Oleh Haji Subky Abdul Latif
Telah berkembangan sekarang usaha penyokong Anwar Ibrahim untuk berdemonstrasi pada 9 Januari 2012 di persekitaran mahkamah yang akan menentukan hukuman untuknya dan tuntutan supaya dia dibebaskan.
Ia sudah dijadikan isu oleh penentang Anwar kononnya Anwar mempolitikkan mahkamah dan undang-undang.
Maka banyaklah susulan demonstrasi sekitar 100 orang pra 9 Januari itu oleh pihak anti Anwar isunya sekarang ialah Anwar mempolitikkan mahkamah dan undang-undang.
Hujahnya, tidak wajar dan tidak bijak bagi golongan Anwar mempolitikkan mahkamah dan undang-undang.
Umno dan kerajaan adalah berpihak kepada anti Anwar ini.
Majlis Peguam dalam kenyataannya tidak mengira gerakan membebaskan Anwar itu satu penghinaan mahkamah dan tiada gambaran dalam perlembagaan negara mengira ia satu perlanggaran undang-undang.
Memanglah undang-undang dan mahkamah tidak patut dipolitikkan.Tetapi adalah terhadap yang tidak berangkut politik.
Tetapi dunia pula tidaklah bebas dari kes politik. Banyak berlaku dakwaan politik. Adalah sukar memisahkan reaksi politik dari kes politik.
Oleh itu politik adalah terbuka dalam kes-kes yang didakwa kerana politik.Umno sendiri tidak bebas dari mempolitikkan undang-undang dan mahkamah.
Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, bahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam polemik politik atas isu kes dakwaan Datuk Harun Idris, Ketua Pemuda Umno dan Menteri Besar Selangor.
Berpecah Umno dan negara hampir terjerumus kepada ancaman kekacauan oleh isu itu.
Harun dituduh rasuah. Tun Razak bersetuju mendakwanya kerana dia enggan menerima tawaran menjadi Duta ke PBB.
Kalau dia menerima tawaran itu dia dipercayai tidak didakwa.Pendakwaannya itu dikira oleh setengah pemimpin tertinggi Umno sebagai kes politik.
Mereka tidak menolak 100 peratus Harun bebas dari rasuah, tetapi pada mereka mana pemimpin dan ahli Umno yang tidak rasuah. Maka mengapa Harun saja yang didakwa?
Tan Sri Jaafar Albar, satu-satu ahli Umno bergelar Singa Umno, ahli Majlis Tertinggi Umno sejak sebelum merdeka adalah tokoh paling lantang menentang Harun didakwa.
Dia disokong oleh seluruh Pemuda Umno.Tunku, Khir Johari, Senu Abdul Rahman, Sulaiman Palestin adalah mengira ia kes politik dan kes politik tidak wajar dibawa ke mahkamah.
Bertahun-tahun kes ini menjadi nanah krisis Umno.Tun Razak tidak dapat menyelesaikannya hinggalah dia mati. Umno menggesa pula, Tun Hussein Onn yang menggantikan Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan pemimpin Umno supaya menarik kes itu dari mahkamah dan selesaikan ia secara politik.Hussein Onn berkeras untuk meneruskan kes itu.
Penyokong Harun berkempen ke seluruh negara minta Umno menggugurkan kes itu. Hingga Harun digugur dari MB Selangor dan dijatuhkan hukuman penjara, krisis Umno mengenai Harun tidak selesai.
Pemuda Umno dan Umno Selangor lebih dari sehari mengepung kediaman Harun di Jalan Duta menghalang Harun jangan dibawa ke penjara. Harun dinasihatkan termasuk oleh Tunku supaya menyerah diri kepada penjara.Kemudian penyokong Harun termasuk Tan Sri Onn Ismail, kemudiannya jadi Speaker DUN Selangor dan Pengerusi Tetap Umno Malaysia bergerak untuk pengampunan Harun.
Albar menjadi Ketua Pemuda Umno yang baru berjumpa PM Hussein minta bertindak terhadap pemimpin Umno yang dikatakan terbabit dengan komunis dan minta isu Harun diselelesaikan.
PM Hussein setuju tindakan atas orang dikatakan agen komunis diISAkan tetapi tidak setuju pengampunan Harun.Apabila Dr Mahathir memangku Perdana Menteri, dia menanda tangani pengampunan Harun. Ia dikatakan punca PM Hussein meletak jawatan.
Maka atas tindakan politik Dr Mahathir, Harun bebas jadi ahli Umno semula hingga dipilih menjadi Naib Presiden Umno.Adakah Tun Razak yang setuju Harun didakwa bebas dari mempolitikkan undang-undang dan mahkamah?
Adakah Hussein Onn meneruskan tindakan itu bebas dari mempolitikkan mahkamah?
Adakah Dr Mahathir yang membebaskan Harun tidak berpolitik?
Yang mendakwa pun mempolitikkan mahkamah dan undang-undang, yang menentangnya berpolitik begitu juga.
Isu Harun benar-benar selesai apabila semuanya mati. Tun Razak mati, Tun Hussein mati, Harun mati. Albar, Senu dan Tunku mati.
Isu politik yang dimahkamahkan, tidak dapat lari dari mahkamah itu dipolitikkan.
No comments:
Post a Comment