Oleh Abu Firdaus
Lihatlah ketika MalayanUnion diumumkan, gagasan itu diterima Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sebuah parti paling awal yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.
Namun apabila disedari MalayanUnion akan mengubah kedudukan negeri-negeri Melayu daripada bentuk naungan kepada tanah jajahan, PKMM mengubah dasar dan turut mernolak gagasan itu.
Justeru, PKMM menyertai Umno untuk turut membantah MalayanUnion. Tetapi apabila ia dapati dasar kebanyakan persatuan komponen Umno adalah bukan memperjuangkan kemerdekaan penuh, maka PKMM pun keluar.
Memang benar Umno hanya mahu mempertahankan kedaulatan raja-raja ke atas negerinegeri Melayu supaya tidak menjadi tanah jajahan British untuk terus dinaungi saja. Setelah Darurat dan Malaya terancam dengan pengambilalihan oleh Parti Komunis Malaya (PKM), Umno mengubah matlamat daripada mempertahankan raja-raja Melayu kepada memperjuangkan kemerdekaan.
Maka dasar-dasar parti boleh berubah mengikut keadaan semasa. Justeru, apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura memperjuangkan penggabungan pulau itu dengan Malaya, Tunku Abdul Rahman memperlihatkan keberatan.
Tetapi setelah digabungkan dengan Sarawak dan Sabah, Umno tidak lagi keberatan tetapi turut memperjuangkan penubuhan Malaysia.
Namun begitu, sekurangkurangnya tiga parti ini menolak penubuhan Malaysia iaitu Barisan Sosialis Singapura, Front Sosialis Malaya dan Parti Islam Seluruh Malaya (PMIP atau PAS).
Hujah mereka serupa iaitu Malaysia adalah projek neokolonialisme British. Maknanya, penubuhan Malaysia untuk kepentingan British dan bukannya rakyat Malaya.
Barisan Sosialis dan Front Sosialis adalah parti kiri yang memihak kepada gagasan Presiden Sukarno. PAS yang walaupun bukan parti kiri tetapi ketika dipimpin Burhanuddin Al-Helmy, juga memegang gagasan Sukarno.
Dalam pilihan raya tahun 1964, parti-parti ini kalah teruk dan jelas bahawa rakyat menerima penubuhan Malaysia dan menolak gagasan kemerdekaan Sukarno.
Dengan keadaan de facto ini, semua parti ini menerima Malaysia sebagai negara merdeka penuh dan bukannya projek neo-kolonialisme lebih-lebih lagi pada zaman Tun Razak yang mengamalkan dasar luar bebas serta berkecuali.
Maka PAS pun bertukar nama menjadi Parti Islam Se-Malaysia dan menyertai Barisan Nasional.
Sementara agak lama juga, salah satu daripada tiga komponen Front Sosialis iaitu Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) menukar namanya kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia.
Dasar mana-mana parti berubah ikut keadaan politik semasa. Perkara itu adalah suatu yang lumrah dan tentunya dapat diterima.
Malah Tunku - bermakna Umno sendiri - menolak gagasan asal Malaysia apabila ia mengeluarkan Singapura daripada negara ini.
No comments:
Post a Comment