Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
MARANG: PAS merumuskan kemuncak penipuan yang dilakukan oleh pemerintahan Mesir dalam sistem demokrasinya telah mengakibatkan rakyat bangkit menentang dan menuntut keadilan.
Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penipuan yang dilakukan oleh kerajaan Mesir dalam pilihan raya di negara itu lebih teruk dari negara lain.
Katanya, bermula dengan penipuan daftar pemilih, kertas undi, menyekat pengundi dan menghalang calon pilihan raya. “Di Mesir tipu lebih teruk daripada kita lagi sehingga sampai ke ‘puncak’. Mula-mula tipu daftar pemilih di Mesir, selepas itu tipu kertas undi, dia sekat kampung-kampung yang kuat parti Islam.
“Polis jaga tempat mengundi dan pilih orang mengundi. Orang yang kuat parti Islam dia tidak benar mengundi. Hak sokong ‘Umno’ Mesir sahaja boleh mengundi. Hak sokong Ikhwan Muslimin (parti Islam) tidak boleh mengundi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payung di perkarangan Madrasah Darul Iman, Titian Baru Kedai Buloh, Marang, 5 Februari lalu.
Menurut Dato’ Seri Abdul Hadi, pilihan raya tahun 2006, Ikhwan Muslimin telah berjaya memperolehi 80 kerusi parlimennya.
Katanya, parti Islam Ikhwan menang meski pun tidak boleh memerintah negeri Mesir kerana halangan demokrasi yang pincang.
Malah, kata beliau kerajaan Mesir pimpinan Hosni Mubarak tidak benarkan parti Islam menggunakan simbol parti dalam pilihan raya tersebut.
“Parti Islam tidak dibenarkan guna simbol Ikhwan dalam pilihan raya dan mereka (Ikhwan) meletakkan calon-calon bebas.
“Pilihan raya (Mesir) baru-baru ini tipu lagi. Dia tidak benarkan calon-calon Ikhwan ‘register’ jadi calon. Ini peraturan yang ‘gila’ untuk halang kemenangan Islam,” tegasnya.
Justeru itu, kata Ustaz Abdul Hadi parti Ikhwan menganjurkan pulau pilihan raya di Mesir dan hanya 20 peratus sahaja rakyat yang keluar mengundi.
Menurutnya, mengikut amalan demokrasi tidak sah jika hanya 20 peratus sahaja keluar mengundi tetapi kerajaan Mesir mengistiharkan menang dengan 20 peratus itu.
Akhirnya, kata beliau rakyat Mesir keluar ke jalan-jalan raya, tunjuk perasaan menuntut keadilan walau pun ditembak oleh pemerintah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa ‘serangan’ politik yang dilakukan di Terengganu juga lebih teruk dari negeri-negeri lain.
Katanya, lapan kerusi yang dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya lalu adalah hasil dari kerja kuat para petugas parti.
“Kita kena sedar, di Terengganu ini dia (Barisan Nasional) ‘serang’ lebih dari negeri lain. Lapan kerusi kita (PAS) yang menang itu adalah petugas-petugas yang kuat bekerja pilihan raya.
“Bekerja dari awal dan hari mengundi sanggup masuk lokap. Anak-anak muda kita sanggup masuk ‘lokap’ kerana tahan pengundi hantu dan penipuan yang cuba dilakukan oleh Umno-BN,” jelasnya.
Namun begitu, kata Ustaz Abdul Hadi, PAS masih mengambil keputusan menyertai pilihan raya serta melawan penipuan tersebut.
“Ulama’-ulama’ kita memilih jalan pilihan raya kerana pilihan raya ini peluang berkempen. Walau pun payah menang tetapi pahalanya makin lama makin banyak. Dia tipu, kita kena lawan tipu dia. Jangan biarkan sahaja,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Arifin Deraman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Payung, Ustaz Baharuddin Mohamad.
No comments:
Post a Comment