Oleh Lanh
PEMERGIAN Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmatullah baru-baru ini mengamit kenangan penulis bersamanya ketika berada di Peshawar, Pakistan bagi satu misi bantuan kemanusiaan PAS pada Ramadan genap 10 tahun lalu (2001).
Dr Lo’ Lo’ adalah satu-satunya Muslimat dalam rombongan itu, jadi bagi saya Almarhumah lebih berperanan sebagai seorang ibu. Pembaca sebagai seorang anak, tentu tahu bagaimana keletah seorang ibu.
Ya, seorang ibu yang kadang-kadang menyuruh anda buat itu dan ini tetapi dengan penuh kasih sayang. Di Peshawar, Dr Lo’ Lo’ telah menyediakan jadual kerja harian yang antara lain tugas mengemas dan menyapu tempat kediaman.
Suatu pagi saya tergamam apabila Almarhumah meminta saya melakukan kerja-kerja basuhan dengan mesin basuh; saya melarikan diri kerana tidak pernah membasuh baju dengan menggunakan mesin basuh seumur hidup saya!
Tentunya saya terlalu sedih mengenang sikap mengelat saya ini, tetapi saya percaya seorang lagi anggota rombongan (seorang doktor yang tidak payah saya sebutkan namanya) tentunya terasa lagi tersangat sedih mengenangkan nostalgia Peshawar kerana beliau awal-awal lagi sudah ‘booking’ tugas untuk ke pasar setiap hari dalam program dua minggu itu!
Almarhumah Dr Lo’ Lo’ dan suaminya adalah antara ‘orang kuat’ dalam penyediaan makan dan minum kami ketika sahur dan berbuka puasa. Sebagai orang yang ‘malas’ ke dapur, saya tidak tahu siapa sebenarnya yang menyediakan termasuk memasak makanan-makanan itu. Namun hidangan disediakan walaupun bercirikan masakan Pakistan yang mengutamakan hidangan roti dan daging kambing, tetap dirasakan kelazatannya.
Secara beransur-ansur saya mulai belajar menyukai masakan Pakistan seperti ‘tikka’ dan roti nannya yang boleh tahan lama. Kadang-kadang ia menjadi keras, tetapi sebagai pengembala di rantau orang, telan sajalah, asalkan diberi kekuatan oleh Allah SWT agar pada siang harinya dapat menyelami sedikit sebanyak penderitaan pelarían Afghanistan yang kebanyakannya orang Pashtun.
Almarhumah Dr Lo’ Lo’ di mata saya tidak sukakan pembaziran makanan. Disuruhnya kami menghabiskan makanan ketika sahur atau berbuka puasa, dan jika masih berbaki, disimpannya (entahlah saya tidak sedar adanya atau tidak peti sejuk kerana di Peshawar ketika itu musim sejuk), dan makanan itu dipanaskan pada sesi makan berikutnya.
Kepada Dr Amin dan keluarga, didoakan tabah menghadapi ujian Allah ini, kami bersama merasakan kesedihan kehilangan Almarhumah Dr’ Lo’ Lo’. Budi dan kasih sayang Dr dan isteri tetap dalam ingatan, semoga Allah SWT menempatkan roh Almarhumah dan kita semua (insya-Allah akan menyusul) di kalangan roh-roh salihin dan syuhada yang memperjuangkan agamanya di muka bumi-Nya ini. Amin.
http://lanh14.blogspot.com
No comments:
Post a Comment