Oleh Aspan Alias
Kita selalu berkata dengan berbagai perbilangan Melayu yang diketahui ramai sejak turun temurun. Salah satunya ialah, ‘sekali air bah sekali pasir berubah’. Itu sebabnya dalam apa-apa kegiatan, perlakuan, kegiatan dalam apa-apa bentuk pun perubahan tetap akan berlaku.
Kadangkala perubahan itu berlaku secara evolusi dan perlahan yang kadangkala tidak kita sedari. Kita manusia sendiri berubah dari muda menjadi dewasa dan dari dewasa menjadi tua
Rupa kita pun berubah kerana keadaan fisik kita berubah. Pemikiran dan memberikan persepsi kepada sesuatu keadaan pun berubah. Kalau dahulu sesuatu nilai kehidupan itu dianggap baik tetapi akhirnya nilai itu tidak lagi diterima masyarakat.
Agama suci kita pun menyatakan dengan jelas yang kita mesti hidup mengikut waktu dan zamannya. Apabila kita statik dalam kehidupan kita maka kita akan tidak lagi dapat menyesuaikan diri kita dengan keadaan sekeliling. Tetapi agama kita juga menyatakan dengan terang-terangan supaya kita tidak lari dari tali Allah. Kita tidak boleh lari dari mengtauhidkanNya sambil bertawajjuh dan bertawassul denganNya disetiap ketika dan detik.
Rupa bentuk muka bumi pun berbeza dari rupa bentuk di antara sebelum dan selepas ‘ice-age’. Malah bumi ini ‘is more intelligent than putting all human minds together’. Bumi berubah mengikut zaman dan waktunya. Maka manusia wajar berubah dari masa kesemasa selari dengan perubahan untuk kebaikan sebagai yang di tuntut oleh agama kita.
Perubahan itu tidak memberikan ‘exception’ kepada politik dan siasah negara serta rakyatnya. Politik ini adalah permainan manusia yang tidak terlepas dari perubahan manusia itu sendiri dan ianya akan juga membawa perubahan kepada badan-badan politik itu secara parallelnya. Ramai di antara kita tidak menyedari perubahan yang besar di dalam minda manusia yang bermain politik ini. Hanya kepada siapa yang berfikir dan sentiasa sensitif terhadap perubahan itu akan sedar. Itulah sebabnya agama kita mengingatkan kita, berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam.
Kadangkala perubahan itu hanya di sedari setelah perubahan itu telah jauh jaraknya dari kita yang statik dan tidak berubah itu. Apabila kita tidak sedar tentang perubahan itu maka akan sampailah waktu kita sudah tidak lagi menjadi ikutan jika kita seorang pemimpin. Sedar-sedar kita sudah tidak lagi dihormati oleh orang ramai yang kita pimpin kerana kelekaan kita dan tidak menyedari tentang perubahan di dalam pemikiran rakyat dan persepsi mereka terhadap kita.
Apabila sampai waktu itu maka kita akan menghadapi masalah besar untuk membuat ‘adjustments’ terhadap selera rakyat yang sudah lama melalui perubahan itu. Perhubungan kita dengan orang ramai akan sentiasa dilanda perbalahan minda dan pendapat serta persepsi terhadap sesuatu isu itu kerana kita tidak memperbaiki pemikiran kita secara ‘abreast’ dengan pemikiran rakyat yang telah jauh kehadapan.
Kalau dahulu kita boleh meyakinkan rakyat dengan retorik yang besar-besar dengan menggunakan media perdana cetak dan letronik sekarang media perdana sudah tidak mampu untuk menjadi agen yang membawa sokongan kerana kesedaran rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku di dalam kerajaan mereka.
Rakyat sudah tahu apa tanggungjawab mereka dan di mana letaknya kuasa mereka sebenarnya serta telah dapat memahami apa tanggungjawab parti dan kerajaan. Di sebaliknya kita masih lagi menguruskan kehendak rakyat dengan menggunakan sentiment yang berbagai-bagai seperti isu perkauman dan isu-isu sensitif yang lain.
Rakyat tidak termakan lagi dengan isu ungkit mengungkit yang selalu digunakan oleh pihak kita. mengungkit tentang perbekalan air bersih, bekalan letrik dan berbagai-bagai lagi keperluan asas kehidupan yang di berikan kerajaan bukannya untuk dibalas budi walaupun kerajaan itu sendiri telah berubah menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
Mereka tahu yang pembangunan itu adalah di atas kerja kuat rakyat berbilang kaum dengan membayar berbagai bentuk cukai. Rakyat dari semua ahli-ahli parti, samada parti kerajaan atau pembangkang bersama-sama membayar cukai untuk di isi kedalam kantung perbendaharaan kerajaan. Mereka juga tahu tindakan kerajaan menindas pihak yang tidak mengundi parti kerajaan itu merupakan tindakan tidak bermoral seolah-olah mereka yang membangkang tidak ada hak sedangkan mereka jugalah yang membayar cukai kepada kerajaan.
