Oleh Chen Shaua Fui
Sepanjang tempoh sebulan ini, rakyat dijanjikan "transformasi politik" dan "gula-gula" dalam Belanjawan 2012. Daripada pemansuhan akta yang mencabuli hak asasi manusia, sehinggalah bonus kepada penjawat awam, "durian runtuh" untuk peneroka FELDA, semuanya ditafsir sebagai strategi untuk memikat hati pengundi.
Bagaimanapun, penganalisa politik berpendapat, sesungguhnya janji Najib boleh memperbaiki imej dirinya, tetapi rakyat akan mengundi berdasarkan "sejauh manakah janji-janji Najib ditunaikan".
Sepanjang tempoh sebulan ini, rakyat dijanjikan "transformasi politik" dan "gula-gula" dalam Belanjawan 2012. Daripada pemansuhan akta yang mencabuli hak asasi manusia, sehinggalah bonus kepada penjawat awam, "durian runtuh" untuk peneroka FELDA, semuanya ditafsir sebagai strategi untuk memikat hati pengundi.
Bagaimanapun, penganalisa politik berpendapat, sesungguhnya janji Najib boleh memperbaiki imej dirinya, tetapi rakyat akan mengundi berdasarkan "sejauh manakah janji-janji Najib ditunaikan". Justeru itu, penganalisa politik meramalkan bahawa PRU 13 akan diadakan selepas Disember 2011 atau Mac 2012, selepas Barisan Nasional menunaikan janjinya untuk membayar bonus setengah bulan kepada penjawat awam.
"Rakyat perlu merasai wang itu terlebih dahulu," kata Zulkifli Sulong (gambar kiri), Ketua Pengarang Harakah Daily yang menjangka bahawa PRU 13 akan diadakan selepas Disember 2011, iaitu setelah penjawat awam menerima bonus. Zulkifli Sulong menambah, PRU akan diadakan selepas peneroka FELDA mendapat "durian runtuh", sebagaimana yang dijanjikan dalam Belanjawan 2012.
Kawasan FELDA kini menjadi medan pertarungan antara UMNO dengan PAS, yang menyasarkan undi Melayu. Justeru itu, Najib sanggup menaburkan wang agar menguasai dan meraih sokongan pengundi kawasan FELDA. Dewasa ini, PAS cuba menembusi FELDA dengan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), yang membangkitkan banyak masalah yang dihadapi generasi kedua peneroka FELDA, termasuk pendapatan rendah, perumahan, hasil yang kurang dan sebagainya. Menurut anggaran, pengundi di FELDA dijangka mencecah kira-kira sejuta orang.
Tidak semestinya raih sokongan dengan mansuh ISA
Ketika dihubungi MerdekaReview, Zulkifli Sulong berkata janji Najib untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin menambah "political score" untuk dirinya, namun ia tidak semestinya diterjemahkan kepada undi sokongan, jika dilihat daripada pengalaman perjuangan PAS sepanjang tahun ini. Oleh itu, Zulkifli menganggap isu ekonomi masih kekal sebagai isu yang penting.
Menurut analisa Zulkifli Sulong, masih ramai orang yang menganggap bahawa kewujudan ISA sesuatu yang diperlukan. Pemansuhannya mungkin meraih sokongan daripada golongan intelektual dan kelas menengah - namun ia masih bergantung kepada sejauh manakah janji ini ditunaikan.
Najib mengundang kritikan ketika menangani isu perhimpunan BERSIH 2.0. Selepas 9 Julai 2011, kewibawaan Najib dicabar di ruang internet, misalnya penubuhan laman "100,000 rakyat mendesak Perdana Menteri Najib Razak letak jawatan" di Facebook, malah ada warga internet yang meninggalkan komen "Diamlar" pada laman Perdana Menteri itu sendiri.
Sememangnya Najib cuba memperbaiki situasi dengan pengumuman pemansuhan beberapa akta yang zalim, termasuk ISA yang dikutuk sekian lama. Selepas hampir sebulan, Najib membentangkan usul pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959, namun hanya akan membentangkan usul pemansuhan ISA dalam sidang parlimen pada Mac tahun depan. Lebih-lebih lagi, dua akta sebagai pengganti mungkin mengekalkan "penahanan tanpa bicara", menyebabkan keikhlasan Najib dipertikaian.
Selain itu, pindaan terhadap Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 pada bahagian "pembaharuan permit setiap tahun" yang dijanjikan juga tidak disusuli dengan perkembangan terbaru, malah tiada jadual waktu untuk pelan pembaharuan tersebut.
