Kekuatan dan martabat bahasa Melayu telah diruntuhkan kerana bahasa Melayu tidak lagi dianggap sebagai bahasa ilmu atau bahasa perpaduan.
KENGERIAN sejumlah kecil pejuang bahasa Melayu tegar semacam hilang apabila kerajaan Malaysia pada 2009 mengumumkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula pada 2003 ditamatkan di peringkat sekolah pada tahun 2012.
Realiti ngeri ini semakin terang wajahnya apabila terdapat pula sesetengah pemimpin Melayu berdolak-dalik dalam dalam isu ini apabila desakan-desakan seperti ini semakin lantang. Mantan Perdana Menteri yang mengarahkan PPSMI diwujudkan, masih mempertahankan kebaikannya dan baru-baru ini dengan bangganya menyatakan bahawa pendukung PPSMI merupakan ‘nasionalis yang sebenar’.
Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan semakin terhakis
Dengan pelaksanaan PPSMI, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah dihakis dan dicemari. Jadi apa yang ada pada bahasa Melayu. Satu aspek penting yang ada pada bahasa Melayu ialah ia sebagai ejen atau alat perpaduan di kalangan kaum atau etnik di Malaysia. Di dalam konteks ini, bahasa Melayu dilihat bukan sebagai satu bahasa milik satu kumpulan etnik sahaja tetapi milik semua etnik. Dahulu bahasa Melayu dilihat sebagai satu medium untuk mewujudkan perpaduan antara kaum. Walau bagaimanapun tanggapan bahawa bahasa Melayu sebagai satu alat untuk mewujudkan perpaduan di Malaysia sudah semakin lemah atau tidak mahu wujud lagi.
Tempatnya sedang dan akan digantikan dengan bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai bahasa ilmu berbanding dengan bahasa Melayu sebagai bahasa orang kampung.
Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan hanya ada di dalam buku teks sahaja. Polarisasi kaum semakin menebal sama ada di sekolah atau di universiti. Bahasa Melayu merentas etnik atau kaum tidak mempunyai nilai lagi sekarang. Kebelakangan ini kerajaan Barisan National (BN) pula mengalakkan lagi polarisasi kaum dengan memainkan isu-isu bangsa dan agama.
Bagi orang Melayu bahasa Melayu adalah bahasa mereka dan bagi etnik yang lain, bahasa Melayu bukan milik mereka. Bagi etnik bukan Melayu, jika ada ancaman kepada bahasa Melayu, mereka tidak peduli. Bagi mereka tidak ada keperluan untuk perjuangan bahasa.
Maka untung nasib bahasa Melayu diperjuangkan oleh orang Melayu sahaja dan bagi yang bukan Melayu mereka rasa tidak perlu (hanya terdapt segelitir kecil bukan Melayu yang memperjuangkan bahasa Melayu yang terancam ini).
Etnik Cina lebih suka menghantar anak mereka ke sekolah Cina di mana mereka boleh mempelajari bahasa Cina dengan baik dan tersusun dan begitu juga dengan etnik India. Bagi etnik bukan Melayu, mereka ada bahasa ibunda mereka yang harus diperjuangkan. Misalnya, etnik Cina akan menentang jika sesiapa yang memperlekehkan sekolah Cina kerana di sekolah Cina berkembang pesat bahasa Cina.
Tetapi mereka tidak ambil pot jika bahasa Melayu dipersendakan. Hal ini tidak dapat dipersalahkan kepada etnik Cina kerana kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan tidak nampak lagi. Hal ini juga berterusan sangat bahaya kepada keutuhan negara.
Bahasa Inggeris bahasa wajib lulus
Hari ini bahasa Inggeris dilihat penting sebagai bahasa ilmu dan ekonomi. Selain itu, sudah ada kecenderungan bahawa bahasa Inggeris akan menjadi bahasa perpanduan kerana penggunaan bahasa ini sebagai medium masyarakat Malaysia berkomunikasi semakin penting di dalam pelbagi lapisan masyarakat. Penekanan kepada penguasaan bahasa Inggeris di dalam bidang komunikasi tidak salah kerana kita wajar mempelajari dan menggunakan pelbagai bahasa.
