Oleh Haji Abdul Subky Latif
Ia telah membuat keputusan yang betul dan berani jika dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti calonnya lebih banyak kalah dari yang menang.
Seperti yang diumumkan oleh Presidennya, Dr Chua Soi Lek, ia tidak akan menyertai kabinet. Tetapi ia akan kekal di luar kabinet sebagai kerabat Barisan Nasional.Keputusan itu bukan pandangan peribadi Dr. Chua Soi Lek tetapi ia adalah keputusan pimpinan parti itu
Untuk berapa lama?
MCA tidak menyatakan.
Mungkin untuk sepenggal selepas pilihan raya itu, bahkan mungin selagi ia tidak mendapat keputusan yang baik dalam pilihan raya.
Keputusan ini adalah menyatakan keberanian MCA menghadapi situasi yang dihadapinya setelah pengundi Cina di Sarawak tidak lagi percaya kepada parti komponen Cina dalam Barisan Nasional setakat ini.
SUPP yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak sejak hampir 40 tahun lalu kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini. Keputusan itu mengulangi keputusan PRU 12 tahun 2008 dulu betapa lebih banyak calon MCA kalah dari yang menang, bahkan tidak seorang pun calon Parlimen Gerakan menang di kawasan majoriti pengundi Cina.
Jika ada calon Gerakan menang seperti di Gerik ialah di kawasan majoriti Melayu.
Oleh kerana sikap pengundi Cina di Semenanjung tidak dapat diuji selepas tahun 2008 kerana tiada pilihan raya kecil di kawasan pengundi Cina, maka tidak dapat diketahui apakah pengundi Cina kembali semula kepada BN atau kekal seperti dulu berdasarkan keputusan di Sarawak itu.
Tan Sri Ong Ka Ting, pemimpin MCA semasa PRU 2008 itu membuat keputusan yang berani berikut dengan kekalahan majoriti calon MCA itu. Sekali pun dia menang tetapi dia mengambil tanggungjawab atas nasib parti itu dengan tidak lagi menyertai kabinet.
Tindakannya itu setakat dirinya sendiri tetapi tidak buat partinya. MCA dengan kekalahan yang banyak itu kekal berada dalam kabinet. Dia ada maruah.
Tidak seperti Gerakan. Bukan saja kalah teruk dan tumbang di Pulau Pinang, Presidennya kalah, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon duduk pula dalam kabinet melalui perlantikannya sebagai senator.
Sememangnya Gerakan tidaklah lebih handal dari MCA, tetapi Presiden MCA yang ada maruah sekali pun dia menang tetapi dia menolak jawatan kabinet, tetapi Gerakan yang parti dan Presidennya kalah, dengan maruah yang rendak, dia menerima jawatan kabinet.
Perdana Menteri Abdullah Badawi tidak mengangkat orang yang kalah menjadi menteri, tetapi Datuk Najib yang menggantikan Abdullah mengangkat orang yang ditolak oleh rakyat menjadi menteri serti Dr Tsu Koon itu.
Perlantikan Tsu Koon itu adalah ibarat mengumpan pengundi Cina, dengan harapan pengundi Cina akan menyokong semula Gerakan. Apakah pengundi Cina termakan umpan itu? Tidak jawapan dari Gerakan dan BN pimpinan Najib tetapi MCA tidak nampak Cina yang jadi seperti sepat itu terikat dengan apa jua umpan yang digunakan.
Keputusan MCA tidak menyertai kabinet jika masih ramai calonnya kalah adalah kata duanya kepada pengundi Cina dan kepada pimpinan Najib sendiri.
Gerakan dan PPP yang beranggota Cina dipercayai tidak mampu meraih keputusan yang lebih baik dari MCA dalam pilihan raya nanti. Yang kuat sikit ialah MCA. Kekuatan MCA selama ini adalah atas sokongan pengundi Melayu. Jika UMNO tidak memberi calon MCA bertanding di kawasan Melayu dan ahli UMNO tidak mengundi MCA di kawasan majoriti Cina, MCA tidak merasai menang sejak dulu.
Apakah pengundi Cina akan termakan dengan kata dua MCA itu? MCA mencabar pengundi Cina, jika mereka mahu ada menteri Cina dalam kabinet akan datang, maka mereka mesti mengundi MCA. Jika tidak, tidak akan ada menteri Cina jika Barisan menang lagi.
Cabaran itu laku di masa lalu kerana tidak parti alternatif yang mampu membentuk kabinet selain dari BN. Tetapi dalam PRU 13 nanti rakyat ada pilihan iaitu kemunculan Pakatan Rakyat yang sedang mara menuju Putrajaya dengan Buku Jingganya yang menjanjikan perubahan untuk negara dan rakyat.
Jika kecenderungan pengundi tahun 2008 tidak berubah dan kejayaan DAP di Sarawak menceminkan suasana di Semenanjung, maka MCA sudah mengenal realiti, tidak banyak harapannya bagi meraih sokongan pengundi bukan Melayu.
Mungkin Najib sendiri sudah merasa apa yang dibimbangkan oleh MCA itu. Justeru itu Perdana Menteri mengharapkan PAS keluar meninggalkan DAP dalam Pakatan Rakyat supaya kedua-dua parti Melayu itu berkongsi kawasan majoriti Melayu.
Ketika Najib membuat tawaran berbaik dengan PAS inilah MCA membuat keputusan tidak menyertai kabinet jika prestasinya tidak baik. MCA menyedari sikap pengundi Cina dan MCA juga merasakan Umno sendiri bimbang dengan undi orang Melayu hingga cuba berlunak dengan PAS.
Walau pun Najib bimbang dengan undi Melayu tetapi MCA lebih bimbang dengan pengundi Cina. Maka adalah lebih baik ia tidak mengharapkan kerusi kabinet sebelum ia menghadapi keadaan yang lebih parah.
Jika MCA dapat mempertahankan beberapa kerusi saja dalam pilihan raya nanti, ia adalah lebih baik dari mengharapkan kekal dalam kabinet. Tidak ada maruah bagi MCA kekal dalam kabinet sedang ia tidak mampu menguasai pengundi di akar umbi.
Adalah bijak bagi MCA menyedari dirinya sebelum dikeciwakan dalam PRU nanti. Dengan menyedari keadaan itu ia boleh mengambil langkah kalau boleh mempertahankan kerusi yang dimenanginya tahun 2008 dulu.
Dr Chua Soi Lek mengajar pengikutnya supaya tidak sombong tak bertempat. Nyatakan kuat bila benar-benar kuat, dan jangan kata kuat ketika ia tidak pasti kuat atau tidak.
No comments:
Post a Comment