Oleh Subky Latif
KEPADA sekalian umat Islam diucapkan Selamat Hari Raya Adilfitri, pohon maaf, zahir batin. Saya juga memaafkan anda sekalian. Tahniah bagi yang berpuasa, moga-moga dianugerah rahmat, keampunan dan bebas daripada api negara. Marilah puasa bagi yang belum!
Islam tidak menentukan bentuk dan corak pakaian penganutnya. Pakailah fesyen apa jua, asal menutup aurat. Bagi laki-laki telah ditentukan auratnya dan bagi perempuan juga sudah ditentukan auratnya.
Yang ditentukan pakaian itu hanya apabila mati, sekalian berkapan dengan kain putih, tidak pernah berkapan dengan kain batik atau kain songket, tidak kira laki-laki atau perempuan. Baik dia Arab mahupun Orang Asli yang baru sehari masuk Islam.
Cuma bagi wanita semasa solat bertelekung dan biasanya umat Melayu ada fesyen telekungnya. Dan bagi menjamin telekung itu sentiasa bersih, maka ia tidak dipakai di manamana selepas solat dan ia dipakai semula semasa solat dan ketika berada di masjid.
Bagi laki-laki pakaian biasanya semasa bekerja, semasa dalam perjalanan atau semasa ke pasar asal saja bersih boleh menjadi pakaian solatnya. Dia boleh bersongkok, berkopiah putih, berserban, berselendang seperti laki-laki Saudi atau tidak menutup kepala.
Dan apabila berihram ditentukan juga pakaiannya. Selepas selesai ihram itu orang berihram lagi keluar dari Makkah. Sealim mana pun mereka tidak ber pakaian ihram balik dari Makkah dan penduduk Makkah yang ke England dan ke Bangkok pun tidak menggunakan pakaian ihram.
Dulu-dulu sebelum merdeka, orang yang balik dari Makkah tidak lagi memakai songkok baldu. Ke mana-mana berserban atau berketayap. Ada juga yang belum ke Makkah berserban dan berketayap. Mereka digelar lebai.
Tetapi selepas ramai orang balik dari Mesir, haji boleh memilih untuk berketayap atau bersongkok atau tidak menggunakan sebarang pakaian kepala. Bahkan bersolat Jumaat pun boleh tidak bersongkok. Tidak yang solat berkot dan bertali leher dulu. Sekarang biasa.
Mengapa orang alim lepasan Mesir itu begitu? Bagi menunjukkan Islam itu tidak menentukan pakaian atau bagi yang haji mesti begitu dan begini.
Maka bagi yang pernah menjadi Perdana Menteri di negara kita ini, usahkan hendak berjubah dan berserban sekali sekala selepas menjadi haji, mungkin ketayap pun tak ada. Sebab Islam tidak menentukan haji mesti berjubah dan berserban.
Yang berpakaian begitu nabinabi. Bagi orang yang hendak mengikut sunnah Nabi mereka berpakaian seperti Nabi pakai. Tidak haji pun berpakaian begitu. Cuma bagi orang Indonesia yang mengikut jejak Nabi dalam semua perkara khususnya dalam beribadat, satu saja yang jarang mereka ikut iaitu mereka tidak berserban. Sealim mana pun seperti Hamka, ke mana-mana pun bersongkok.
Saya tidak jumpa ada gambarnya berjubah dan berserban sekalipun beliau lama menuntut di Makkah.
Itu tandanya Islam tidak menentukan corak pakaian. Di Malaysia dulu, mufti, kadi, imam bahkan bilal dan siak pun berjubah dan berserban. Sekarang sudah boleh imam dan khatib bersongkok semasa menunaikan ibadat itu.
Bagi masjid-masjid utama imam, bilal dan siak ada uniformnya, berjubah tetapi tidak semestinya berserban. Biasanya kebanyakan imam berserban dan berjubah setiap solat Jumaat dan solat hari raya.
Bagi program Imam Muda hanya mudirnya berjubah dan tidak bersongkok. Berjubah dan berserban seperti pakaian Nabi itu tidak menjadi keutamaan bagi mereka. Itulah tandanya Islam tidak menetapkan pakaian bagi imam, mufti, kadi dan khatib.
Beza bagi hakim mahkamah syariyah dan hakim biasa, mereka bersongkok saja.
