Oleh Suhaizan Kayat
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin telah mengumumkan akan mendedahkan berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing dan kad pengenalan palsu kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi.
Jawatankuasa Terpilih Parlimen ini ditubuhkan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini bukannya memperbaiki sistem permohonan kewarganegaraan atau memperbaiki perjalanan Jabatan Pendaftaran Negara.
Saya berpendapat tiada keperluan Menteri Dalam Negeri untuk membentangkan tuduhan manipulasi kad pengenalan dalam jawatankuasa tersebut.Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya bertugas untuk menyiasat ruang manipulasi dalam pilihanraya bukannya ruang manipulasi kad pengenalan di negara ini.
Mungkin sebab teknikal ini Menteri Dalam Negeri akan terselamat daripada disoalsiasat oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen.
Sepatutnya Menteri Dalam Negeri menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung dengan keraguan-keraguan yang Pemuda PAS bangkitkan seperti berikut:
1. Bagaimana terdapat lebih 5 Ribu identiti yang mempunyai nama yang sama dan nombor kad Pengenalan yang 83% sama seperti di bawah:
AZINAH BT MOHD FAZIN (800820-02-5150)
AZINAH BT MOHD FAZIN (800829-02-5150)
2. Bagaimana Mismah yang masuk ke negara kita tahun 1982, hanya perlukan masa 6 bulan sahaja boleh mendapat status penduduk tetap sedangkan syarat Jabatan Imigresen memberi syarat 5 tahun untuk membolehkan Mismah mendapat status penduduk tetap.
3. Kenapa rekod penduduk tetap seperti Mismah tidak dikemaskini lebih 7 bulan dalam pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara?
4. Bagaimana satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu yang sama. Seolah-olah kad pengenalan lama ini melahirkan dua kad pengenalan baru. Contohnya:
Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama: A2278510) (No Kad Pengenalan baru: 720616025472)
Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama: A2278510) (No Kad Pengenalan baru: 720610025738)
5. Kenapa 240 orang warga asing diberi kursus keusahawanan di Istana Dugang Country Resort hanya 5 jam sahaja?
Bukankah warga asing ini tidak dibenarkan berniaga, kenapa perlu diberi kursus?
Kenapa Hishmuddin tidak tahu aktiviti 240 orang warga asing ini lakukan, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang tahu bahawa mereka terlibat dengan kursus keusahawanan?
Apakah Hishamuddin sudah tidak percaya kepada pegawainya sendiri?
Kenapa Hishamuddin mengangap isu ini sebagai isu kecil sedangkan ia melibatkan pengkhianatan kepada negara.
6. Kenapa ada jumlah yang terlalu ramai iaitu 170,818 pengundi yang mempunyai kad pengenalan berkod negara “71” dimana kod tersebut tidak ditafsirkan dalam Jabatan Pendaftaran Negara.
7. Kenapa ada begitu ramai warga asing yang didaftarkan sebagai warga negara selepas tahun 2008 hingga 2011 iaitu 27, 293 orang sedangkan rakyat kita sudah terseksa dengan pesaingan sektor pekerjaan dan perniagaan kecil di negara ini.
Saya merasakan penjelasan Menteri Dalam Negeri terhadap ruang manipulasi dalam pemberian kad pengenalan tidak sesuai dijelaskan dalam Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya kerana itu bukan saluran yang sebenar.
Saluran yang sebenar adalah menjawab setiap soalan yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS Malaysia.
Malangnya Menteri Dalam Negeri seolah-oleh takut untuk menjawab setiap persoalan kerana beliau tahu Pemuda PAS Malaysia ada peluru yang banyak untuk menjawab balik setiap jawapan yang diberikan.
Atau pun Menteri Dalam Negeri takut terperangkap dalam agenda “kursus keusahawanan”.
Jalan mudah maka Hishammuddin menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya walaupun membentangkan pada saluran yang salah. Itulah lambang sebuah kerajaan yang lemah.
Penulis adalah Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Pemuda PAS Johor.
No comments:
Post a Comment