" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Tuesday, May 3, 2011

PAS perlu menang politik, dakwah

Oleh Abdul Shukur Harun

KEKALAHAN dalam pertarungan politik pilihan raya sesuatu yang sangat memedihkan. Sebab itu selepas kekalahan ada yang berusaha memujuk hati sendiri. Inilah antara yang terjadi selepas kekalahan PAS dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini serta kekalahan berturut-turut PAS dalam beberapa pilihan raya kecil sebelumnya.

Dalam suasana murung ini, ada beberapa SMS yang saya terima daripada teman-teman, antaranya berbunyi: "Tidak mengapa kita kalah di Sarawak kerana kita telah berjaya menyebarkan dakwah kepada rakyat negeri itu."

Ini sebuah bujukan untuk mententeramkan hati sendiri yang sedang rawan, tetapi ini sebenarnya tidak menyelesaikan masalah PAS sebuah parti politik moden dan pada masa yang sama sebagai badan dakwah.

Jika analogi daripada SMS itu hendak diterima, maka jawapannya ialah, kita berhenti saja sebagai parti politik dan tumpukan perhatian kepada gerakan dakwah saja. Tetapi apakah ini sebuah jawapan yang tepat, tentu saja tidak.

Dalam hubungan ini saya tertarik dengan ucapan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Subang Ahad, 17 April lalu, di mana saya bersama beberapa mantan YDP kawasan itu turut diraikan. Ucapan beliau menyentuh persoalan memujuk hati ini di samping mengulas sepintas lalu kekalahan PAS di Sarawak 16 April lalu, suatu kekalahan yang sangat memedihkan, namun ahli PAS masih mampu memujuk hati sendiri supaya tidak terlalu kecewa.

Dr Dzulkefly menyebut sebuah SMS yang diterimanya selepas keputusan pilihan raya Sarawak itu, yang berbunyi: "Inilah akibatnya jika PAS meninggalkan konsep Negara Islam."

Bagi Dr Dzulkefly, pendapat ini adalah sebuah kekeliruan dalam memahami syiasah syariah, politik pilihan raya dan demokrasi serta tuntutan rakyat.

Menurutnya, penghantar SMS itu keliru mengenai konsep Negara Islam, bahawa yang dipentingkan oleh orang itu ialah form (bentuk) Negara Islam, bukan substance (isinya). Ini sebuah kekeliruan yang sangat merugikan PAS sendiri, katanya.

Dalam hubungan ini Dr Dzulkefly mengembalikan ingatan kita bagaimana pada 2004 PAS menguar-uarkan konsep Negara Islam dan pada tahun itu juga pilihan raya umum diadakan di mana PAS kalah teruk akibat penolakan orang bukan Islam terhadap konsep tersebut disebabkan mereka tidak diberi kefahaman jelas.

Tetapi sebaliknya, katanya, dalam PRU ke-12 pada Mac 2008 ketika PAS mengutarakan ‘PAS For All’dengan mengambil pendekatan realistik dan terbuka, PAS mencapai kemenangan gilang gemilang bersama Pakatan Rakyat. Ini kerana PAS berwajah baru yang dapat diterima oleh semua kaum tanpa berkompromi dengan dasar Islamnya.

Inilah sebuah kenyataan bahawa kebijaksanaan politik - memahami kehendak masyarakat dalam kerangka demokrasi – telah menghantar PAS kepada kejayaan.

Dalam konteks pilihan raya di Sarawak bahawa memang benar PAS telah berjaya menebarkan dakwah kepada penduduk Sarawak, tetapi kata Dr Dzulkefly, sebagai parti politik PAS gagal dan ini, baginya, sesuatu yang amat berat di mana sepatutnya kita menang politik dan menang dakwah kerana inilah yang sangat diperlukan.

Dalam hal ini beliau menghuraikan bahawa PAS sebagai badan politik dan dakwah sewajarnya mengaplikasi serentak akidah dan tuntutan atau keperluan masyarakat.