Oleh yang demikian janganlah kita menggunakan isu pembinaan sekolah di kampong-kampong atau pemberian subsidi gigi palsu kepada makcik-makcik di kampong itu untuk mendapatkan sokongan di dalam pilihanraya. Apa sangatlah subsidi gigi kepada orang tua di desa-desa jika dibandingkan dengan jumlah ketirisan yang beratus billion ringgit yang berlaku di dalam kerajaan serta subsidi-subsidi yang amat besar kepada kroni dan mereka yang telah sedia kala menjadi orang kaya-kaya.
Ini merupakan contoh-contoh perubahan yang sedang berlaku di dalam politik tanah air kita sekarang ini. Apabila rakyat tidak lagi menerima cara berkempen yang saya sebutkan tadi, yang tinggal bagi kerajaan atau mana-mana pihak yang ingin mendapatkan dokongan rakyat ialah samada kita memimpin tanpa rasuah, beretika serta bertanggung jawab sebenarnya kepada rakyat seperti yang di akui oleh pemimpin-pemimpin kita.
Rakyat sebenarnya sangat benci dengan pemimpin yang rasuah tetapi mereka tidak dapat membuktikan kerja rasuah itu berlaku kerana perlindungan yang diberikan oleh OSA serta akta Polis dan banyak lagi akta yang disalah gunakan seperti ISA. Rakyat tahu yang sipolan dan sipolan itu ialah perasuah besar tetapi mereka akhirnya tidak mampu untuk membuktikannya kerana sebab yang baru saya sebut tadi.
Maka mereka bertindak untuk memberikan sokongan kepada pihak lain dan mereka ini tidak wajar dipersalahkan. Rakyat bertambah marah lagi dengan pimpinan rasuah yang menggunakan isu rasuah itu juga kepada pembangkang semata-mata untuk mengelakan isu itu difokuskan kepada mereka yang sediakala rasuah. Perubahan persepsi rakyat ini amat payah untuk dihilangkan.
BN terutamanya UMNO wajib berubah jika tidak mahu diubah oleh rakyat. Perubahan itu melibatkan imej parti secara total. Imej sebagai parti yang dikuasai oleh pemimpin yang tidak boleh dipercayai seperti sekarang kepada imej baru yang bersih dan memberi harapan kepada rakyat untuk menyambung mandat mereka. Jika ini tidak dapat dilakukan maka rakyat mempunyai hak untuk mengharapkan keadaan yang baru yang boleh memberi harapan kepada mereka kepada kerajaan alternatif yang mempunyai hak untuk diberikan mandate itu.
Kita tidak boleh terus-terusan memaksa rakyat untuk tidak berubah kepada parti alternatif jika kita sendiri tidak berubah. Bagi saya keseluruhan ahli dan kepimpinan UMNO wajar melakukan tindakan drastik dalam membina imej dan persepsi baru…pimpinan baru, barisan kepimpinan yang baru, kabinet yang baru serta semuanya baru.
Banyak yang mengatakan saya ini bermimpi di siang hari kerana pemimpin kita yang sedang berkuasa tidak akan berkorban dan berpisah dengan kuasa yang ada di tangan mereka. Jawapan saya kepada pandangan ini mudah. Saya hanya memberikan pandangan. Mahu tidak mahu itu bab lain. Setidak-tidaknya saya boleh membuktikan apa yang saya perkatakan ini akan terbukti kebenarannya. Saya berharap pandangan saya ini tidak ada kebenarannya tetapi saya tidak boleh mengelak dari memberikan pandangan seperti ini.
Tetapi apabila kebenaran itu sampai, masa itu sudah terlambat untuk membetulkannya. Takut-takut UMNO tidak mampu menjadi parti pembangkang. Tengok sahaja di Selangor dan P Pinang, UMNO tidak berupaya menjadi pembangkang kerana UMNO hanya pandai melakukan satu kegiatan sahaja….iaitu berdemonstrasi. Itu pun tidak berani secara terbuka tetapi menggunakan NGO yang di namakan GAPS.
Di empat buah negeri UMNO telah terbukti tidak mampu menjadi kerajaan lagi lantaran ditolak oleh rakyat dan juga tidak mampu untuk menjadi pembangkang yang baik. Justru itu kita ingin bertanya terutamanya kepada empat buah negeri ini, apa yang UMNO mampu lakukan dengan baik? Jadi kerajaan telah pun ditolak rakyat dan apabila jadi pembangkang pun tidak menunjukan prestasi sebagai pembangkang yang baik.
Sebab itulah banyak pihak yang selalu mengingatkan kita…berubah jika tidak mahu diubah. Berikanlah kepada pemimpin yang mampu memimpin rakyat yang berbilang kaum ini. Jika kita tidak mampu memimpin dengan baik, jadilah penyokong yang baik pula.
No comments:
Post a Comment