" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Friday, August 26, 2011

Respon Pengunjung: Sekilas Ikan di Air

Dalam penulisan saya sebelum ini yang bertajuk Sekilas Ikan di Air, ada yang memberi komen (maaf tiada nama), August 20, 2011 4:38 PM
“Saya yakin, kenyataan YB di atas adalah merujuk apa yg saya tulis sebelum ini. Darurat yang berlaku dalam kes JAIS ini adalah usaha untuk memurtadkan orang Islam berdasarkan laporan yang diterima. Maka pilihan yang ada ketika itu ialah "masuk dan periksa" kerana mungkin pada pandangan JAIS bukti sukar didapati jika tidak masuk memeriksa seperti kertas soalan yang dikoyakkan yang dimasukkan dalam tong sampah.

Mungkin bagi YB ia tidak bijaksana tetapi pihak JAIS melihat ia adalah yang terbaik dan bijaksana untuk mendapatkan bukti sebanyak yang mungkin. Disinilah apa yang saya katakan bahawa kaedah Islam ada menyebut: Tindakan imam (pihak berkuasa) adalah berdasarkan kepada maslahat.

Pihak JAIS melihat maslahat masuk memeriksa itu lebih baik daripada tak masuk. Disinilah apa yang saya katakan, kepercayaan perlu diberikan kepada pihak berkuasa termasuklah kepada YB Hasan Ali sbg exco untuk menentukan cara tindakan.

Kalu YB Khalid dah jadi exco nanti, saya adalah orang yang pertama akan sokong YB Khalid kerana YB pasti bertindak berdasarkan kepada maslahat wlwpn mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan YB.

Bukan bermakna kita tak boleh mengkritik, tapi kritiklah melalui saluran bukan melalui media terbuka seperti ini kerana ia akan menunjukkan perpecahan dan perbalahan antara pimpinan yang merugikan PAS.”

Saya rasa komen di atas perlu respon dari saya kerana ia mencerminkan pemikiran yang agak dominan di kalangan ahli gerakan Islam sehingga mereka tidak bersuara sedangkan keadaan memerlukan mereka bersuara. Saya nyatakan respon saya dalam bentuk ‘point-form’ agar mudah difahami.

1. Saya mohon, walau siapa pun exco (atau apa jawatan sekalipun), jangan sokong kerana dia exco. Jangan mudah membuat andaian bahawa dia melakukan sesuatu atas sebab maslahat dan oleh itu tindakannya mesti disokong. Kalau tidak setuju suarakan. Tidak perlu caci mencaci atau sumpah menyumpah, kemukakan hujjah. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu tindakan itu kelihatan menyalahi syarak, seperti menceroboh masuk rumah ibadat orang bukan Islam. Tindakan seperti ini menyebabkan orang bukan Islam merasa tidak selamat kerana diberikan gambaran Islam tidak menghormati rumah ibadat mereka. Dengan itu dakwaan Islam membela hak semua kaum mula dipertikai. Timbul kembali ketakutan bukan Islam terhadap pemerintahan Islam yang ingin diusahakan oleh PAS. Sedangkan ajaran Islam adalah sebaliknya.


2. Jangan oleh kerana kononnya ingin menjaga ‘perpaduan’, maka dibiar kekeliruan terhadap ajaran Islam dan jaminan keadilan Islam timbul tanpa dibantah. Ajaran Islam itu sendiri lebih penting dari ‘memperlihatkan perpaduan’. Bersatu di atas kesilapan apa maknanya? Kalau ada yang berkata “Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu” adakah kita perlu berdiam diri atas alasan maslahat? Ia menjadi lebih penting untuk ditegur apabila tindakan itu berlaku di khalayak ramai dan ianya disokong oleh orang yang dilihat mewakili PAS yang memperjuangankan Islam.

3. Ada juga yang menyebut, ianya ijtihad pihak berkuasa. Ijtihad itu mungkin betul, mungkin salah. Jika betul dua hasanat dan kalau salah satu. Soalan saya; “Adakah ijtihad yang salah perlu disokong?” Soal hasanat, itu di antara orang yang membuat ijtihad itu dan Allah. Ia bergantung kepada usaha yang bersungguh yang dilakukan oleh dirinya secara ikhlas untuk mendapatkan keputusan yang selari dengan kehendak syariat. Kalau tersilap setelah berusaha Allah berinya satu hasanat. Tetapi kalau silap, adakah kita masih perlu menyokong dengan mengatakan “tidak mengapa, dia dapat satu hasanat”? Sedangkan kesilapan itu ada implikasinya.