Masyarakat di pedalaman juga perlu menguasai bahasa Inggeris. Perlunya menguasai bahasa Inggeris menjadi lebih nyata apabila Kementerian Pelajaran bercadang menjadikan subjek Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib lulus dalam peperiksaan. Usaha mewajibkan lulus Bahasa Inggeris di dalam peperiksaan sebenar telah lama patut dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan bagi memperkasakan bahasa Inggeris khususnya di kalangan pelajar Melayu yang jauh ketinggalan di dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Namun, oleh kerana adanya pemimpin Melayu yang singkat fikirannya telah memperkenalkan PPSMI yang diyakininya dapat memperkasakan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah maka nasi semacam telah menjadi bubur dan realiti ngeri tentang hinanya bahasa Melayu semakin tampak kewujudannya.
Dasar PPSMI ini telah mengorbankan bahasa Melayu.Kekuatan dan martabat bahasa Melayu telah diruntuhkan kerana bahasa Melayu tidak lagi dianggap sebagai bahasa ilmu atau bahasa perpaduan. Pelajar dibenarkan menggunakan sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris untuk menjawab soalan peperiksaan Matematik dan Sains. Pelajar semakin keliru, mereka belajar di dalam bahasa Inggeris tetapi dibenarkan menjawab di dalam bahasa Melayu.
Keputusan peperiksaan Matematik dan Sains mereka turut merosot jika tidak ditolong dengan merendahkan markah lulus. Kita menipu bangsa sendiri dan mereka yang menipu ini akan ditimpa musibah yang dahsyat, jika tidak di dunia maka di akhirat menanti,. jika tidak anak mereka, cucu mereka pula akan ditipu.
Kebangkitan gelombang bahasa Melayu diperlukan sekarang
Hari ini dan esok bahasa Melayu akan terus diancam. Di pusat-pusat pengajian tinggi, bahasa Melayu telah hanyut kerana kepentingan bahasa ini telah luput cahayanya sama ada di dewan kuliah atau di bilik-bilik mesyuarat. Di sektor swasta, bahasa Melayu sudah lama tinggal nyawanyawa ikan dan tunggu masa hendak mati sahaja.
Keadaan bahasa Melayu yang genting lagi terpinggir ini perlu diatasi dengan mewujudkan satu gelombang kebangkitan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan ilmu secara besar-besaran. Hanya bahasa Melayu dapat mewujudkan perpaduan di Malaysia kerana bahasa ini ada nilai sejarah dan perjuangan di dalam pembentukan Malaysia negara merdeka dan bukannya bahasa Inggeris.
Bahasa etnik lain tidak mampu menjadi bahasa perpaduan kerana bahasa Melayu termaktub di dalam perlembagaan Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Pejuang-pejuang bahasa yang tegar hanya tinggal beberapa orang sahaja (Dr Hassan Ahmad telah meninggal dunia barubaru ini). Perjuangan A Samad Said sudah merentasi bahasa.
Pada tahun 1960-an, Usman Awang dan hampir 2,000 pejuang bahasa dengan berani mengadakan perarakan bantahan Keranda 152 yang membantah kegagalan kerajaan menjadikan bahasa Melayu bahasa pengantar di sekolah dan badan kehakiman. Pada hari ini, pendekatan perjuangan pejuang bahasa tegar tidak berdaya lagi untuk mencetuskan satu gelombang kesedaran yang luas dan berkesan di kalangan masyarakat umum tentang bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan ilmu.
Pendekatan diplomasi yang mereka gunakan mengharapkan dasar kerajaan akan berubah dan memihak kepada mereka. Di dalam konteks sekarang, harapan itu masih jauh menjadi realiti.
Pejuang-pejuang bahasa Melayu pernah berdemonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI berkesan apabila kerajaan akan membatalkan PPSMI pada 2012. Pendekatan ini kemudiannya terhenti. Mereka lebih banyak berdiplomasi dengan kerajaan dengan harapan kerajaan akan berlembut atau bersimpati dengan isu bahasa Melayu ini.