Saya dapat memahami maksudnya bahawa jika kita berjaya dua aspek ini – akidah dan siasah syariah – maka, dengan izin Allah, kita akan berjaya di medan politik dan dakwah bersekali. Jika ini berlaku tidaklah lagi perlu ahli PAS ‘memujuk hati’.

Namun ini memerlukan perancangan dan strategi yang baik dan tepat. PAS sewajarnya memasuki pilihan raya di Sarawak baru-baru ini dengan pemahaman ini.

Pendukung PAS semua peringkat perlu benar-benar memahami dan mentafsirkan mengenai hubungan akidah dan tuntutan masyarakat. Maknanya, PAS mesti memahami bacaan politik semasa dan kehendak mayarakat serta suasana yang berlaku. Jika PAS menang politik bermakna kita dapat kuasa, dapat menebarkan dan memperkukuh dakwah.

Dalam masa yang sama kita tidak berkompromi dengan persoalan akidah. Bagi saya inilah cabaran berat tetapi mesti dihadapi oleh pendukung PAS pada masa akan datang.

Sementara itu, mengenai kekalahan di Sarawak, ramai mengatakan bahawa PAS terlambat membuat persiapan di negeri itu dan memasukinya pun tanpa strategi pada hal gema pilihan raya di negeri itu sudah lama didengar.

Saya teringat di mana sudah berulang kali perwakilan Sabah dan Sarawak di Muktamar PAS merayu dan mendesak supaya pimpinan PAS datang selalu ke kedua-dua negeri itu untuk memperkukuh dan menyuburkan PAS di sana – tidak sekadar dekat pilihan raya. Oleh itu adakah ini sudah dilakukan?

Dalam beberapa pilihan raya yang lalu di Sarawak, diberitakan banyak cawangan PAS telah ditubuhkan, tetapi kini tidak aktif lagi. Khabarnya, ada 25 cawangan baru PAS ditubuhkan dalam kesibukan PRU negeri itu baru-baru ini, namun yang dikhuatiri ialah jika cawangan baru itu nanti akan menerima nasib yang sama seperti cawangan yang ditubuhkan dulu itu.

Oleh itu ketika orang Semenanjung telah pulang semuanya setelah menolong berkempen baru-baru ini, ada pesan supaya jangan ditinggalkan begitu saja pendukung Pakatan Rakyat, khususnya PAS di Sarawak. Keraplah datang walaupun bukan masa pilihan raya.

Sementara itu, ada penganalisis berpendapat bahawa kekalahan PAS di Sarawak, antara lain, kerana PAS Semenanjung gagal memahami pengundi setempat di samping gerak kerja yang tidak berstrategi.

Suatu hal yang wajar diambil perhatian, walaupun PAS telah bertapak sejak hampir 10 tahun, namun ia hanya dikenali lebih mirip kepada gerakan dakwah dan bukannya parti politik. Ini adalah kerana kegagalan memberikan kefahaman mengenai PAS.

Usaha untuk merubah persepsi ini belum dilakukan secukupnya, di masa yang sama rakyat Sarawak belum diberi penerangan jelas bahawa PAS berada dalam Pakatan Rakyat, bermakna mengundi PAS adalah juga mengundi Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, seperti kata Dr Dzulkefly, politik zaman kini ditentukan oleh maklumat, bermakna demokrasi ditentukan oleh aliran maklumat. Oleh itu, rakyat perlukan maklumat segera supaya mereka dapat segera menentukan pilihan secara demokrasi.

Akhirnya saya memetik ayat al-Quran untuk menjadi renungan bersama, yang menegaskan bahawa Allah SWT amat mengetahui mengenai kesungguhan dan kebijaksanaan mereka yang berjuang di jalan Allah SWT: "Adakah kamu menyangka bahawa Allah telah meninggalkan kamu dan Allah belum mengetahui bahawa kamu tidak bersungguh-sungguh di dalam perjuangan, di antara kamu tidak mengambil menjadi teman setia selain Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu perbuat. – Surah At-Taubah, 16

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111