Oleh Subky Latif
Perkara yang melibatkan hukum dan perintah Allah seperti hudud, tiada semua orang beriman boleh memberi pandangan mengenainya.
Adalah diakui bahawa hudud adalah salah satu daripada beriburibu ajaran dan hukum dalam al- Quran yang cuba ditegakkan oleh PAS sejak ia ditubuhkan 60 tahun lalu.
Publisiti baik atas hukum itu tidak sepadan dengan sensasi yang dimainkan oleh kebanyakan media utama di negara ini.
Adalah suatu yang malang kebanyakan media melihat sesuatu yang diketengahkan oleh PAS itu buruk. Itulah antara kebebasan yang media dapat amalkan.
Bebas itu hak dan benar tetapi amalannya memerlukan ilmu, rasional dan panduan kebenaran yang jelas terutama dalam perkara akidah dan hukum Islam.
Dalam isu seperti perlukah sejarah kemerdekaan ditulis semula atau Mat Indera seorang wira atau petualang, terbuka bagi media untuk membincangkannya. Siapa yang dapat memberikan hujah yang kuat, logiknya dialah yang jadi pemenang.
Dalam perkara yang tidak banyak melibatkan dosa ini pun pakar sejarah mahu ahli sejarah saja yang wajar terlibat dalam polemik. Tetapi tidak berdosa bagi bukan pakar sejarah memberi pandangan sesuai dengan pengetahuan tentang sejarah.
Tetapi dalam perkara yang melibatkan hukum dan perintah Allah seperti hudud, tiada semua orang beriman boleh memberi pandangan mengenainya. Hanya orang yang cukup ilmu yang layak memberi pandangan dan diminta pandangannya.
Bagi ulama sendiri, jika mereka tidak cukup fakta dalam perkara yang ditanya, maka menjawabnya dengan wallah wa’lam adalah lebih baik daripada memberi jawapan umum yang belum tentu tepat.
Itulah sebabnya jabatan agama mensyaratkan orang yang layak mengajar di surau dan masjid ada tauliah. Tauliah itu adalah satu keterangan pada seorang cukup pengetahuan untuk bercakap tentang Islam, bukanlah lesen yang diwajibkan untuk boleh bercakap tentang agama.
Yang tidak betul dalam pengeluaran tauliah, orang yang sah ada ijazah daripada institusi pengajian tinggi Islam antarabangsa tidak dibenar berkuliah tanpa tauliah.
Disiplin ilmu dalam Islam ialah tidak boleh bertanya tentang apa jua isu dan masalah agama daripada orang yang bukan ahlinya.
Justeru itu kerajaan mengehadkan orang yang layak mengeluarkan fatwa ialah mufti sekalipun ada ulama yang bukan mufti berupaya membuat fatwa.
Tujuannya ialah supaya setiap pandangan tentang Islam itu tepat, boleh menjadi panduan kepada orang lain dan tidak menyesatkan orang lain.
Di sinilah pengamal media diberi panduan dalam mengamalkan peruntukan kebebasan media mereka berhati-hati dalam sebarang isu yang melibatkan akidah dan hukum.
Tidak boleh disamakan hudud dengan isu bola, isu sejarah kemerdekaan seperti Malaysia pernah dijajah Inggeris atau tidak, atau apakah sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda.
Dalam isu-isu umum itu boleh media bertanya orang ramai, mana baik belajar sains dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris?
Layakkah Mohamad Sabu bercakap tentang sejarah? Tidak berdosa mengatakan Mat Sabu layak atau tidak layak. Belum boleh diikatakan Dr Mahathir Mohamad masuk negara mewajibkan Inggeris jadi bahasa pengantar pelajaran sains dan matematik. Menyokongnya tidak berdosa dan menentangnya juga tidak berdosa.
Tetapi kalau media bertanya para artis tentang hudud, apakah patut hudud dilaksanakan atau tidak, sedang pengetahuan mereka tentang agama kebanyakannya terhad, maka sudah tentu kita sukar untuk mendapatkan jawapan yang positif.