Pejuang bahasa tegar dan mentransformasikan DBP
Bagaimanakah kita mahu mencetuskan gelombang yang besar bagi kebangkitan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan?
Bolehkah slogan “1- Malaysia 1-Bahasa” digunakan untuk mewujudkan gelombang ini? Di mana pelbagai NGO Melayu seperti Gapena di dalam mencetuskan kebangkitan bahasa Melayu? Mampukah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencetuskan satu gelombang kebangkitan bahasa Melayu.
Bolehkah DBP yang kelihatan sepi ketika bahasa Melayu sudah hampir dikuburkan dapat mencetuskan gelombang ini? Kita tidak menafikan bahawa DBP selama ini adalah institusi kerajaan yang memperjuangkan bahasa Melayu dengan dana rakyat untuk rakyat.
Cawangan DBP ditubuhkan di utara, selatan, timur dan Sabah dan Sarawak.
Namun, perjuangan DBP pada waktu bahasa Melayu sedang dikuburkan oleh pemimpin Melayu sangat lemah dan semangat juangnya pudar.
Dengan DBP yang ada sekarang, sandaran yang diberikan kepadanya untuk mencetuskan kebangkitan bahasa Melayu akan meleset. DBP tidak berani dilihat sebagai hero memperjungkan keruntuhan bahasa Melayu pada waktu ini. Tidak ada lagi hero DBP seperti Tun Syed Nasir Ismail yang pernah menjadi Pengarah DBP memperjuangan bahasa Melayu secara terbuka pada 1967.
Apa yang dapat kita perhatikan pemimpin-pemimpin DBP hari ini dan sebelum ini tidak berani melawan taukenya iaitu Menteri Pelajaran di dalam isu ini di pentas umum atau terbuka. Akibatnya, DBP terpaksa berbisik-bisik tentang masalah bahasa Melayu dengan menterinya kerana tidak mahu melukakan hati menteri kerana survival pemimpin-pemimpin DBP berada di dalam tangan menteri.
Masyarakat umum tidak tahu apa yang dibisikkan kepada menteri.
Adakah DBP bertegas di dalam hal ini? Jadi masyarakat melihat DBP semacam tidak berbuat apa-apa yang konkrit dan berani. Tambahan pula DBP sedang menghadapi masalah dalaman seperti dengan Dawama yang juga tidak dapat diselesaikan dengan baik.
Jadi DBP tidak boleh menjadi satu badan pendesak yang lantang bercakap tentang bahasa Melayu. Political will untuk survival bahasa Melayu semakin lemah. Dengan pendekatan DBP sekarang ini, ia tidak dapat mencetuskan kebangkitan gelombang Bahasa Melayu yang sangat diperlukan.
Bahasa Melayu mengemis
Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di tempat yang wajar, kelihatan bahasa Melayu mengemis kepada bangsa yang melahirkannya. Keadaan ini sudah terbalik, dunia bahasa Melayu seperti hendak kiamat. Sungguhpun masih bernafas, jasadnya telah lemah dan terbuang.
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan dan pejuang bahasa yang tegar yang segelintir itu perlu ditolong. Gelombang bahasa Melayu perlu dihidupkan dengan apa cara sekali pun. Masih belum terlambat.
Bilangan pejuang bahasa yang segelintir itu perlu ditambah dengan memperbanyakkan majlis-majlis kesedaran tentang keperluan bahasa Melayu untuk menjadikannya bahasa perpaduan dan ilmu. Institusi bahasa seperti DBP perlu mempunyai satu pendekatan yang lebih berani untuk beroperasi. Menteri Pelajaran perlu melihat kembali status DBP. Autonomi yang lebih besar perlu diberikan kepada DBP di dalam aspek pengurusannya dan pelaksanaan dasar bahasa kebangsaannya. DBP tidak boleh terikat dengan politik.
No comments:
Post a Comment