oleh RAHMAN SHAARI
Memikirkan perlawanan rakyat di Mesir, apakah fikiran kita di sini? Pihak kerajaan berfikir lain, pembangkang berfikir lain pula. Pembicara politik tentulah ada pelbagai pandangan. Kerajaan berfikir, eloklah berbaik-baik dengan rakyat sendiri, pergi ke ceruk-ceruk melawat mereka. Kita dahulukan rakyat dalam erti sebenar-benarnya.
Pilihan raya hendaklah dijalankan dengan adil dan telus. Jangan ada penipuan dan lowongan yang menyebabkan orang menyangka ada penipuan dalam pilihan raya. Seterusnya rakyat jangan dibiarkan menanggung derita
Jika sesuatu akan menyusahkan rakyat, misalnya kenaikan harga minyak – andai kata itu tidak dapat dielakkan – kerajaan hendaklah awal-awal lagi menyatakannya kepada rakyat. Jangan sampai rakyat terperanjat dan marah.
Kerajaan mungkin tidak terlalu bimbang ketika ini. Tunjuk perasaan yang gah, iaitu keluarnya rakyat dalam jumlah amat besar seperti berlaku di Mesir, tidak syak lagi ia akibat rasa tertekan yang lama. Rakyat di sana menghimpun rasa tidak puas hati kepada kerajaan. Itu tidak mungkin kejadian yang tiba-tiba, sebaliknya berada lama di bahagian subconscious rakyat, secara archetypal. Jika kerajaan merasakan itu adalah tiba-tiba, bererti kerajaan tidak pernah membuat pemeriksaan tentang rasa hati rakyat, dan juga bermakna kerajaan tidak memikirkan rakyat.
Pihak pembangkang pula melihat peristiwa di Mesir sebagai satu peluang. Pembangkang yang mencintai parti politik mereka tidak gemar jika rakyat bangkit seperti berlaku di Mesir. Jutaan manusia di Mesir hanya menimbulkan chaos (keadaan kacau), membolehkan kerajaan mengisytiharkan darurat. Pilihan raya tiada. Itu tidaklah berfaedah bagi pembangkang.
Dari sudut pembangkang, kebangkitan yang bagus dan berfaedah ialah yang akan mengubah corak pengundian dalam pilihan raya. Pembangkang menunggu kebangkitan yang sedemikian, kerana itu ialah tanda berubahnya definisi rakyat terhadap demokrasi kita. Di Mesir, Hosni Mubarak menjanjikan pembaharuan, tetapi tidak mahu meletakkan jawatan. Penunjuk perasaan yang ramai itu mahukan beliau meletakkan jawatan segera, bukan menunggu berbulan-bulan lagi. Di Malaysia, kita tidak menuntut sesiapa meletakkan jawatan, cuma pihak pembangkang berharap mereka akan menang dalam pilihan raya nanti. Secara umumnya pembangkang mahu ketua mereka akan menjadi Perdana Menteri yang baru, walaupun sejauh ini yang dikehendaki pembangkang ialah orang lama juga, iaitu mantan Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu, dapat dikatakan kehendak pembangkang Malaysia tidaklah terlalu jauh.
Pengkritik kerajaan yang berjiwa progresif mahu melihat peristiwa di Mesir itu berlaku juga di sini. Secara halus, mereka mengatakan sesiapa berada di Tahrir Square minggu lepas pasti akan menjadi sebahagian daripada sejarah. Pandangan begini juga bersifat lama, berulang-ulang, iaitu berasaskan andaian bahawa kuasa rakyat adalah agung.
Sebenarnya, kejadian di Mesir adalah perulangan biasa, iaitu satu penentangan terakibat daripada ketidakadilan. Sesiapa yang berada di situ, sama sahaja dengan sesiapa berada di mana-mana tempat yang ada tunjuk perasaan atau rusuhan.
Pengkritik kerajaan yang berjiwa muda progresif itu juga merungut kerana kata mereka kejadian di Mesir terlalu lambat berlaku di Malaysia. Sebenarnya, Malaysia sejak awal mempunyai kaedah kawalan yang dijangka dapat bertahan. Kaedah ini dibantu ciri utama masyarakat kita, iaitu pelbagai kaum yang terlatih untuk bersatu padu. Kelemahan memang ada di sana sini, tetapi secara keseluruhannya keutuhan masyarakat Malaysia sukar digoyang oleh adu domba. Cuma, adakah kekuatan kaedah Malaysia itu masih seutuh asalnya? Juga, adakah kita kini menggunakan kaedah kita untuk maksud betul? Itulah persoalan kita.