Hudud itu bukan bidang pengajiannya. Kemudian media beri pula publisiti besar tentang pandangan para artis tentang pelaksanaan hudud.
Pelakon lawak Dato’ Aziz Satar telah memberi sikap yang terpuji.
Dia tidak mahu menentang hukum yang Allah tentukan. Hukum tidak boleh dilawan.
Tetapi artis-artis lain memberikan komen yang amat mengerikan.
Allah yang menentukan komen mereka berdosa atau tidak. Tetapi komen mereka boleh menyebabkan berdosa.
Pembaca yang seronok dengan kenyataan mereka ikut berdosa, orang yang tidak ada sikap marah kepada komen itu boleh berdosa, tidak menegur mereka berdosa. Apa lagi apabila ada pembaca yang terpengaruh dengan pandangan mereka juga dapat dosa kering.
Jangan fikir media yang mencari untung dari jualan akhbarnya tidak berdosa. Sekalipun tuan punya syarikat tidak menyuruh pengarang membuat liputan mengenainya, tetapi apabila akhbarnya dibaca oleh beratus-ratus ribu orang, boleh menyebabkan masing-masing berdosa, maka besar jugalah dosa saudagar akhbar.
Pemberita yang disuruh bertanya artis dapat dosa. Menulis beritanya berdosa dan semua orang yang terlibat dengan pemberitaan itu berdosa belaka.
Tambah teruk dosanya apabila media mengambil sikap menentang pelaksanaannya dan mempersenda hukum itu. Lagilah teruk dosanya.
Apa lagi apabila masyarakat terpengaruh dengan penyiaran itu. Dosa seperti itu selesai dengan sekadar bertaubat. Dosa dengan Allah boleh bertaubat. Dosa yang melibatkan orang lain berdosa sama, maka kena minta daripada sekalian mereka. Bagaimana hendak mencari beratus-ratus ribu pembaca yang terpengaruh itu?
Tidak boleh media setakat mengaku silap. Harapan dosanya terampun ialah dengan membuat siaran besar-besar atas penyesalannya memperoses siaran itu dan menyiarkannya. Media mesti merayu sekalian yang membaca supaya mohon taubat dari Allah. Media mesti menyeru sekalian artis yang membuat kenyataan tidak baik tentang hudud minta ampun daripada Allah dan minta ampun daripada sekalian pembaca yang terpengaruh dengan pandangan mereka.
Jika ada pembaca yang seronok dan terpengaruh dengan pandangan mereka tidak terbaca berita penyesalannya, lalu mereka tidak minta ampun daripada pihak yang boleh memberi ampun, maka tak habis dosa media dan dosa orang yang membuat komen negatif itu.
Justeru itu membuat mohon ampun itu secara besaran, bukan sekadar sekali tetapi berkali-kali supaya sekalian orang lain yang terlibat sama dengan dosa itu menyedari siaran itu supaya mereka boleh bertaubat.
Hudud ini bukan satu hukum dalam al-Quran saja. Ia sudah menjadi hukum dalam Taurat dan Injil. Ia satu daripada beribu-ribu hukum yang diwajibkan dan perlu dipatuhi.
Hukum itu sudah tidak ada dalam kita agama Yahudi yang sudah dipinda. Ia juga sudah tidak ada dalam Bible. Tidak semua isi Injil itu ada dalam Bible. Hukum dalam Taurat dan Injil itu diteruskan dalam al-Quran. Mungkin orang Islam melihatnya kecil kerana ia satu dalam 1,000. Tetapi yang sekecil itu wajib bersama seribu hukum yang lain.
Tiada zaman paling aman dan selamat selain dari zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi ia pun memerlukan hudud. Apa lagilah dunia yang penuh dengan jenayah dan pe nyelewengan akidah sekarang.
Dosa media ialah cuba mendapatkan pandangan tentang hukum daripada orang awam. Bertanyalah kepada orang yang tahu.
No comments:
Post a Comment