Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Sebenarnya saya hampir terlepas daripada mengikuti secara dekat peristiwa bersejarah Himpunan Hijau ke Putrajaya, malam 1 Jun lalu, yang mengumpulkan lebih 100,000 penyokong PAS di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Mulanya, sahabat saya, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob yang dijangka menemani sepanjang perjalanan ke utara, terpaksa membatalkan hasratnya disebabkan demam.
Meskipun dapat menghadiri program Amanat Khas Presiden, yang mencatat kehadiran lebih 3,000 aktivis parti dari seluruh pelosok negara, pada hari sama, pagi Jumaat, di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut, sekali lagi saya hampir terlepas majlis kemuncak malamnya disebabkan kereta ketua pemberita Harakah Kedah, Azamin Amin, terperangkap dalam kesesakan teruk di sekitar stadium. Sepatutnya beliau menjemput saya di hotel, yang jaraknya tidak pun sampai 5 kilometer.
Ada rakan menawarkan kemudahan untuk membonceng motosikal, namun terhalang dengan keuzuran kaki kiri saya. Mujur kakitangan Hotel Regency Alor Setar ringan tulang berjalan kaki ke Pekan Rabu mencari teksi; pemandunya nampak agak keberatan disebabkan beliau sendiri baru saja menempuh laluan yang cukup perlahan. (Rupanya masa sama ada teman-teman lama yang 'tersangkut' dan memilih untuk berehat di hotel saja -- mereka tentu tidak menduga Stadium Darul Aman malam itu bakal melakar sejarah).
"Kalau ada pertandingan bola babitkan pertandingan penting pun jalan tak seteruk ini," kata pemandu dalam usia 60-an itu. "Cuba tengok, kenderaan terpaksa diletakkan jauh dari stadium," tambahnya, semasa kami melepasi Masjid Zahir. "Ramai sungguh kali ini, saya tak pernah alaminya di Alor Setar," ujarnya, sambil menceritakan pengalamannya lebih 40 tahun memandu teksi.
Seminggu sebelum 1 Jun, saya agak risau melihatkan promosi himpunan semacam tidak begitu rancak dan kurang diperkatakan. Saya kerap membandingkan dengan gimik prademonstrasi Bersih 3.0 -- ibarat langit dengan bumi. Sekurang-kurangnya di Kuala Lumpur, tiada acara "pemanas badan", malah baju hijau, yang sepatutnya mula dijual, hampir tiada kelihatan. Kawan-kawan yang pernah menjadi pengusaha kilat baju-T Bersih pula "buat tak kisah aja".
"Saya lebih bimbang jika gegak gempita perarakan Bersih 3.0, yang berjaya menghimpunkan lebih suku juta orang itu akan ditenggelamkan begitu saja jika himpunan hijau nanti gagal capai target," saya luahkan kerisauan kepada seorang pemimpin PAS, beberapa hari sebelum berakhir bulan Mei lalu. Beliau seperti berkongsi rasa.
Meneliti laman-laman sosial, seperti Facebook, debaran itu agak terubat apabila menatap pelbagai gaya poster himpunan (sebahagiannya direka sendiri, dengan logo yang sama), namun langsung tidak terbayang ia satu kempen strategik untuk menghimpunkan 100,000. Ya, tidak mudah untuk 'memanggil' 100,000 ke Alor Setar dalam waktu yang cukup singkat. Harakah sendiri cukup lambat menyiarkan iklan dan hebahan, malah nama program pun bertukar-tukar.
Difahamkan persiapan hanya mengambil masa dua minggu, satu tempoh yang relatif singkat jika diukur skala program yang mahu menghimpunkan 100,000 orang. Apatah lagi ia merupakan aktiviti menggantikan muktamar tahunan parti, yang sepatutnya berlangsung pada masa sama. Maknanya, himpunan ini, dari satu segi, mencabar keupayaan PAS untuk membuktikan kemampuan jentera dan petugas partinya berdepan "ibu segala pilihan raya", PRU13.
"Himpunan ini bukannya program gabungan bersama Pakatan Rakyat kerana ia umpama muktamar parti, sekali gus menguji komitmen aktivis parti Islam untuk mengharungi bermacam-macam mehnah dan fitnah," kata seorang tokoh akademik. "Walaupun sama sekali tidak bertujuan mempamerkan kekuatan PAS tetapi saya percaya ia berjaya menyuntik semangat dan keyakinan buat ahli-ahli bahawa PAS tidak boleh diremehkan. Bukan hanya Kedah yang mahu dipertahankan tetapi impian untuk menguasai Putrajaya, yang banyak bergantung kepada potensi PAS, dapat dicapai jika strategi dan pendekatannya betul," tambahnya.
Semasa menapak perlahan di celah-celah ribuan hadirin, menuju pintu utama stadium, saya mendengar pidato Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri. Beliau sempat menitipkan pesanan agar setiap penggerak jemaah terus istiqamah dan bersabar meniti perjuangan suci ini.
Dari bilik VIP di tingkat atas stadium, langkah saya terhenti. Saya terpukau dengan lautan hijau, yang cukup memikat. Pandangan saya terpaku seketika terutama kepada ribuan yang memenuhi padang dan balapan. Ya, saya benar-benar terkejut. Tidak pernah saya jangkakan dapat menyaksikan suasana yang syahdu, tetapi penuh bersemangat itu. Subhanallah!
Lebih mengujakan apabila melihat reaksi proaktif hadirin yang secara berterusan mengibarkan bendera parti, Jalur Gemilang dan kelihatan juga bendera negeri-negeri tertentu, tanda pertemuan yang dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib itu dihadiri penyokong parti seluruh negara.
