Oleh Faekah Husin
KERAJAAN Negeri Selangor komited dengan usaha meringankan beban sara hidup rakyat Selangor. Ini adalah teras utama agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang menjadi tunggak pemerintahan Pakatan Rakyat sejak Mac 2008 lalu.
Pada masa yang sama kita sentiasa mengalu-alukan sektor swasta yang prihatin dan ingin turut serta membantu rakyat; secara terbuka dan ikhlas, sekali gus melaksanakan tanggung jawab sosial mereka. Ia adalah unsur penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat madani terutama di negeri terkaya seperti Selangor.
Bagaimanapun, kami melihat ada keraguan melampau dan percanggahan niat di dalam program Tabung Budi yang dilancarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) baru-baru ini.
Tabung Budi melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor dan diserahkan pula kepada Syabas. Modus operandinya tidak masuk akal kerana Kerajaan Negeri membayar Syabas dengan harga penuh, iaitu RM 11 juta sebulan. Syabas tidak layak untuk mengutip subsidi 20 meter padu tersebut dari mana-mana individu. Jika ia dilakukan, Syabas akan dibayar dua kali untuk 20 meter padu air yang sama.
Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halim Mat Som dilaporkan berkata bahawa wang kutipan akan disalurkan kepada keluarga yang langsung tidak menerima 20 meter padu air percuma. Hairannya, mengapa Syabas tidak pula secara terus memberikan air percuma kepada rakyat tanpa menuntut bayaran penuh dari Kerajaan Negeri?
Lebih memeranjatkan lagi, sebahagian dari kutipan dana yang kononnya untuk membantu rakyat miskin turut datang dari potongan gaji para pekerja Syabas sebanyak RM 11.40 sebulan. Persoalannya, apakah potongan gaji sebanyak RM 11.40 adalah sama untuk semua pekerja Syabas; baik pekerja kolar putih mahupun kolar biru? Adakah juruteknik Syabas yang berpendapatan RM 2,000 sebulan akan menerima pemotongan gaji sama jumlahnya dengan Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail yang dibayar RM 425,000 sebulan atau RM 5.1 juta setahun?
Kita tidak perlu mempunyai kelulusan matematik untuk melihat ketempangan skim yang cuba diperkenalkan Syabas ini. Kalau benar Syabas secara ikhlas mahu melaksanakan tanggung jawab sosial mereka, Syabas harus memulakannya dengan melantik juruaudit bebas bagi membuat penilaian jumlah gaji yang munasabah diberikan kepada Pengarah Eksekutif; Tan Sri Rozali Ismail. Amat tidak wajar Syabas terus membebankan pekerja bawahan sementara Pengerusi Eksekutif menerima gaji yang cukup luar biasa.
Pengumuman pelancaran program Syabas ini juga menimbulkan tanda tanya. Mengapa ia diilhamkan ketika intergriti Syabas begitu tercalar. Laporan audit Syabas menunjukkan bahawa lebih daripada 72% kontrak yang diberikan oleh Syabas, dengan nilai sebanyak RM600 juta, telah dianugerahkan secara langsung tanpa tender terbuka dan dilaksana tanpa ketelusan.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga perbezaan sebanyak RM325 juta apabila akaun awam Syabas dibandingkan dengan rekod-rekod kontrak yang dianugerahkan. Ke mana pergi duit ini?
Rekod juga menunjukkan betapa pengurusan Syabas telah dijalankan dengan boros contohnya RM 51.2 juta digunakan semata-mata untuk mengubah-suai pejabat Syabas sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan sebanyak RM23.2 juta.
Audit juga mendedahkan bahawa pada Jun 2005, Syabas telah melanggar syarat konsensi dengan menganugerahkan kontrak untuk membeli paip kepada sebuah syarikat Indonesia yang bernilai RM375 juta sedangkan syarat jelas memperuntukkan hendaklah menggunakan paip buatan tempatan. Bukti mendapati bahawa Syarikat Indonesia tersebut adalah kepunyaan Tan Sri Rozali sendiri.
Justeru itu, dengan intergriti sebegini, rekod urustadbir yang buruk dan penyalahgunaan kuasa, apa rasionalnya skim ini mahu dijalankan? Dengan kehilangan ratusan juta ringgit, apakah kutipan derma dari pekerja bawahan ini boleh dijamin akan sampai kepada pengguna yang memerlukannya?
Pada saya, ia jelas merupakan gimik dan sekadar latihan perhubungan awam demi memulihkan imej hodoh Syabas ketika ini. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, ia sekadar topeng. Ketidakikhlasan Syabas juga menyerlah apabila dalam pada Encik Abdul Halim meminta supaya isu ini tidak dipolitikkan, tiba-tiba terpacul pula Ahli Parlimen dari Hulu Selangor, YB P Kamalanathan pada pelancaran “Tabung Budi” tersebut. Lebih menghairankan, Syabas langsung tidak meminta pandangan Kerajaan Negeri mahupun berbincang mengenainya.
Apa yang lebih penting pada kami ialah, Syabas tidak ada hak dan tidak layak untuk mengutip derma dari mana-mana individu pengguna air yang telah mendapat subsidi dari Kerajaan Negeri. Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan tersebut mereka hendaklah memulangkannya kepada Kerajaan Negeri dan bukannya kepada Syabas.
Kami dengan ini menggesa Syabas berhenti dari menggunakan skim tersebut sebagai topeng menutup segala kepincangan urustadbir. Sekiranya Syabas benar-benar ingin menolong rakyat, kembalikan hak air kepada rakyat Selangor. Jangan “menderma” ratusan ringgit namun pada masa yang sama mencuri ratusan juta wang rakyat.
Penulis adalah Setiausaha Politik MB Selangor
No comments:
Post a Comment