BEREGU lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton All England selepas menewaskan lawan mereka dari Jerman, Michael Fuchs/Oliver Roth di Birmingham, England semalam.
Gandingan Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan mudah menewaskan Fuchs/Roth, 21-19 21-11 pada pusingan pertama kejohanan itu dalam masa 30 minit.
Mereka dijadualkan bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Mohammad Ahsan/Bona Septano atau beregu dari Amerika Syarikat, Howard Bach/Tony Gunawan pada pusingan kedua kejohanan itu hari ini.
Sementara itu, beregu campuran nombor sembilan dunia dari Malaysia, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying nyata cemerlang apabila menumpaskan lawan mereka dari India, V. Diju/Jwala Gutta dengan mata 21-14 dan 21-12 dalam masa 26 minit.
Kempen tiga beregu wanita negara pada kejohanan itu berakhir apabila masing-masing tersingkir pada pusingan pertama kejohanan berprestij itu.
Beregu utama Chin Eei Hui/Wong Pei Tty kalah kepada beregu nombor dua dunia dari China, Tian Qing/Zhao Yunlei, 17-21 dan 14-21 manakala beregu kedua negara Vivian Hoo Kah/Woon Khe Wei turut mengalami nasib sama kepada beregu Hong Kong, Poon Lok Yan/Tse Ying Suet, 21-16, 19-21, 18-21.
Satu lagi beregu negara, Goh Liu Ying/Lim Yin Loo yang berjaya melepasi pusingan kelayakan semalam, bagaimanapun gagal memberi aksi cemerlang apabila tumpas di tangan beregu nombor tujuh dunia dari Denmark, Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl, 16-21 dan 16-21.
Sementara itu, pasangan adik-beradik Ng Hui Ern/Ng Hui Lin dijadualkan bertemu beregu wanita dari Jepun, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi, awal pagi ini (waktu Malaysia). - Bernama
No comments:
Post a Comment