" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Saturday, March 27, 2010

Sekatan darah menamatkan jantung demokrasi!

Oleh ALI BUKHARI AMIR

Rupa-rupanya rasa pedih, sakit dan ngilu yang dideritai rakan saya, Ahmad Lutfi Othman itu belum reda. Keperitan yang ditanggungnya itu masih belum kebah-kebah. Dan, ketika mendengar ceritanya, apatah lagi melihat gerak badannya, hati jadi patah dilanggar hiba sekali-sekala.

Sebagai salah seorang rakan rapatnya, saya masih lagi gagal menyerap rasa sakit itu dengan sebaik-baiknya. Masih teringat ketika dia terlantar di rumahnya di Ampang selepas menjalani dua kali operasi angioplasti, kerap juga saya dihubungi sekali-sekali, termasuk untuk membawa naskhah akhbar Harakah percuma.

"Jantung ana ni masih perlu ada satu lagi operasi yang menelan belanja rawatan yang agak banyak," katanya.

"Berapa banyak tu?" dengan pantas saya memintas.

"Kira-kira RM25,000 juga..."

http://img707.imageshack.us/img707/4658/lutfiaa.gif

Maknanya, jumlah rawatan sebanyak RM50,000 dalam dua operasi sebelum ini masih belum menimbus rasa sakitnya. Kini, satu lubang di jantungnya yang perlu digali lagi, agar darahnya mengalir lancar semula di salur nadi jantungnya itu.



Saya selalu termenung panjang, cuba memejamkan mata lalu membayangkan bagaimana pekat darah merah itu tersekat antara celah-celah laluan terowong saluran pembuluh darah.

Dengan sebab tembok laluan, sekatan yang merintangi di pembuluh darah terbina sejak sekian lama, banyak juga keinginannya yang tertimbus dengan berlalunya masa-masa.

Dia seorang pengamal media, angan-angannya melangit, mahu membuang segala sekatan dalam arus media perdana, mahu membentuk dan menampilkan akhbar alternatif berkualiti yang segar persembahannya, dan ... ya, juga pastinya tidak dipasung oleh peraturan dan akta karut. Akhbar-akhbar semua perlu dizahirkan tanpa kongkongan pemerintah.

Lutfi - yang pernah berdepan tindakan ganas KDN mengharamkan beberapa penerbitannya, antaranya Detik, Wasilah, akhbar Cabaran, selain dirampas buku-buku politiknya dan akhbar tidak berkala tanpa (sebenarnya tidak perlu) permit - mengimpikan Harakah yang "berkebajikan", mampu menyelesaikan masalah rakyat, membantu masyarakat yang terdesak dan individu yang memerlukan pertolongan, di samping menawarkan berita terkini-sahih dan komentar bernas.

Tetapi, nampaknya segala impiannya yang mahu dihunjam ke langit harapan tu, seakan-akan tergantung, terawang-awang tanpa hala tuju, lalu yang bernama angan-angan untuk menolak sekatan dalam media itu kini menjelma seperti sebatang pohon gergasi yang direntungkan oleh api kata-kata pemerintah.

http://img707.imageshack.us/img707/4658/lutfiaa.gif

Kata-kata pemerintah yang bergema menjadi akta-akta sekatan media di parlimen itu, bukannya mudah dibataskan. Rata-rata masyarakat hari ini tidak berasakan bahawa tembok akta itu perlu diruntuhkan. Itulah yang kerap menjadi tajuk bualan kami.

"Betapa di Indonesia, kalau majalah dan akhbar disekat, umat akan turun ke jalan raya, memberontak dan memprotes," katanya pada suatu malam ketika kami bersantai sambil minum-minum di sebuah restoren di sekitar Jalan Pahang Barat.

Mendengar kata-kata beliau, saya selalu terbayang bahawa kemungkinan beliau mahukan rakyat juga turun berarak ke jalan raya jika Harakah terpaksa berdepan dengan beberapa tindakan khasnya yang berkaitan dengan akta mesin cetak yang menyekat suara rakyat sendiri.

Tetapi, apakah pernah rakyat berfikir sedemikian? Soalan itu tidak pernah berjawab dan ia barangkali akan kekal tenggelam dalam hati kami.

Segenap penjuru alam kini sedang memastikan akhbar ini disekat suaranya dan siapa yang membelanya ketika berdepan dengan masa-masa getir?

Bergelut dengan kemelut muslihat pemerintah dan bergelumang dengan bayang-bayang kezaliman yang panjang adalah bebanan yang amat memenatkan. Apakah dia mampu berdepan dengan segala ancaman dengan pasukan warga Harakah itu?

"Ana lebih rela jantung ana akan dirawat oleh umat. Biar ana berhutang dengan orang-ramai yang memberi wang untuk merawat jantung ini.

"Biar orang-ramai berkata, mereka ada saham dalam merawat jantung ini," kata 'rakan baik' Khir Toyo ini.

Mungkin beliau lebih berbangga 'berhutang' dengan umat yang mahu merawat degup nadi, detak jantung demokrasi yang makin lemah kerana diasak sekatan-sekatan oleh blok-blok kolesterol yang semakin mengeras itu.

Dia malah terpaksa berdepan dengan orang-orang yang tidak memahami tentang bagaimana akhbar ini beroperasi. Lalu kini, segala limpahan maksud baik yang tercurah di sebalik tiap-tiap lembaran akhbar ini, hanya dia dan rakan-rakan yang setia bersedia menakung kesannya.

