MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
KELANTAN memulakan saingan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia dengan aksi cemerlang meskipun sekadar seri tanpa jaringan ke atas kelab Navibank Saigon dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Tuah ternyata tidak memihak The Red Warriors yang dilihat menguasai hampir keseluruhan babak perlawanan apabila deretan peluang dimiliki gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan rentetan beraksi dalam padang yang becak setelah hujan turun begitu lebat sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.
Malah aksi barisan pemain The Red Warriors yang menampilkan empat pemain import dalam kejohanan ini boleh disifatkan yang terbaik sejak Bojan Hodak mengambil alih tugas selaku Ketua Jurulatih baru seminggu lalu.
Seawal minit ketiga perlawanan, Navibank Saigon memulakan asakan awal menerusi penyerang importnya, Edison Fonseca Pulgarin namun rembatan leretnya mudah diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Tiga minit kemudian, Kelantan terlepas peluang untuk berada di depan apabila hantaran cantik Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi gagal ditampan kemas Mohammed Ghaddar meski pun mempunyai peluang terbuka untuk melakukan rembatan ke arah pintu gol Navibank Saigon.
Pada minit ke-25 perlawanan, penyerang Kelantan, Onyekachi Nwoha gagal meletakkan bola ke dalam jaring apabila rembatannya daripada sudut sukar setelah menerima umpanan Mohammed Ghaddar hanya tersasar beberapa meter disebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.
Dua minit kemudian, giliran Mohammed Ghaddar pula mensia-siakan peluang terhidang apabila beliau bijak memperdayakan seorang pemain pertahanan Navibank Saigon namun rembatannya tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Begitu pun Navibank Saigon kembali mencemaskan pintu gol Kelantan kali ini menerusi tandukan pemain tengahnya, Luong Van Duoc Em namun Khairul Fahmi tampak lebih bersedia menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
Namun Dennis Antwi kembali menghidupkan suasana hangat pada minit ke-34 perlawanan dengan melakukan rembatan kencang memaksa penjaga go Navibank Saigon, Phan Van Santos menepis percubaan tersebut.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa mempamerkan corak permainan berhati-hati setelah separuh permukaan padang ditakungi air.
Namun The Red Warriors mendominasi keseluruhan dalam babak tersebut apabila sentiasa melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol pasukan lawan.
Kombinasi terbaik rangkaian jentera tengah diketuai Mohd Bahdri seharusnya diberi pujian apabila kerap kali mencipta peluang kepada barisan serangan Kelantan untuk melakukan percubaan merbahaya ke arah pintu gol lawan.
Malah, Van Santos dipaksa bekerja keras di pintu golnya menahan asakan menggila pemain Kelantan bermula dengan rembatan Nwoha pada minit ke-53 perlawanan yang menyaksikan beliau terpaksa menepis keluar percubaan tersebut.
Pada minit ke-66 perlawanan Nwoha sekali lagi terlepas peluang untuk memastikan Kelantan berada di depan apabila rembatannya berpunca hantaran lintang Mohamad Zamri sedikit tersasar di pintu gol Navibank Saigon.
Tempoh 10 minit terakhir ternyata memihak kepada pasukan tuan rumah apabila mempunyai empat peluang terbaik untuk mencipta jaringan.
Nwoha, pemain import yang dikritik hebat sebelum ini terus mempamerkan sentuhan berbisanya apabila menanduk cantik umpanan Mohd Badhri pada minit ke-82 perlawanan namun tinggi melepasi pintu gol.
Dua minit berselang, Nwoha sekali lagi terus hampa untuk mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi apabila percubaannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Van Santos.
Asakan bertali arus Kelantan tidak terhenti di situ apabila Mohammed Ghaddar melepaskan satu-satunya peluang terbaik dimiliki dalam babak kedua apabila rembatannya pada minit ke-86 ditepis keluar Van Santos.
Seminit kemudian, Mohd Badhri turut melakarkan kekecewaan setelah tandukannya berpunca hantaran lintang pemain gantian, S Chanturu hanya sedikit tersasar di pintu gol lawan.
Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kelab dari Vietnam itu hampir mencipta kejutan untuk membawa pulang tiga mata apabila mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kemenangan.
Salah faham yang berlaku di antara Khairul Fahmi dan Mohd Farisham Ismail hampir mengundang padah apabila Fonseca Pulgarin bijak memanfaatkan situasi tersebut namun kuisannya menyaksikan bola tersekat di atas takungan air meski pun pintu gol Kelantan sudah pun ternganga.
No comments:
Post a Comment