Oleh Abd Shukur Harun
Saya masih ingat bagaimana wartawan A Samad Ismail ketika melaporkan dari Jakarta mengenai sambutan kemerdekaan Malaya pada Ogos 1957 mengatakan, akhbar-akhbar Indonesia menyebut bahawa dasar Malaya ‘masih dipengaruhi oleh Downing Street.’., merujuk pejabat PM British di London.
Sesungguhnya, para tokoh pejuang tanah air yang saya sebutkan di atas tadi sudah tidak berada di tengah-tengah kita lagi.
Namun mereka adalah pewaris perjuangan menentang penjajah pada masa lalu - Dato’ Orang Kaya Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau dan ramai lagi. Perjuangan ini juga disertai sama oleh para ulama seperti Abu Bakar Baqir, yang sangat besar sumbangan mereka.
Malangnya, sumbangan mereka dan tokoh kiri pewaris perjuangan kemerdekan ini telah dinafikan oleh golongan tertentu atas kepentingan politik dan pelbagai prejudis.
Dr Burhanudin dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak, meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada 1966, penyakitnya masih belum sembuh.
Sementara itu, Ishak Haji Muhamad meninggal pada 7 November 1991 dalam usia 82 tahun. Beliau telah merengkuk dalam penjara sebanyak dua kali. Sasterawan Usman Awang pula lahir pada 1 Julai 1929 meninggal dunia pada 29 November 2001 .
Seorang lagi tokoh besar, Ahmad Boestamam lahir pada 30 November 1920 , meninggal pada 19 Januari 1983 . Nama asalnya Abdullah Thani bin Raja Kechil adalah aktivis politik antipenjajah Inggeris di Malaya. Beliau ditangkap dan dipenjarakan sebanyak tiga kali.
Sejarah perjuangan mereka tidak mungkin dapat dipadamkan dengan hanya sebuah kenyataan yang tidak munasabah dan tidak mempunyai sebarang kekuatan walaupun oleh seorang dua profesor.
Sekali lagi saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah tanggapan para pejuang ini kiranya mereka masih hidup apabila membaca pandangan ahli akademik yang sungguh mengelirukan ini.
Usman Awang dan rakanrakannya dalam Angkatan Sasterawan ’50, walaupun tidak pernah merengkuk dalam tahanan, melalui ketajaman penanya dengan beraninya mengkritik penjajah British dalam karya-karya novel, puisi dan cerpennya. Malah mereka juga mengkritik pemerintahan anak negeri sendiri selepas merdeka kerana keadilan sosial masih tidak dapat ditegakkan serta persoalan miskin kaya dan sebagainya masih wujud.
Almarhum Usman Awang pernah menyatakan dengan tegas bahawa kalau tidak berani menyatakan kebenaran, jangan menjadi penjulis.
Sementara itu, saya masih ingat, ketika menunaikan fardu haji kali pertama bersama Ishak Haji Muhamad pada tahun 1984, kami banyak berjalan di Tanah Suci, serta makan bersama di beberapa restoran. Tokoh besar pejuang kemerdekaan ini berulangulang memberitahu saya bahawa perjuangannya selama ini adalah untuk memenuhi tuntutan Islam, membebaskan dan mengangkat martabat manusia supaya jangan jadi hamba penjajah selamanya.
“Mudahmudahan Allah menerima amalan aku ini,” katanya membahasakan dirinya aku.
Mengenang seorang lagi tokoh, saya teringat pandangan tokoh politik dan intelektual ternama, Dr Syed Husin Ali mengenai pemikiran Dr Burhanudin Al- Helmy yang sangat menarik.
Berucap di ‘Seminar Pemikiran Dr Burhanudin Al-Helmy’ di Shah Alam anjuran Pusat Kecemerlangan Ummah Centre beberapa tahun lalu, Dr. Syed Husin berkata: “Almarhum Dr Burhanudin membawa perjuangan Melayu melalui wadah perjuangan Islam, justeru ini akan lebih bermanfaat kepada orang Melayu kerana Islam mampu mengangkat sesuatu bangsa itu ke martabat yang tinggi dengan syarat mereka penuh takwa.”
Katanya, “kita sangat menghargai pemikiran dan perjuangan Almarhum Dr Burhanuddin yang menentang penjajah Briitish, menyatukan rumpun bangsa Melayu berasaskan Islam, bukan perkauman totok, mengajak rakyat berjiwa merdeka, berfikir mengenai harga diri mereka dan bersatu sebagai bangsa merdeka.”
Menurutnya, sejak 1957, “kita telah merdeka daripada penjajahan British, namun sampai ke tahap mana kita telah mengisi makna ‘Jiwa Merdeka.’”
Ini persoalan yang sewajarnya dicetus dan dibahaskan secara mendalam. Beliau bertanya, “bolehkah kita mengatakan bahawa pembangunan yang dicapai oleh negara sekarang ini sebagai ukuran mutlak bahawa kita telah berjiwa merdeka?
Adakah rakyat boleh menentukan segala-galanya dengan bebas merdeka di bawah undang-undang sedia ada, tanpa bayangan sekatan dan tekanan yang diwujudkan?”
Bagi Dr Syed Husin, Dr Burhanuddin menentang kemungkaran penjajah British kerana menjajah tanah airnya dan memunggah hasil kekayaan tanah airnya dibawa ke negara penjajah itu, mendiskriminasikan pribumi, menindas pejuang Islam yang hendak memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Kemudian setelah tanah airnya merdeka, Almarhum terus menentang kemungkaran dan kezaliman pemerintah anak negerti sendiri.
Seorang lagi tokoh pejuang kemerdekaan yang hebat, Ahmad Boestamam adalah seorang aktivis politik antipenjajah Inggeris.
Beliau ditangkap dan dipenjarakan sebanyak tiga kali adalah antara pengasas PKMM.
Demikianlah sedikit catatan mengenai para pejuang kemerdekaan ini yang dilihat ada usaha jelas cuba melupakan kekejaman penjajah, juga melupakan pengorbanan pejuang kiri kemerdekaan. Dalam hal ini, ada sahabat bertanya, berapa orangkah ahli akademik, khususnya profesor, yang bersedia mengulas mengenai pandangan bahawa British hanya melindungi Malaya, bukan menjajahnya.
Menurutnya, jika terlalu sedikit jumlah yang bersedia mengulas, sama ada takut memberikan pandangan bertentangan, atau cuba ‘berkecuali’, konon ahli akademik mesti ‘berkecuali’, maka itulah gambaran sebenar tahap kekeliruan dunia ‘intelektual’ masa kini. Pada pendapat saya, pandangan keliru seorang profesor sama sekali tidak menjejaskan martabat para pejuang kemerdekaan itu, malah terus utuh. Fakta sejarah yang kukuh tidak boleh diruntuhkan dengan hanya sebuah kenyataan keliru.
No comments:
Post a Comment