Bagaimanapun kebanyakan mufti dan imam utama adalah berjubah dan berserban dalam acara rasmi di masjid, berdoa semasa raja naik takhta, semasa talkin raja dan acara agama tertentu.
Dan bagi yang selalu haji dan umrah atau pernah beberapa tahun belajar di Makkah dan Madinah, semasa berada dan berehat di rumah, biasalah berkain pelekat dan berketayap.
Tetapi apabila ke luar rumah dan keluar masjid untuk acara rasmi biasanya ketayap, jubah dan serban itu ditinggalkan. Serban dan jubah itu adalah pakaian semasa di masjid tetapi di tempat lain terutama untuk muncul di TV mesti mereka berpakaian Melayu lengkap.
Tepatnya sesetengahnya berpakaian lebai semasa di masjid dan acara agama tertentu, tetapi berpakaian Melayu atau berpakaian lengkap dalam acara-acara rasmi kenegaraan. Malah untuk menjadi hakim tilawah al-Quran pun berbaju Melayu lengkap.
Ramai juga orang Melayu memilih berjubah untuk ke mana-mana. Sebagai mana mereka merasa selesa berpakaian begitu semasa di Makkah, maka mereka begitu juga selepas balik dari Makkah.
Bagi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abdul Hadi Awang biasanya ke mana-mana pun mereka begitulah pakaiannya baik ke masjid, acara rasmi di istana atau acara tidak rasmi. Berkain serban atau ketayap tidak tinggal.
Bagi orang seperti ini ke mana pun sama saja cara berpakaiannya. Dan ada juga yang tidak berjubah dan tidak berserban, ke mana saja berpakaian Melayu bersamping atau berkain dan bersongkok. Ke kedai pun mereka begitu, ke masjid pun begitu, dengan ke acara rasmi pun begitu.
Bagi yang demikian tiada beza berpakaian begitu baik dalam acara ibadat dan acara tidak rasmi.
Tidak seperti sesetengah mufti dan sesetengah imam. Apabila ke masjid pakaiannya mesti begini dan dalam acara yang tidak rasmi ibadatnya, dia berpakaian lain pula.
Tidakkah terasa kita bahawa dalam ibadat rasmi yang mendekatkan diri dengan Allah kita berpakaian yang dirasa sesuai tradisi agama Islam tetapi apabila dalam acara yang tidak 100 peratus ibadat, maka berpakaian lain pula?
Seolah-olah tokoh-tokoh agama rasmi ini ada pakaian tertentu di masjid dan ada pakaian lain pula di luar masjid.
Mungkin tiada apa-apa tujuan seseorang itu berpakaian begini untuk tempat tertentu dan begitu pula pakaian bagi tempat lain. Sekadar hendak menyesuaikan dengan keadaan.
Mungkin berjubah nipis ke kedai tidak selesa bagi yang tidak biasa seperti perdana menteri dan menteri-menteri. Tetapi bagi imam dan mufti pakaian begitu biasa bagi mereka semasa menuntut dulu dah biasa begitu sebelum jadi mufti dan imam besar.
Apa yang dibimbangkan ia apabila ke masjid ada pakaian tertentu dan apabila keluar masjid ada pakaian lain, nanti orang menganggap pakaian beribadat tidak sama dengan pakaian di luar ibadat. Takut ia menjadikan kita membezakan pakaian antara ibadat dengan tidak ibadat.
Ditakuti bagi yang menyesuaikan dengan keadaan itu termasuk secara tidak sengaja dalam amalan fahaman sekular. Bukankah sekular itu membezakan agama dan yang tidak agama.
Biasanya Imam Masjid Negara berserban semasa di masjid tetapi tidak boleh berserban ketika menyertai Forum Hal Ehwal Islam di TV. Mungkin mereka tidak memilih begitu. Jawatan yang mereka pegang ditentukan oleh negara mesti begitu.
Takut kebiasaan itu memberi setitik benih sekular dalam lautan Islam sedang lautan Islam itu mesti 100 peratus Islam.
Ketika Kemel Ataturk menguatkuasa ajaran sekular, imam dan khatib hanya berpakaian imam semasa di masjid. Semasa keluar dari masjid pakaian itu ditinggalkan di masjid. Pantang bagi bas dan teksi menumpangkan orang berjubah dan berserban. Apa lagilah muncul di TV.
No comments:
Post a Comment