MUMTAZ: Ameerah ialah lajnah politik baru dalam Dewan Muslimat PAS Pusat khusus untuk wanita muda berumur dari 21 hingga 40 tahun yang dilatih untuk memimpin gerak kerja politik wanita muda dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Ia bagi menggerakkan momentum pengundi dan generasi muda di semua peringkat di dalam masyarakat, penggeraknya adalah ahli PAS.
Manakala pelancaran ‘Gelombang Epal Hijau’ ialah satu manifestasi dan harapan Dewan Muslimat melancarkan isyarat gerak kerja nasional pilihan raya dalam mood dan mode yang evergreen. Ini akan mengujakan serta sebagai tanda kita meraikan kesediaan Muslimat PAS memenangi PRU 13 dan mengiktiraf peranan wanita dan orang muda dalam melatari dan melengkapkan peranan kaum Adam dalam perjuangan politik dan pilihan raya di Malaysia.
Senator yakin momentumnya berkekalan?
Setiap gerak kerja perlu kepada permulaan yang baik bagi memastikan impak dan momentum yang berkekalan.
Adalah diharapkan dengan Majlis Pelancaran Ameerah dan Gelombang Epal Hijau sempena Sambutan Kongres 60 Tahun PAS pada 1 Oktober lalu, akan menaikkan lagi semangat para petugas terutamanya golongan HalWa Remaja bagi mengoptimumkan fungsi mereka di setiap lapangan untuk memenangi hati pengundi wanita muda khususnya dalam PRU ke-13.
Bagaimana idea menubuhkan Ameerah tercetus?
Ia hasil sumbangsaran dan usul dalam beberapa Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat yang mahu melihat wanita muda dalam PAS diberi ruang khusus untuk secara langsung dan menyumbang kepada masyarakat atas kapasiti dan pendirian politik Islam atas platform yang khusus untuk mereka dan memberi ruang kepada wanita muda yang komited dengan siasah untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.
Dewan Muslimat menyedari golongan muda telah mula membuka mata sebagai pengundi penentu dan majoriti memberi perhatian kepada PAS. PAS dikenali sebagai parti yang tak kenal kalah atas prinsip Islamnya cukup cemerlang memperjuangkan kebajikan dan keadilan untuk rakyat.
Apa persiapannya...
Setiap jentera dan tenaga yang ada di dalam PAS termasuk Muslimat Muda yang mewakili kelompok wanita muda perlulah digerakkan dan diraikan dengan perancangan dan perlaksanaan strategik. Ia bakal menghasilkan impak yang optimum kepada kemenangan PAS dalam pilihan raya akan datang khususnya untuk terus memenangi hati pengundi muda di negara ini.
Keputusan Dewan Muslimat PAS Pusat dengan mewujudkan satu lagi platform baru untuk muslimat muda, bernama Ameerah ini, dilihat amat bijak dan bertepatan bagi mencapai matlamat di atas. Ameerah perlu sebagai political agent kepada sayap Muslimat dalam bentuk yang lebih segar dan proaktif.
Beza Ameerah dengan Nisa’ dan Briged Muslimat, bagaimana pula?
Ameerah adalah anak muda yang menginfakkan diri secara sepenuh masa dan serius dengan perjuangan Islam dan politik atas nama Parti Islam Se-Malaysia.
Mereka akan mendekati dan bersama dengan pengundi muda secara langsung di dalam siasah.
Nisa melakukan aktiviti NGO wanita muda untuk generasi muda dan masyarakat. Skopnya adalah kerja-kerja kemasyarakatan, santai dan kesukarelawanan. Sasarannya lebih meluas dan sarat dengan nilai berkebajikan dan khidmat .
Manakala Briged Muslimat untuk anak muda dan muslimat yang berminat dalam pasukan beruniform dan sanggup menjalani latihan intensif dan disiplin yang tinggi. Mereka bertugas dalam Dewan Muslimat untuk membantu membuat kawalan keselamatan ke atas pimpinan muslimat, isteri pimpinan dan ahli muslimat semua peringkat terutama semasa pilihan raya dan program rasmi parti.
Mendapat restu pucuk pimpinan...
Alhamdulillah, Dewan Muslimat mendapat sokongan dan restu penuh PAS dalam tindakan ini sebagai mematuhi sunnah Rasulullah s.a.w menempatkan wanita muda dalam perjuangan.