4. Pada masa yang sama ijtihad adalah berhubung sesuatu yang tidak diputuskan oleh syara’. Sedangkan soal ceroboh rumah ibadat bukan Islam ditegah walaupun semasa perang, apatah lagi dalam keadaan damai.

5. Hujjah yang dianggap boleh digunapakai untuk mempertahankan tindakan JAIS adalah ianya suasana ‘darurat’. Adakah ianya munasabah untuk menggunakan hujjah darurat sehingga digantungnya syariat dengan begitu mudah? Terima sahaja aduan maka bertindak melanggar syariat atas alasan darurat? Kalau asyik mengenepikan kebijaksanaan illahi di atas alasan sebegitu, maka sampai bila akan dapat kita perlihatkan keadilan Islam? Terima aduan ‘Kristian bersatu mengugat keselamatan Negara’ maka ditahan bawah ISA kerana darurat. Terima alasan ‘bukan Melayu cuba tegakkan kerajaan Kristian’ maka diceroboh rumah ibadat mereka dan diusir mereka ke laut kerana darurat. Seperti yang saya sebutkan tadi, sedangkan dalam perang kita ditegah menceroboh, apatah lagi semasa damai. Adakah suasana yang lebih darurat dari perang?

6. Apa yang perlu difahami juga ialah bahawa tindakan JAIS dilakukan tanpa pengetahuan Exco Agama dan Pengarah JAIS. Setelah berlaku, esoknya baru Exco dimaklumkan dan itu pun melalui sms dari YB Elizabeth Wong! Maka, siapa yang membuat keputusan untuk ceroboh masuk dan mengistiharkan darurat itu? Pengalaman kita sendiri dengan JAIS selama ini banyak membuktikan mereka tidak bertindak atas kepentingan Islam. Harus ingat, JAIS mengikut arahan MAIS, bukan kerajaan Negeri.

7. Sikap PAS Negeri Selangor seperti juga PAS Pusat adalah untuk TIDAK mengeluarkan pandangan sehingga mendapat laporan dari JAIS dan mendengar dari dua-dua pihak (dalam kes ini mungkin tiga bila termasuk NGO Harapan Kommuniti). Pandangan ini selari dengan pandangan rakan di dalam PR seperti yang disuarakan oleh MB. Bukankah keadilan menuntut kita dengar dua-dua pihak? Pada masa yang sama jaminan Islam terhadap keselamatan rumah ibadat bukan Islam perlu dipertegaskan. Ini juga telah dilakukan oleh pimpinan PAS dan PR. Tidak perlu dikeluarkan kenyataan menyokong JAIS atau pihak Gereja sehingga dengar dua-dua pihak.

8. Laporan kononnya ada kertas yang dibuang ke dalam bakul sampah, ada yang nak lari, ada Bible Melayu yang diberi pada orang Melayu yang hadir dan sebagainya, ianya semua laporan dari pihak JAIS. Benar atau tidak kita perlu dengar juga dari pihak yang dituduh. Itulah sebabnya kita minta JAIS buat laporan dan seterusnya dakwa di mahkamah untuk memutuskan kebenaran tuduhan berkenaan. Jangan terus bermain di muka akhbar semata-mata. Nampak macam tiada bukti yang kukuh dan apa yang dikemukakan melalui blog dan akhbar sebagai bukti akhirnya akan dianggap sebagai alasan untuk menjustifikasi tindakan menceroboh.

9. Tidak dapat juga dinafikan kemungkinan adanya agenda tertentu disebalik tindakan JAIS yang bertindak di bawah arahan MAIS yang dipengerusikan orang yang sama sejak dulu lagi.

Seterusnya, saudara Bahruddin ada menyebut bahawa saya seharusnya jangan gelojoh mengeluarkan kenyataan dan perlu mendengar penjelasan dahulu. Saya harap prinsip itu tidak ditujukan hanya kepada saya. Masalahnya, kenyataan akhbar menyokong tindakan JAIS telah terlebih dahulu dikeluarkan sedangkan belum lagi mendapat laporan penuh dan mendengar dari semua pihak. Adakah wajar kenyataan menyokong dikeluarkan pada ketika itu, lebih-lebih lagi apabila MB telah meminta laporan dikemukakan secara rasmi?

Kedua, prinsip Islam terhadap rumah ibadat bukan Islam adalah satu perkara yang perlu diperjelaskan dan dipertahankan. Pada masa yang sama, tuntutan perlembagaan terhadap persoalan tidak menyebarkan agama lain di kalangan orang Islam pun perlu ditegaskan. Kedua-dua perkara ini perlu diambil kira dan dengan bukan sewenang-wenangnya dikorbankan yang pertama demi yang kedua kerana yang pertama adalah juga sebahagian dari ajaran Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111