ULASAN Kebebasan beragama, kebebasan bertingkah laku dan kebebasan bersuara adalah hak milik semua pihak di dalam sistem demokrasi di negara ini. Namun ianya mempunyai limitasi tertentu tergantung kepada keadaan semasa.
Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN), yang akan diadakan pada 22 Oktober ini dilihat telah menjentik kesedaran masyarakat dalam menyelamatkan aqidah umat Islam di negara ini. Namun AMEERAH berpandangan, langkah yang lebih lunak perlu dilaksanakan lantaran isu ini melibatkan sensitiviti masyarakat Islam secara keseluruhan.
Umpama menarik rambut dalam tepung, pendekatan dalam menangani isu kegelinciran aqidah di Malaysia perlu pendekatan yang hikmah dan tersusun. AMEERAH bersetuju dengan pandangan Presiden PAS bahawa agenda menyelamatkan aqidah ini adalah agenda murni tetapi perlu diurus dengan cara berhemah.
Mewakili suara generasi muda, AMEERAH melihat isu ini dari sudut sisi yang lebih meluas. Kewajiban menyelamatkan aqidah terutama di kalangan generasi muda memerlukan kesiapsiagaan yang merentas.
Justeru, AMEERAH mencadangkan agar usaha-usaha berikut diambil bagi memelihara aqidah umat Islam di negara ini:
1. Silibus pemantapan akidah juga seharusnya dititikberatkan dalam kurikulum sekolah. Dasawarsa menyaksikan anak muda era kini, mengalami pelbagai asakan bejatan sosial yang memerlukan mereka mempunyai asas akidah yang tinggi untuk berhadapan dengannya.
2. Pemerkasaan institusi kekeluargaan yang lebih menitik beratkan agenda pembangunan jatidiri berteraskan agama dan moral di kalangan anak-anak.
3. Institusi agama perlu lebih fleksibel mendekati anak muda menerusi pelbagai aktiviti yang menarik selari dengan kebejatan global kerana generasi ke-3 kini lebih gemar berhubung secara maya, dan set lapangan maya yang baru ini memerlukan pengubahsuaian dimensi dakwah. Agamawan harus keluar mencari anak-anak muda ini, dan bukan hanya menunggu mengharapkan mereka hadir
4. Mengembalikan kegemilangan institusi masjid sebagai tapak rekayasa sosial yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan prestij menarik anak muda menuntut ilmu, bersukan dan bersosial. Institusi ibadah ini bukan hanya lagi berfungsi sebagai tempat untuk beribadah tetapi diperluaskan fungsinya menjadi tempat menuntut ilmu, pusat beriadah untuk golongan muda. Konsep mesra masjid perlu diterapkan bagi mendekatkan anak muda kepada tempat-tempat yang baik.
Mengenai HIMPUN pada Sabtu itu, AMEERAH berpendapat tidak salah dalam konteks demokrasi negara. Pun begitu, kami percaya dengan penekanan dalam sistem pendidikan agama, pengukuhan institusi kekeluargaan, peranan agamawan dan penambah baikan institusi masjid, maka usaha ke arah mempertahankan aqidah umat Islam akan lebih berkesan.
Generasi muda hari ini telah terdedah dengan sistem yang lebih terbuka dan kebanyakannya tidak cenderung kepada tindakan agresif yang menyentuh sensitiviti agama. Justeru, kita elakkan pendekatan reaktif kerana usaha untuk memelihara aqidah umat Islam perlukan langkah proaktif dan berterusan bagi menjamin kelangsungan generasi yang teguh aqidah, mantap ilmu dan berakhlak ihsan.
NOTA: Penulis adalah pengerusi AMEERAH - entiti baru bahagian politik wanita muda di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/179112
No comments:
Post a Comment