Oleh Abd Shukur Harun
Kisahnya bermula pada suatu petang di sebuah warung di pulau Jawa, sekumpulan rakyat pulang dari sawah, berbual sambil minum-minum menghilang penat. Entah apa yang mereka bicarakan hingga mereka tertawa dan terus tertawa, menyebabkan suasana di warung rakyat itu riuh rendah.
Beberapa ketika kemudian, dengan tiba-tiba mereka serentak berhenti tertawa apabila melihat seorang lelaki separuh umur yang mereka kenal sebagai Kepala Desa (Ketua Kampung) datang dan mendekati mereka, lalu dengan suara keras bertanya: “Mengapa tertawa?”
Masing-masing berpandangan.
“Ya kami tertawa gembira Pak, kerana hasil panen (padi) lumayan kali ini, jadi kami gembira sekali,” kata seorang daripadanya.
Kepala Desa yang bertubuh kurus itu segera memberitahu: “Bukankah sudah ada perintah dari Jakarta, rakyat tidak dibenarkan tertawa.”
“Tertawa pun tidak dibenarkan? Mana demokrasi Pak?” tanya salah seorang di warung itu yang paling kuat tertawanya, penuh kehairanan. “Apa demokrasi,” kata Kepala Desa, “Inikan perintah Order Baru dari Jakarta. Kita mesti patuh.”
Masing-masing berpandangan. Kepala Desa kemudian segera berlalu hingga jauh dan petani di warung itu menyambung ketawa mereka, panjang sekali.
Tuan punya warung itu yang berbadan gemuk mencelah: “Kita hidupkan kembali demokrasi di warung ini.” Mereka pun beramai-ramai menyambut, “Hidup demokrasi! Hidup demokrasi! Hidup rakyat.”
Ini sebuah sketsa bagaimana rakyat kecil menghidupkan sebuah demokrasi di desa mereka – rakyat yang tahu akan hak dan harga diri mereka.
Saya mengingat kembali cerita komedi ini ketika semakin ramai orang bercakap mengenai demokrasi yang kelihatannya semakin merosot di negara ini di mana kebenaran disembunyikan, sementara yang tidak benar ditampilkan sebagai benar.
Memang wajah demokrasi begitu muram, kusut dan sedih seperti tidak teruruskan. Perihal pengurusan pilihan raya yang bercelaru, kebebasan bersuara tersekat di sana sini, media tradisional yang demikian rupa, orang politik sekular yang pandai berlakon serta pelbagai hal lagi yang bersifat ‘memusnahkan demokrasi’. Ini adalah wajah hodoh demokrasi di Malaysia.
Sebab itu, saya terkesan dengan kata-kata Sasterawan Negara, A Samad Said (Pak Samad) yang mengatakan, bahawa sewaktu dalam ASAS ‘50 dulu bersama teman-teman seperti Allahyarham Usman Awang, Kris Mas, Masuri SN, saat itu beliau berusia baru belasan tahun atau dua puluhan tahun.
“Saya mengidamkan dunia yang cantik. Saya khayalkan dunia ini seperti itu, tetapi sampai usia saya mencecah 76 tahun hari ini, dunia bukan semakin cantik sebaliknya semakin hodoh dan bodoh,” ujarnya.
Saya sendiri pun amat terasa bahawa suasana yang berlaku di tanah air sekarang – walaupun telah merdeka 54 tahun - adalah sebuah dunia yang penuh dengan kecelaruan, kehilangan, wawasan, lumpuhnya pekembangan ilmu, malah ada tanda-tanda antiintelektual. Sebuah suasana yang tidak memungkinkan lahir sebuah masyarakat madani di mana ilmu berkembang dan dihargai, demokrasi subur, hak asasi terpelihara dengan baik, keadilan dan kesaksamaan dapat dinikmati.
Masyarakat madani seperti ini pernah disebut oleh ahli sains sosial ternama, Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah Ibnu Khaldun, malah pernah juga disebut oleh intelektual tersohor asal Algeria, Malik Bin Nabi.
Kedua-duanya menyebut bahawa dalam sebuah masyarakat madani, maka maqashid syariah dapat terpenuhkan. Rakyat Muslim dan bukan Muslim dapat berteduh di bawah payung keadilan Islam, merasakan pemerintahan yang peduli rakyat, terhindar daripada pelbagai perlakuan yang bertentangan dengan Islam.
Oleh itu, apa yang berlaku di sekeliling seperti kita kembali ke zaman feudal masa lampau di mana pihak penguasa pada masa itu adalah segala-galanya dan rakyat takut setakut-takutnya kepada penguasa.
Suasana beginilah yang menyebabkan golongan intelekektual dan kalangan rakyat prihatin sangat kecewa, justeru keadilan dan kemanusiaan lumpuh.
Dalam keadaan sekarang di mana demokrasi semakin merosot, kebebasan bersuara semakin tersekat, berleluasanya penyelewengan, diskriminasi, rasuah, kronisme dan perkauman yang mencengkam, lebih-lebih lagi apabila isu agama jadi bahan percaturan politik, menyebabkan rakyat merasa sangat kecewa.
Di sinilah pada pendapat saya. menyebabkan sasterawan Pak Samad melihat dengan penuh jengkel lalu merasakan bahawa ‘wajah dunia begitu hodoh, malah semakin bodoh’.
Sebagai sasterawan yang tajam pengamatannya, beliau tidak bercakap sesuatu yang kosong, tetapi berisi. Puisi panjangnya Al-Amin – Kisah Terindah Sang Nabi, yang menurut saya adalah karya evergreennya, adalah manifestasi bagaimana ia merakamkan bukan saja kehidupan dan kepimpinan Nabi s.a.w., bahkan suasana pada zaman itu. Iaitu bagaimana baginda dan para sahabat memimpin sebuah masyarakat madani yang demikian hebat.
Bila dan bagaimanakah kita akan mampu membebaskan diri daripada suasana ‘hodoh dan bodoh’ ini bergantung kepada usaha rakyat yang prihatin, berjuang dengan penuh sabar dan tabah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan tanpa takut dan bimbang.
Di sinilah peranan para intelektual, penulis, mahasiswa prihatin, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik yang berakar tunjang kepada Islam seharusnya berganding bahu, berjuang untuk membebaskan masyarakat dari kegelapan ini.
Namun, saya positif apabila melihat sejak akhir-akhir ini di mana sudah tampil di kalangan mahasiswa, penulis, intelektual dan ahli akademik yang berani untuk bersuara membebaskan masyarakat daripada zaman gelap ini ke zaman terang yang menjanjikan, iaitu supaya kita tidak lagi berada dalam suasana ‘hodoh dan bodoh’ selamalamanya.
No comments:
Post a Comment