Segala hasrat yang terpendam, terjunam ke gaung petaka oleh deretan libasan akta-akta sekatan yang memusnahkan kehendak baik itu.

http://img707.imageshack.us/img707/4658/lutfiaa.gif

Sakitnya telah merebak sebagai wabak yang membingungkan. Ia mengalir ke tahap yang paling serius. Saya fikir, kesakitan ini akan reda dalam tempoh sekarang. Namun, arus denyut dan detak jantungnya masih lagi bermasalah.

Melihatkan sahabat baik saya ini yang saya sifatkan beliau rakan debat yang baik, saya seperti meragui darah-darah dan zat blok-blok kolesterol yang terbenam melekat dengan utuhnya pada setiap pembuluh darahnya itu. Adakah mereka juga bersekongkol dengan parti pemerintah? Ah! Mustahil!

Beliau diserang secara halus sejak menyiarkan laporan rasuah berhubung salah laku bekas menteri besar Selangor. Sejak itu, kesihatannya semakin pudar dan sedikit demi sedikit pergerakannya jadi terbatas.

JANTUNG DEMOKRASI BERDETAK LEMAH!

Ada waktu-waktunya, kedua-dua belah tangan dan kakinya terasa kebas. Paling teruk ketika kejadian yang menimpanya di Sandakan tahun lalu ketika kami bersama melawat ahli keluarga bekas tahanan ISA yang baru dibebaskan.

Ketika itu, bulan Ramadhan dan waktu-waktu yang padat saat kami hampir berbuka puasa, Ahmad Lutfi masih terlantar di atas katilnya. Sayalah yang membawa air seteguk dan dia meneguknya dalam keletihan.

Undangan berbuka puasa daripada sebuah cawangan PAS terpaksa dibatalkan lantaran kesakitan beliau itu. Itu antara secebis kenangan yang sempat saya putarkan ketika melihat nafas beliau turun naik, bergayut-gayut di palang keletihan.

Jantung yang dipinjamkan kepada beliau ini, saya namakan sebagai jantung demokrasi. Penanda aras dan kayu ukur kepada demokrasi ialah kebebasan bersuara tanpa dikenakan semacam undang-undang, lesen, permit keizinan, hukum dan peraturan yang bakal menghancurkan kebebasan berkarya tersebut.

"Rasa pedih ulu hati dan panas dada," katanya kepada saya sebentar tadi, ketika petang tadi kami ingin menyambung bualan di sebuah restoren mamak dekat Jalan Pahang Barat.

Tetapi, bicara petang itu masih lagi keras dan penuh bersemangat ketika beliau meriwayatkan kenangan lalu mengenai koleksi editorial Risalah terbitan ABIM ketika ia berada di bawah pimpinan Dr Siddiq Fadhil.

"Ayat-ayat dalam majalah itu menarik. Ana masih ingat - menggigit yang terbabit, menggugat yang terlibat!" katanya ketika mengenangkan kisah lama. Kata beliau, ayat-ayat itu mengecam beberapa peraturan Kementerian Dalam Negeri yang mengenakan permit.

"Masa tu Risalah diterbitkan tanpa permit penerbitan. Jadi, masa tu, ana dengar Dr Siddiq Fadhil sebut, kita tidak perlu gentar kerana kita ada permit dari 'langit', kita tidak perlu permit daripada pihak pemerintah," katanya ketika mengulas hal-hal yang bersifat sekatan ke atas media itu.

Darah berhamburan dan semakin bergolak di dalam dadanya. Tiba-tiba, malam ini dia diserang rasa pedih di bahagian ulu hati ketika balik dan berjalan pulang ke pejabat editorial Harakah.

Ganjaran yang besarlah akan menanti orang yang sabar meneguhkan hati dan pendiriannya saat menempuh kesakitan seumpama ini.

http://img707.imageshack.us/img707/4658/lutfiaa.gif

Di luar jendela sana, 'peluru-peluru sesat' semakin pantas, laju meluru dengan pesat. Dan ia melesat ke dalam fikiran untuk memesongkan fakta dan data. Akhbar dan media yang tersekat suatu ketika dahulu tidak mampu menepis segala timbunan pembohongan ini.

Mujurlah dengan kemajuan dan perkembangan teknologi, ia akan makin memudahkan segala gerakan pencerdasan dan pencerahan tanwiri.

Ahmad Lutfi sudah pulang ke rumah, tepat jam 12.15 tengahmalam, meninggalkan saya sendirian menyambung kerja-kerja penulisan bersifat kenangan yang lalu. Dan, darah yang mengalir lambat-lambat dalam perjalanan menuju ke jantung demokrasi itu, entah bilakah akan deras berlumba-lumba dengan keras agar mengalir seperti selalu?

Semoga darah perjuangan yang bergolak pantas, membuak-buak di dalam dadanya itu, tidak akan lagi tersekat sehingga mengganggu detak jantung demokrasi!

Demikianlah, semoga nafas demokrasi yang dihirup oleh rakyat di negara ini akan berterusan menjadi segar, tidak diracun fitnah penguasa dan tidak dituba oleh angin jalang dan ribut taufan petualang yang kencang sekali menebarkan bilah-bilah jarum kesesatan.

Kuman dan virus yang menyekat pengaliran idea dan fikiran rakyat, ia tegak bagaikan berhala agam dan selonggok blok kolestrol tegar yang menyekat aliran zat darah kebebasan sehingga mengganggu detak jantung demokrasi!

Sayang, hingga kini nampaknya Lutfi masih belum bersedia mengisi kolum Catatan Hujungnya di Harakah ...

NOTA: Kepada sesiapa yang mahu menyumbang, silakan menyalurkannya kepada akaun Ahmad Luqman Hakim bin Ahmad Lutfi, Maybank 162179670906.

12:56 pagi, 26 Mac 2010
Sekolah Pemikiran Kg Baru

DetikDaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111