KUALA LUMPUR, PAS akan menggerakkan saman besar-besaran terhadap Felcra selepas sambutan Aidilfitri berhubung kepincangan dalam agensi itu terutama melibatkan bayaran dividen yang dibuat melalui koperasi.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS pusat Mazlan Aliman berkata, kepincangan dan penyelewengan membabitkan pengurusan Felcra lebih teruk daripada Felda.
“Saman besar-besaran ini akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri ini dan ia adalah rentetan daripada siri saman sebelum ini yang kita telah buat ke atas Felda dan dalam isu Felcra kita lihat salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam Felcra jauh lebih buruk dariapda kepincangan yang berlaku dalam Felda.
“Di Felcra pendapatan peneroka dibayar dengan dividen melalui koperasi, dalam setahun peneroka akan dapat pembayaran sebanyak empat kali dan apa yang jadi isu adalah kiraan (pembayaran) itu tidak dibuat ikut jumlah tan... masalahnya peserta tidak tahu apa jumlah tan mereka dapat kerana pendapatan mereka dibayar secara langsung tanpa didedahkan jumlah tan sebenar,” katanya pada sidang media di sini.
Kempen itu akan digerakkan Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) ─ pertubuhan bukan kerajaan yang khusus ditubuhkan oleh PAS.
Kata Mazlan, pendapatan yang diterima peneroka Felcra jauh lebih rendah daripada angka sebenar.
“Kita lihat kes saman di Perak, waris peserta Felcra tidak berpuas hati dengan pendapatan yang diterima hasil daripada lima ekar tanah, biasanya dalam lima ekar dia boleh dapat antara tiga hingga empat tan dan ia sepatutnya mencecah kira-kira RM1,800 ke atas tapi apa yang berlaku dia hanya dapat RM200 sebulan.
“Kalau satu tan harga boleh dapat RM600 lebih macam mana dia hanya dapat RM200 sebulan? Jumlah yang dia dapat terlalu rendah dan mahkamah telah putuskan bahawa memang berlaku penipuan dan penyelewengan terhadap pendapatan para peserta Felcra, apa yang mereka dapat terlalu rendah dan tidak tidak masuk akal,” katanya.
Justeru jelas beliau, bayaran pendapatan peneroka melalui koperasi perlu dihentikan kerana ia mengetepikan hak yang sepatutnya.
“Ini satu amalan yang sangat tidak beretika, kita telah meneliti kepincangan selain turut mengadakan perjumpaan dengan panel guaman kita dan berdasarkan kes yang sama, kita telah menerima beberapa aduan daripada peneroka Felcra termasuk dari Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.
“Dan, panel kita akan mengkaji secara terperinci mengikut kes ini dan kita akan failkan selepas raya nanti,” katanya.
Bagaimanapun Mazlan berkata koperasi boleh bertindak sebagai “orang tengah” untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan pengurusan sahaja bukan pendapatan peneroka.
“Koperasi boleh jadi orang tengah untuk penjualan hasil, koperasi tidak boleh mengawal, bila mengawal berlaku kepincangan dan amalan pembayaran dividen harus dihentikan kerana peneroka sepatutnya dapat hak yang telah mereka usahakan,” katanya.
PAS juga telah menubuhkan Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) bagi menyelesaikan masalah yang membabitkan warga peneroka di Felda.
Bapa dipengerusikan Razman Zakaria manakala Anak oleh Mazlan, yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.M/i
No comments:
Post a Comment