NORAWAZNI YUSOF
SHAH ALAM – Nasib bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya akan diketahui 30 April ini sama ada mereka dibebaskan atau membela diri terhadap tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir memutuskan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan menutup kes.
Akhtar juga menetapkan 4 dan 5 April depan bagi mendengar hujahan lisan dan bertulis kedua-dua belah pihak.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof memaklumkan perkara itu selepas saksi pendakwaan 108 iaitu adik kepada peguam Ahmad Kamil Abd Karim, selesai memberi keterangan.
Ishak juga menawarkan 78 saksi kepada barisan pembelaan untuk digunakan ketika peringkat membela diri.
Perbicaraan kes berlangsung selama 71 hari sejak 4 Julai tahun lalu dan sebanyak 713 barang kes telah ditender di mahkamah.
Sementara itu, Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan memohon mahkamah memberikan masa untuk melihat senarai saksi yang akan digunakan sekiranya anak guamnya diarahkan membela diri. Dalam kes ini, Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, TThilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Dalam prosiding itu, Akhtar turut menerima rekod rayuan berhubung semakan dan sabitan dua bekas pekerja ladang K Sarawanan, 19 dan U Suresh, 26, yang sedang menjalani hukuan penjara 20 tahun, selepas mengaku membuang abu mayat Sosilawati dan tiga individu lain pada dua tahun lalu.
Akhar berkata rekod tersebut boleh diterima pakai dan releven kerana ia berkaitan dengan kes ini.“Justeru, mahkamah membenarkan dokumen tersebit ditender,” katanya.
No comments:
Post a Comment