Semua makna yang di atas hendaklah dianjak sewajarnya. Pencarian kedamaian dan keharmonian selalunya berjaya jika teori anjakan makna diaplikasi dengan baik dan berhemah. Teori ini dicipta secara umumnya untuk menemukan kedamaian. Berkaitan dengan peristiwa di Mesir, peringatan Nurul Izzah Anwar adalah memenuhi konsep anjakan makna. (Sinar Harian, 1 Februari 2011)
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, rakyat Mesir (dan Tunisia juga) tidak bangkit jika kepimpinan negara tidak korup dan tidak zalim. Nurul Izzah berpesan kekayaan negara hendaklah diagih dengan adil, beban hidup rakyat hendaklah dilegakan, kebebasan media diizinkan, keluhan rakyat didengari, dan demokrasi dalam pilihan raya jangan bersifat palsu. Izzah memetik kata-kata Thomas Jefferson, bahawa apabila rakyat takut kepada kerajaan, itu ialah penindasan, dan apabila kerajaan takut kepada rakyat itulah demokrasi.
Bicara Nurul Izzah kelihatannya tentang hal luar negara, tetapi sesiapa yang membacanya amat cepat teringatkan Malaysia. Semakin rapi kita membacanya, semakin terasa bahawa Nurul Izzah berniat baik menasihat pemimpin Kerajaan Malaysia agar sentiasa mengutamakan rakyat. Pertanyaan daripada beberapa orang teman tentang adakah kemungkinan tunjuk perasaan seumpama itu berlaku di Malaysia, mudah dijawab. Nasihat Nurul Izzah, dan nasihat orang lain yang seumpamanya – jika diikuti – akan sentiasa berjaya menjauhkan petaka seperti di Mesir itu daripada menimpa Malaysia.
Saya tertarik pada makalah tulisan Nurul Izzah kerana terserlah keikhlasannya. Dia benar-benar berhasrat untuk menasihati kerajaan yang sedia ada agar berwaspada, bukannya mengancam bahawa pihaknya akan mengambil alih pemerintahan. Perhatikan kata-katanya, “Kebangkitan tidak akan berlaku seandainya wanita pertama menjadi ‘ibu’ kepada semua, dan bukan menganaktirikan dan melarikan jongkong emas milik rakyat”. Pesanan ini ditujukan kepada sesiapa yang menjadi isteri orang besar di negara kita agar sentiasa ikhlas dalam menjalankan peranan. Wanita pertama dianggapnya sebagai ‘ibu’.
Dalam satu majlis di Kuala Lumpur, saya telah ditanya oleh Dr Suhami Aziz, intelektual sastera yang terkemuka, adakah anjakan makna bertolak daripada pembaca atau penulis/penutur? Suhaimi bertanya bukanlah kerana beliau tidak faham, tetapi beliau menghendaki kepastian dari penganjur konsep ini. Saya menyatakan bahawa anjakan boleh berlaku di dalam akal sesiapa saja, pembaca, pendengar, penulis, pembicara – malah secara teoritis, gejala anjakan itu mungkin sedia ada pada ungkapan atau ayat. Ertinya, apabila Nurul Izzah mengatakan “mereka bangkit kerana sudah terlalu lama mereka ‘dijajah’”, keseluruhannya sedia beranjak.
Perhatikan, bahawa biarpun sesebuah negara itu merdeka, akan timbul perasaan ‘dijajah’ apabila rakyat merasakan adanya penindasan terhadap mereka. Rakyat menghendaki kemerdekaan daripada ‘penjajahan’ yang terlindung itu. Sejauh manakah kita dapat menerima konsep yang figuratif sedemikian berbalik pada keupayaan imaginasi dan kecenderungan membuat perbandingan. Sesiapa yang hanya cenderung berbahasa denotatif pasti akan menolak kenyataan itu. Negara merdeka adalah negara merdeka, mengapakah pula dikatakan ‘dijajah’?
Setelah mendapat makna bahawa rakyat di negara yang merdeka itu ‘dijajah’, kita juga memperoleh makna figuratif bahawa negara orang adalah negara kita. Hal ini demikian kerana penulisan atau pertuturan tidak terhenti di satu tahap. Sesuatu yang berada di tahap personal akan beranjak ke tahap universal. Sesuatu yang berada di tahap nasional boleh beranjak ke tahap internasional. Demikian juga sebaliknya: parse pro to dan totem pro parte saling mengambil tempat. Memikirkan hal ini, kejadian di tempat lain hendaklah diambil perhatian secara bersungguh-sungguh, kerana di sana juga adalah di sini.
Demikianlah sedikit banyak anjakan makna daripada peristiwa di Mesir
No comments:
Post a Comment