Oleh Anwar Ridhwan
Beberapa minggu kebelakangan, sebahagian rakyat Malaysia mungkin bertanya, adakah kita sedang menyaksikan beberapa tayangan kehidupan yang jungkir-balik? Atau dalam bahasa mudahnya: tunggang-langgang.
Tayangan 1:
Ketika penuntut sekolah diajar bahawa Mat Indera mengetuai gerombolan komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dan sebab itu dia adalah musuh negara, Mohamad Sabu, dengan alasan tertentu, menganggapnya sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan.
Beribu-ribu laporan polis telah dibuat ke atas Mohamad Sabu. Dan dia didakwa.Tayangan 2:
Ketika penuntut sekolah selama puluhan tahun sejak merdeka diajar supaya percaya bahawa Tanah Melayu termasuk negeri-negeri utara Borneo (Sabah dan Sarawak) telah dijajah, termasuk oleh kolonial Inggeris, wakil Majlis Profesor Negara menyatakan sebaliknya: bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.
Ini bercanggah dengan beberapa buah buku sejarah, serta pandangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika itu perdana menteri, yang menzahirkan pandangannya dalam buku Kamaruddin M Said (2004), 500 Tahun Melayu Menghadapi Cabaran (Shah Alam: Kris Publications), di mana dalam 'Kata Pengantar' (hlm. vii) antara lain menyatakan:
"Tanah Melayu, malah Nusantara keseluruhannya, pernah dijajah kuasa-kuasa kolonial Barat beratus-ratus tahun lamanya. Saat-saat getir yang terpaksa dilalui, pahit maung ditindas dan dipijak lantaran menumpang di bumi sendiri tidak akan pernah padam dari ingatan setiap dari kita yang melaluinya..."
Tiada sebarang laporan polis dibuat.
Tayangan 3:
Pejuang-pejuang bahasa Melayu (khususnya mereka yang mahu dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau PPSMI dihapuskan) tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa ilmu moden.
Masalahnya dalam pendidikan di Malaysia ialah modul serta kurikulum bahasa Inggeris sendiri yang kurang berkesan, walaupun bahasa ini telah diajar selama 11 tahun di sekolah rendah dan sekolah menengah.
Pejuang-pejuang bahasa Melayu selalu melihat bagaimana pelajar perubatan kita mengikuti kursus perubatan dalam bahasa Indonesia di Indonesia, dan berjaya menjadi doktor. Pelajar-pelajar kita juga boleh menguasai bahasa Jepun, Korea, Perancis, Jerman, (dan terbaharu) bahasa Rusia selama kira-kira dua tahun sahaja, sebelum pelajar kita mengikuti kursus sains, teknologi atau perubatan ke negara-negara tersebut.
Baru-baru ini mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut bahawa mereka yang berjuang untuk meneruskan dasar PPSMI adalah nasionalis sebenar!
Tiada sebarang laporan polis dibuat.
Setiap negara yang bermaruah mempunyai dasar pendidikan kebangsaan yang dipertahankan. Akan tetapi mereka tidak menutup mata kepada kepentingan bahasa-bahasa lain sebagai alat untuk menambah ilmu pengetahuan.
Dalam konteks Malaysia yang kelihatan cenderung untuk tunduk kepada imperialisme linguistik bahasa Inggeris, yang patut diperkasakan ialah modul serta kurikulum subjek bahasa Inggeris itu sendiri, bukan memparasit subjek-subjek lain - agar bahasa Inggeris yang dipelajari oleh anak cucu kita berkesan sebagai bahasa bagi tujuan fungsional atau profesional.
Jika dasar PPSMI diteruskan, lama kelamaan akan timbul desakan agar lebih banyak subjek diajar dalam bahasa Inggeris. Pada hal jika subjek bahasa Inggeris itu kuat, dan modul serta kurikulumnya dapat di arahkan kepada tujuan fungsional dan profesional, ia tidak perlu mengambil subjek-subjek yang lain.
Penerusan PPSMI yang akan meluas dari masa ke masa akan mengancam sekolah kebangsaan, kerana jika tidak dibendung mungkin wujud sekolah-sekolah bandar dengan PPSMI, dan sekolah-sekolah luar bandar, pedalaman, kepulauan dan Felda yang tanpa PPSMI. Ini akan menimbulkan jurang sosial yang berbahaya.
Lebih teruk lagi jika akhirnya di Malaysia ada tiga jenis sekolah sahaja: Sekolah Inggeris, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil).
No comments:
Post a Comment