Oleh : Mufti Brunei
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Penggunaan  shisha semakin diminati oleh sebahagian masyarakat kita. Menurut satu  catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India oleh seorang  doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat mengurangkan bahaya  menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut  itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak  mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya  bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.
Kepercayaan  lama ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru mengenal atau  menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah kebenaran  kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih ringan  daripada kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?
Apakah Sebenarnya Shisha Itu?
Shisha  (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau  dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika  dan Asia lebih kurang empat
kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:
(i) Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.
(ii)  Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian  kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan  logam ataupun kayu.
(iii)  Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water  chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga  boleh diisikan dengan susu, jus buahbuahan
ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.
(iv)  Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap  keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga  beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta  adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai  hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua  atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau  bekas airnya.
Bahkan  nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya  di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan  lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah  negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza dan di  India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil  waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.
Jenis Tembakau Shisha
Terdapat  dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal معسل) ) dan  ‘ajami ( عجمي ). Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran tembakau,  buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu.  Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain.  Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan  mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan  kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.
Tembakau  ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum  digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau  dibentuk dan harganya lebih mahal.
Cara Menggunakan Shisha
Cara  menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shishaitu dengan  meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang  campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan  sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan  menggunakan hos atau alat penyedut.
Tetapi  perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat  shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi juga  asap daripada arang, yang masing-masing
mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.
Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia  2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh  mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.
Ini  kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan  mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang  lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit),  dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam  bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit  jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.
Manakala  asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang)  mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga  mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan  penyebab kanser tetapi
kadarnya belum dapat dipastikan. 
Dari  hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan  dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari,  atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut,  kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged  arteries).
Selain  itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit  berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan  virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV. 
Walaupun  kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana  yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan  bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang  disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah  dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan: 
Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.
Apa  yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa  shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia  bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun  dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap  tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan  pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit,  bahkan
boleh membawa maut.
Larangan Memudharatkan Atau Membunuh Diri
Ugama  Islam sebagai ugama sejahtera sangat menghargai nyawa serta kehidupan  dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan, dan  kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk beribadat kepada Allah  Subhanahu Wa Ta‘ala.
Kerana  itu Islam melarang umatnya daripada memudharatkan diri mereka sendiri,  apatah lagi membunuh diri sendiri. Larangan ini banyak disebutkan dalam  ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman 
Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:
Tafsirnya: 
“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu.”(Surah an-Nisa 29)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya:  (Surah al-Baqarah: 195)
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan.”
Dalam  hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga jelas melarang  umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Sabda  Baginda :
Maksudnya: 
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.”(Hadits riwayat Ibnu Majah)
Ayat  al-Qur’an dan hadits ini jelas melarang manusia dari membunuh dan  memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Kerana seseorang  manusia itu tidaklah memiliki dirinya
sendiri  sehingga dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang  dikehendakinya. Bahkan dia adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.  Kehidupannya adalah hak Allah Subahanahu Wa Ta‘ala
kerana  Dialah yang mengurniakannya dan Dialah yang berhak ke atasnya. Begitu  juga kesihatan seseorang, ia merupakan kurnia dan nikmat Allah  kepadanya.
Oleh  kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya sendiri  (membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu  bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhanahu  Wa Ta‘ala.
Tidak  ada perbezaan antara orang yang membunuh diri secara mengejut dengan  orang yang membunuh diri secara perlahanlahan, seperti dengan memakan  racun. Ini kerana kedua-duanya
mempunyai  tujuan yang sama, yang berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi  natijahnya adalah sama iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian.  Kedua-dua cara ini
sama tertegahnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Untuk  memelihara kesejahteraan umatnya, Islam juga telah menetapkan beberapa  kaedah bagi menolak bahaya dan kemudharatan, antara kaedah yang  digunakan para ulama dalam
menentukannya ialah :
Ertinya: 
“Kemudharatan itu dihilangkan (dihindarkan).”
Maka  jika sesuatu benda itu sabit mendatangkan mudharat, kerosakan dan  kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum dan  juga menghisap benda-benda yang
memudharatkan  hendaklah dielakkan bahkan ia dihukumkan haram. Tidak kira sama ada  bahaya atau mudharat tersebut datang secara perlahan-lahan atau serta  merta, kerana para ulama telah mengatakan bahawa bahaya secara  perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta merta,  kedua-duanya perlu dielakkan.
Jika  dilihat berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan bahawa  shisha itu boleh membayahakan kesihatan sebagaimana rokok, maka ia  adalah haram. Kerana apabila syara‘
mengharamkan  al-khaba’its (benda-benda yang keji, jijik, buruk dan seumpamanya) atau  perkara yang merbahaya atau memudharatkan, ia adalah berdasarkan  kaedah: 
“Apa jugamakanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur alkhaba’its adalah haram.”
  Yang mana kaedah ini didasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an serta hadis  di atas. Maka apabila shisha itu memudharatkan, dan setiap yang  memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap tembakau  menggunakan shisha itu juga adalah haram.
Menyentuh  mengenai perkara memakan dan meminum benda yang memudharatkan dan  merosakkan tubuh badan, dalam al-Qur’an Allah Subhanahu Wa Ta‘ala telah  menerangkannya dengan terang dalam firmanNya:
Tafsirnya: 
“Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk.”(Surah al-A‘raf 157)
Antara  maksud atau huraian perkataan al-khaba’its ialah sesuatu yang menjadi  sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan atau dari sumber-sumber  yang memudharatkan. Walaupun perkataan al-khaba’its dalam ayat ini  ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba, namun menurut al-Imam  Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala ketika mengulas ayat di
atas adalah seperti berikut:
Ertinya: 
“Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat (tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.”
Hukum Penggunaan Shisha 
Berdasarkan  hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa  ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia  juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan  dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih  dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti  tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat digunakan dan tidak  membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research)  sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan. 
Maka  jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa bahaya  kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum  menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah  dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan  bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah  haram.
Sumber : Mufti Brunei
sila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274


No comments:
Post a Comment