Beberapa kali saya terpaksa menahan air mata kegembiraan. Kebimbangan saya sebelum ini bukan saja berakhir tetapi digantikan automatik dengan rasa syukur, sebak dan terharu. Sukar digambarkan perasaan penuh nikmat itu. Bagaikan darah mengalir lancar di segenap tubuh, yang membangkitkan rasa ghairah yang luar biasa hebatnya, untuk menyambut setiap lontaran idea dan harapan pemidato utama, terutama daripada kepemimpinan parti. Di kala itu, saya juga terkenangkan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Assyahid Ustaz Ibrahim Libya, dua anak Kedah yang memahat sejarah tersendiri dalam PAS.
Dari kedudukan saya, yang betul-betul berada di bahagian atas tingkat tetamu kehormat, butiran ucapan agak sukar ditangkap. Malam itu, bagi saya, isi pidato tidak penting lagi. Saya bagaikan menonton satu persembahan yang berjaya mengusik emosi dan perasaan. Gelombang lautan manusia yang nampak berombak, ditambah sorakan dan takbir, serta lebih istimewa lagi tiupan trompet yang biasanya bergema semasa pertandingan bolasepak.
Melalui layar besar, saya lebih terpesona dengan aksi tangkas pengarah program, Mahfuz Omar, yang secara santai menguasai pentas utama. Gaya Naib Presiden PAS itu memperkenalkan beberapa 'selibriti' yang kini menjadi anggota keluarga besar parti cukup menarik.
Misalnya, penampilan bekas pengacara TV Al-Hijrah, Robby anak Tandang, seorang Iban, yang telah memeluk Islam dan kemungkinan bertanding dalam PRU13 nanti, atas tiket PAS, di kerusi Sibuti, Sarawak. Semasa saya berkunjung ke Miri dua bulan lalu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Jofri Jaraiee, banyak bercakap tentangnya. Malam itu bicara Roby @ Muhammad Zaid mempesona terutama apabila mengaitkan dengan hikmah agama. Kebetulan 1 Jun itu Hari Gawai dan beliau tidak lupa mengucap selamat buat rumpun bangsanya.
Secara peribadi saya terkesan dengan ucapan penyanyi Aishah. Tutur katanya teratur dan penekanannya jelas -- isyarat pemikiran politik dan budayanya juga begitu mantap. "Selama 25 tahun saya berada di pentas hiburan. Malam ini saya sangat terharu diberi peluang berada di pentas PAS dan membuktikan PAS for everyone," kata Aishah. Bekas Juara Lagu itu sempat mengingatkan: "Bila PAS sampai Putrajaya, jangan lupakan artis di sini."
Begitu juga dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Fauzi Shaari, yang kebetulan esok paginya, 2 Jun, saya sempat berbual ringkas bila terserempak dengannya di tangga Pekan Rabu. (Pagi Sabtu itu, setiap kali melangkah di Pekan Rabu, kita pasti berselisih bahu dengan penyokong PAS dari seluruh negara -- petanda aktivis parti Islam mendominasi Alor Setar).
Sesungguhnya Himpunan Hijau itu amat besar makna dan impaknya buat PAS, parti yang dianggap cukup kritikal dalam PRU13 nanti, terutama untuk merebut hati dan minda pengundi Melayu. Cabarannya terlalu besar dan kesempatan masa yang masih berbaki ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggembleng setiap potensi kekuatan untuk memastikan PAS dapat membantu impian Pakatan ke Putrajaya.
Justeru, saya tidak hairan apabila melihat Umnpo cukup resah dan gelisah dengan Himpunan Hijau itu. Sehinggakan Dr Mahathir Mohamad terpaksa memberi komen bahawa jumlah besar yang membanjiri program itu tidak akan diterjemahkan di kertas undi, sambil menegaskan peserta dibayar untuk menghadirinya.
TPM Muhyiddin Yassin juga berkata peserta Himpunan Hijau itu mungkin dibayar supaya hadir. Katanya, peserta berkenaan mungkin dibayar supaya hadir dari seluruh negara.
Rupanya kerisauan dan kebimbangan saya sebelum 1 Jun itu telah beralih kepada pemimpin Umno, khususnya Muhyiddin dan Dr Mahathir, tentunya dalam bentuk yang lebih dahsyat! Mereka cukup gerun dengan kehilangan kuasa, sesuatu yang lazim dalam "permainan demokrasi".
Malam itu, saya terpaksa bergegas pulang cepat ke hotel, ketika Tuan Guru Presiden berucap, untuk menyiapkan muka-muka utama Harakah edisi Isnin. Malangnya, rakan-rakan jurugambar dan wartawan gagal menghantar bahan tepat pada masanya disebabkan gangguan internet walaupun selepas menunggu sehingga awal Subuh.
Dan saya turut terlupa untuk "menghijaukan" masthead Harakah daripada warna asal merah. "Kalau masthead Utusan Malaysia yang biru itu pun boleh ditukar kepada merah untuk meraikan bersama sambutan Umno ke-66 tahun di Stadium Bukit Jalil, 11 Mei, mengapa masthead Harakah tak boleh tukar menjadi hijau," tanya seorang pembaca setia Harakah.
Tanpa hadir dan jika tidak dapat memerhati dari sudut paling strategik di stadium malam 1 Jun lalu, walaupun sempat mengikutinya melalui video atau YouTube, saya pasti terlepas saat-saat paling manis sebagai anggota parti Islam, terutama untuk menikmati kesyahduan tersendiri Himpunan Hijau itu ...
Koleksi artikel Ahmad Lutfi boleh dilayari di http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=TopikML
No comments:
Post a Comment