Oleh Subky Latif
TUN Ahmad Fairuz, bekas Ketua Hakim Negara telah bercakap sedap tentang keunggulan undang-undang Islam dan betapa perlunya ia menggantikan undang-undang ciptaan manusia sebagai undang-undang utama di mana-mana negara Islam.
Dia memecah kesunyian sejak sekian lama bersara di satu majlis di Kuala Lumpur sebagai menyambut apa yang Perdana Menteri Najib sebut mengenai undang-undang itu dalam Perhimpunan Agung UMNO yang terakhir.
Ada orang membisik kepada saya semasa desakan menghentikannya dari KHN betapa beliau tidak dihentikan kerana sudah kuat kecenderungan dan pemikirannya tentang undang-undang Islam.
Sudah tiga Ketua Hakim Negara selepasnya barulah diluahkannya tentang eloknya undang-undang Islam dijadikan undang-undang utama negara.
Ada pun dia dihentikan bukanlah ada kaitan dengan dia hendak melaksanakan undang-undang itu tetapi tersebarnya klip video Linggam tentang cara dia dikatakan hendak jadi Ketua Hakim itu.
Tidak diketahui sejak bila beliau berfikiran tentang eloknya undang-undang itu. Memang kalau belilau tidak kata undang-undang itu elok, undang-undang tetap elok dan semua orang Islam kata ia adalah undang-undang yang paling elok.
Undang-undang itu Allah yang cipta. Siapa kata ia tidak elok cacat-binasalah akidahnya. Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri yang tidak benarkan hudud dilaksanakan di Kelantan itupun tidak kata undang-undang itu tidak elok, Cuma dia tidak suka undang-undang itu dilaksanakan dengan berbagai-bagai alasan loyar buruk.
Tun Fairuz boleh diberi Syabas tentang kata-kata eloknya mengenai undang-undang itu, tetapi yang Allah dan orang Islam hendak tengok bukan sekadar mengatakan ia elok, sebaliknya apa yang orang kata elok itu buat untuk mendaulatkannya?
Orang ramai baru dengar pandangan Tun Fairuz itu setelah Perdana Menteri Najib mengatanya elok dan Perdana Menteri itu dengan semua Perdana Menteri sebelumnya berkata elok tentang undang-undang tetapi apa yang semua buat tentang undang-undang yang elok itu.
Tun Fairuz bukanlah orang berpangkat hakim berkata baik tentang undang-undang itu. Sekitar 30 tahun dulu ada hakim kanan Yeop Sana namanya kalau saya tidak silap boleh dikira beriman dengan undang-undang itu semasa beliau masih berkhidmat. Tidak disembunyikannya kemahuannya supaya undang-undang itu didaulatkan. Dipercayainya justeru itulah dia tidak mencapai kedudukan lebilh tinggi dalam perkhidmatannya.
Hakim itu bercakap demikian ketika Perdana Menteri ketika itu tidak berminat untuk mendnajulatkannya. Tun Fairuz menyatakan pandangannya selepas lama bersara dan selepas ada Perdana Menteri berkata tentang kemungkinan ia dilaksanakan.
Pandangan adalah satu hal dan sikap adalah yang lain. Dapat pahala bila berpandangan baik tentangnya. Tetapi lebih dari itu apa sikap kita tentang pandangan baik itu?
Perjuangan untuk mengutamakan undang-undang Islam ini sudah disuarakan oleh Dr. Burhanuddin al-Hilmy sebelum orang Tanah Melayu mengenal politik dan kemerdekaan. Ia diperjuangkan terus semasa dia memimpin PAS.
Sekalian yang menyertai PAS sejak ia ditubuhkan mahu undang-undang Islam didaulatkan selepas merdeka. Tun Fairuz belum masuk universiti lagi orang kampung sudah menyuarakan ia didaulatkan. Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas saja yang terjun dalam PAS bagi membantu gerakan mendaulatkannya.
Kalau Cina dan India yang menyertai Dewan Penyokong PAS sudah lebih dulu bercakap dalam ceramah suka undang-undang Islam didaulatkan, malulah orang Islam yang menjadi hakim kalau tidak berkata elok tentang undang-undang itu.
India dan Cina bukan Islam itu telah terjun padang mahu ia dilaksanakan, hakim Melayu dan Islam baru berkata elok tentangnya. Kalau Najib tidak kata apa-apa pun orang beriman mesti tampil mendaulatkannya. Moga-moga kita mati selepas ia didaulatkan.
No comments:
Post a Comment