kokok ayam pertama 2012. Dapat dan sempatkah jawatankuasa itu merawat penyakit SPR bagi mengadakan pilihan raya seawal itu?
Jawatankuasa itu bukan plaster yang ditampal di dahi bagi rawatan darah tinggi. Ia mesti datang bagi melakukan pembersihan.
Yang pertama perlu dilakukan, campak dulu Wan Ahmad Wan Omar dari SPR kerana dia sudah menjadi seorang yang anti pembangkang apabila dia menulis panjang lebar tentang pelanggarannya itu baru-baru ini.
Masa ini dialah ibu punca penyakit SPR itu. Badan itu mesti bebas tetapi sebagai Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad sudah menjadikan dirinya anti pembangkang. Bagaimana seorang anti pembangkang boleh melaksanakan sejujur-jujurnya pandangan baik dari anggota pembangkang dalam jawatankuasa itu?
Jawatankuasa peringkat Parlimen itu tidak duduk di situ 24 jam dan tidak menguasai kaki tangan yang direkrut oleh Wan Ahmad sejak dia jadi Setiausaha badan itu dulu lagi.
Jawatankuasa itu tentu akan mengusik kaki tangannya, tetapi ia memerlukan orang-orang yang adil menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausahanya. Pengurusinya Tan Sri Aziz Yusof itu tidaklah dilihat sebagai anti pembangkang.
Dia sekadar sebagai seorang cuba memberikan penjelasan kepada perkara-perkara yang diragukan oleh pembangkang tetapi tidaklah pula menjadikan dirinya sebagai seorang politik yang tidak sukakan pembangkang. Jika Wan Ahmad tiada di situ lagi, dia boleh dilihat lebih objektif.
Najib bersetuju menubuhkan jawatankuasa itu kerana mahu mengelak rasa tidak puas hati umum terhadap perjalanan dan pengurusan pilihan raya. Dan Wan Ahmad adalah satu dari yang umum tidak puas hati.
Undi pembangkang PRU 12 dulu ada besar. Dekat separuh yang turun mengundi. Katakanlah 40 peratus, maka sekian banyaknya yang tidak percaya kepada Wan Ahmad.
Apa pun penat lelah Dato Ambiga dan Dato Samad Said turun ke jalan raya 9 Julai lalu ada kesan. Dan kematian Almarhum Baharuddin gara-gara anti Bersih 2.0 itu tidak menjadikan ia sia-sia. Dia mengorbankan jiwa untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih.
No comments:
Post a Comment