Najib asingkan diri dari golongan konservatif
Menurut Pengurus Kajian Merdeka Centre Tan Seng Keat, pengundi bandar di atas pagar kini menjadi "cerdik", setelah melalui pengalaman di zaman Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah meraih sokongan pengundi dalam PRU pada tahun 2004, dengan janjinya untuk melakukan pembaharuan. Bagaimanapun, janji beliau akhirnya tidak dikotai - mengundang kekecewaan pengundi yang akhirnya menjurus kepada kekalahan BN dalam PRU ke-12 pada tahun 2008. Justeru itu, rakyat kini hanya akan percaya setelah reformasi dilaksanakan.
Bagaimanapun, Tan Seng Keat (gambar kiri) berkata, agak sukar untuk menyimpulkan bahawa pengumuman pembaharuan ini tidak membawa kesan setakat ini. Ini kerana ia sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa Najib sedang mengasingkan diri dari golongan konservatif dalam UMNO, dan tidak terikut-ikut dengan telunjuk PERKASA.
"Najib kini mendominasi halatuju dasarnya. Pasukannya mula mendominasi agenda dan isu," kata Tan Seng Keat. "Sekurang-kurangnya Najib menunjukkan 'gaya' untuk melakukan perubahan. Sesetengah pengundi akan mencurigai sama ada ia benar atau sekadar gerak-geri untuk memancing undi. Tiada yang mahu ditipu selepas zaman Pak Lah. Bagaimanapun, analisa yang sama turut sesuai digunapakai ke atas Pakatan Rakyat."
Di samping itu, pakar perundangan Profesor Abdul Aziz Bari ketika dihubungi MerdekaReview melalui email, berkata, "Susah nak kata dia (Najib) serius (melakukan reform) sebab itu hanya boleh kita sahkan dengan melihat akta baru yang dia hendak buat. Apa ertinya mansuh ISA (yang sedia lapuk) tetapi ganti dengan akta yang lebih teruk? Saya lihat Najib hendak meyakinkan pengundi atas pagar. Ya, saya lihat ada tentangan dan ini dinyatakan oleh Hishamuddin sendiri. PERKASA sudah menjelaskan sekiranya akta baru itu lain dari ISA mereka akan tentang."
Mengulas apakah rakyat sudah masak dengan cara BN memancing undi, selepas melalui siri PRK pasca 8 Mac 2008, yang menyebabkan mereka mengambil sikap untuk tidak mudah terpercaya dengan janji yang ditaburkan, Tan Seng Keat berkata, sesetengah pengundi muda atau atas pagar mungkin jelas dengan peraturan tersurat dan tersirat sepanjang proses politik ini, namun ideologi dan pilihan politik telah tetap untuk kebanyakan pengundi yang telah lanjut usianya.
Beliau berkata, keputusan PRU 8 Mac 2008 menunjukkan Melayu generasi "Reformasi", iaitu antara usia 30 hingga 40 tahun lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat, sementara pemuda Melayu yang berusia antara 21 hingga 30 tahun lebih cenderung kepada BN. Keputusan PRK Manek Urai pada tahun 2009 memperlihatkan kecenderungan pengundi muda terhadap BN.
Isu Hudud
Selain itu, Aziz Bari menganggap "isu Hudud nampaknya membimbangkan UMNO. Sebab itu NGO pro-UMNO seperti Pembela sudah memulakan perhimpunan anti-murtad untuk menyaingi isu Hudud yang mendedahkan komitmen sebenar UMNO kepada Islam. Orang bukan Melayu, termasuk dalam BN sendiri, makin jauh dari UMNO."
Ketika mengulas kekuatan dan kelemahan Pakatan Rakyat, Aziz Bari (gambar kanan) berkata, "Mereka telah menunjukkan kemampuan mentadbir negeri meskipun mereka disabotaj oleh persekutuan yang dipimpin UMNO. Kelemahan mereka ialah ketiadaan media yang bebas dan ini menyulitkan komunikasi dengan rakyat. Isu Hudud menguatkan kedudukan PAS di Kelantan dan di kawasan-kawasan Melayu."
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa isu Hudud mungkin mengundang persepsi yang berbeza di kalangan bukan Islam. "Kesannya mungkin lain di kalangan orang bukan Islam. Tetapi kita perlu ingat bahawa UMNO mengalami masalah imej dan kredibiliti dan ini lebih serius dari Hudud. Orang bukan Islam mungkin menentang Hudud tetapi ini tidak semestinya menyebabkan mereka lari dari PAS," katanya.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.
No comments:
Post a Comment