Muslimat harus bersiap siaga dalam semua posisi untuk melancarkan gerak kerja ini sebagaimana Nabi s.a.w juga turut melibatkan peranan para sahabiyyah semasa peristiwa Hijrah dan Baiah.
Sejauh mana YB melihat entiti baru ini mampu meletakkan dirinya di persada politik tanah air?
Anggota Ameerah terdiri daripada golongan cendekiawan yang komited untuk memahamkan masyarakat mengenai politik Islam dan menyebarkan kebajikan dalam polisi pentadbiran dan mengemukakan pandangan bagi pihak generasi wanita muda yang sedar dan prihatin.
Dilihat dari latar belakang dan prestasi Nisa sebelum ini, kita meletakkan kepercayaan penuh untuk mereka bekerja, kesungguhan mereka dalam melancarkan Ameerah dan ‘Gelombang Epal Hijau’ sebagai contohnya. Mereka didoa dan digelar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai golongan muslimat muthaqqafat, muslimat murabbiyat dan muslimat mujahidat.
Boleh memberi jalan keluar kepada Puteri Umno?
Dengan pemikiran, tindakan, penampilan dan perancangan yg tersusun insya-Allah, Ameerah adalah wanita muda kita yang matang dan bersedia untuk bersama masyarakat. Persaingan dengan Puteri Umno dan sebagainya akan menambahkan kepelbagaian dan pilihan kepada generasi untuk memilih yang terbaik, dengan slogan Leading Change For the New Generation.
Penubuhan Amerah berkaitan dengan pertambahan jumlah pengundi muda...
Perkembangan terkini politik negara dengan pertambahan lebih tiga juta pengundi baru dengan dua juta daripadanya terdiri dari pengundi muda dilihat perlu diberi perhatian serius di peringkat jentera pilihan raya parti. Ini bagi menampung kelompangan tersebut maka ditubuhkan Ameerah. Ia sangat menepati aura rakan sebaya.
Di mana status Ameera dalam Dewan Muslimat PAS Pusat?
Ameerah salah satu daripada lajnah dalam Dewan Muslimat.Ia bertanggungjawab terhadap semua urusan politik muslimat muda, berfungsi seperti Lajnah Politik Dewan Muslimat PAS Pusat tetapi skop khusus kepada medan dan lapangan politik anak muda.
Ia akan berperanan dengan pendirian tegas anak muda PAS dalam politik dan akan membina modul dan pendekatan sesuai bagi generasi muda dalam politik baru dan menangani keperluan golongan pengundi muda.
Ameerah akan mempunyai kumpulan pengkaji masyarakat bagi menghasilkan data yang menyeluruh tentang demografi dan keperluan masyarakat Malaysia bagi memenuhi citacita Dewan Muslimat PAS dalam menyebarkan Islam dan menghasilkan kertas kerja polisi untuk disyorkan kepada badan-badan kerajaan atau untuk dibentangkan di dalam persidangan parlimen oleh ahli parlimen untuk kepentingan generasi muda
Siapakah yang memantau pergerakan ini?
Dewan Muslimat PAS Pusat umumnya dan saya sebagai Naib Ketua dewan diberi tanggungjawab oleh ketua dewan khusus sebagai Pengerusi Penstrukturan Semula Generasi Ketiga dan Pelapis akan bersamasama memantau dan memastikan semua pemimpin dan petugas generasi ketiga-tiga lajnah berganding bahu dan berfungsi seoptimum mungkin, untuk mengukuhkan perjuangan Islam dan Dewan Muslimat.
Siapa sasaran Ameerah?
Pendekatan Ameerah adalah memimpin anak muda dalam politik secara turun ke lapangan dan menyebarkan kesedaran politik. Sasaran khusus adalah ahli PAS daripada kalangan wanita muda, pengundi muda dan petugas pilihan raya Muslimat muda.
Ke manakah arah tuju Ameerah dalam PAS?
Kesimpulannya, arah tuju penubuhan Ameerah bertepatan dengan ruang dan peluang generasi muda menyatakan pendirian secara rasmi dengan perancangan strategik parti untuk mewujudkan lajnah dan menangani gelombang kebangkitan generasi muda.
Mereka menjadi undi penentu dalam pilihan raya umum akan datang.
Dewan Muslimat menyedari keperluan, bilangan dan lebih penting platform ini untuk orang muda yang memerlukan pendekatan terkini dan baru yang lebih mudah, versatile dan alamiyyah sifatnya.
No comments:
Post a Comment