ADA pihak mengatakan isu pelaksanaan hudud di negara ini menjejaskan imej politik PAS, sehingga dikatakan ada di kalangan pendukung parti itu sendiri tidak setuju pemimpin mereka membangkit isu ini.
Kononnya ia menakutkan bukan Islam daripada terus mengundi PAS dalam pilihan raya umum tidak lama lagi.Bagaimanapun isu ini kelihatan semakin mengasak BN, khususnya Umno, apabila segala dolak-dalih disuarakannya akhirnya kembali menikam parti itu dan rakan-rakannya dalam BN.
Kononnya hudud tidak sesuai dengan realiti masyarakat negara ini. Ada yang menganggapnya hukum teokratik, tidak demokratik dan tidak memiliki unsur keadilan.
Ada pula yang lebih ghairah mempersoal kenapa baru sekarang PAS menyuarakan kembali isu ini. Sedangkan PAS memerintah Kelantan sudah lebih 20 tahun.
Sebetulnya mereka ini sengaja buat-buat lupa bahawa Umno sendiri sudah 56 tahun (sejak pilihan raya umum pertama, 1955) memegang tampuk kuasa. Apakah ada sebarang inisiatif diambilnya untuk memahamkan rakyat mengenai hukum Islam itu?
Akhirnya rakyat menemui punca sebenarnya. Bahawa titik tolak pertikaian ialah apabila Umno selaku tunjang pemerintahan negara tidak pernah berhasrat melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahannya. Bahkan parti itu bertegas tidak akan memberi laluan kepada PAS menyempurnakan tuntutan agama itu.
Lalu bagi mengelakkan ditohmah sebagai menolak hukum Tuhan, seterusnya dipertikaikan tahap pegangan agama mereka, para pemimpin Umno berdalih pula kepada hujah perlembagaan. Kononnya hudud dicadangkan PAS bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutama berkaitan bidang kuasa negeri melaksanakan undangundang jenayah.
Ia juga disabitkan sebagai mencabuli hak dan kebebasan penganut agama lain yang dijamin Perlembagaan. Lalu dipetiklah peruntukan ‘agamaagama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’. Justeru ketegasan PAS meneruskan hasrat melaksanakannya dibimbangi akan menjerumuskan negara ke kancah krisis Perlembagaan.
Apakah benar pelaksanaan Islam bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan.
Ataukah dakwaan itu juga tertakluk kepada pentafsiran peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu sendiri?
Contohnya, peruntukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Apakah ia sekadar agama untuk diterima sebagai label tanpa memiliki hak menguatkuasakan ajaran dan hukum peraturannya atau bagaimana? Ataukah taraf dan kedudukan Islam sama sahaja dengan agama-agama lain?
Barangkali titah ucapan Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah di Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia di Kuala Lumpur, 26 September lalu boleh dirujuk sebagai penjelasan.
Titahnya, “Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Baginda lantas memetik tafsiran Hakim Mohd Noor Abdullah dalam penghakiman satu kes mahkamah yang menyebut, “...Peruntukan ‘Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak.
“Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam... dan agama-agama lain hendaklah diatur suai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman dan damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam...”
Ertinya, jika difahami daripada tafsiran itu, hak dan kebebasan agama lain bukan sahaja tertakluk kepadasejauh mana ia tidak menggugat kedudukan utama agama Islam, malah Islam sebagai agama Persekutuan memiliki hak untuk diamal dan dikembangkan.
Soalnya, apakah ruang lingkup mengamal dan mengembangkan Islam itu hanya terbatas kepada aspek peribadatan khusus sahaja tanpa melibatkan hukum-hakam dan peraturan hidup lebih luas, terutama melibatkan politik dan jenayahnya?
Sekali lagi kita melihat isu ini bergantung kepada pentafsiran terhadap peruntukan Perlembagaan itu sendiri.
Lagipun, mengapa susah sangat jika hudud benarbenar bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan sehingga memerlukan Perlembagaan dipinda jika masih mahu melaksanakannya?
Apakah selama ini ia tidak pernah dipinda? Bahkan ia dikatakan telah 53 kali dipinda, hampir sekal i setiap tahun sepanjang usia kemerdekaan negara.
No comments:
Post a Comment