DOLAK-DALIK Perdana Menteri tentang pilihan raya di negara ini, ibarat silat di dalam hujan.Walaupun beliau mendakwa pembangkang mencipta Bersih 2.0 akibat hilang momentum, terbukti itu tidak berasas.
Najib mengakui ada sedikit kelemahan dalam sistem pilihan raya, tetapi beliau mempertahankan adanya pilihan raya yang adil dan bersih selama ini.
Chandra memberitahu Najib, adalah suatu pembohongan besar jika dikatakan pilihan raya di negara ini penuh dengan penipuan. Itu kata Najib kepada 1,807 perwakilan MCA pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 58, minggu lalu, yang dikutip dari Chandra.
Apapun yang diucap Najib dalam kandang MCA itu, tentulah berniat untuk memburuk-burukan KeADILan, Anwar dan sekutunya. Dalam masa yang sama, beliau mahu orang-orang Cina memulihkan pengaruh dan wibawa untuk menolak DAP. Semuanya untuk membangkitkan kekuatan BN.
Hari ini, Umno-BN terpaksa bekerja keras mengembalikan pengaruh yang hilang. Tidak siapa tahu, kemenangan BN selama ini melalui taktik kotor yang mana satu. Pendedahan tentang “Projek IC” di Sabah mungkin salah satu taktik yang dibongkar.
Namun, sejak reformasi melanda pada tahun 1997 dengan penyumbatan Anwar ke dalam penjara, berlangsung tranformasi mendalam di kalangan rakyat yang sedar untuk memulihkan demokrasi.
Kebelakangan ini, isu pilihan raya menjadi isu penting sehingga badan bukan kerajaan seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) muncul menjadi kuasa pendesak unggul.
BN akhirnya akur dalam diam. Mereka enggan akui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen akibat daripada tekanan Bersih 2.0. Tetapi, Najib tidak menolak pilihan raya di Malaysia ada banyak kelemahan. Itu yang penting sekali.
Seperti yang digariskan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kelemahan itu telah lama didedahkan. Barangkali masa itu, BN masih gagah dan kuat berbanding hari ini. Banyak pembaharuan diutarakan, BN cuba menidakkannya kerana pembaharuan itu akan menikam dirinya semula.
Sebagai contoh, senarai pengundi yang bersih, jujur dan komprehensif dengan satu sistem pendaftar pengundi automatik boleh dilaksanakan dan setiap rakyat yang mencapai umur mengundi akan disenaraikan, berserta dengan proses pembersihan senarai pengundi.
Ini juga boleh menghapuskan semua pengundi hantu dan yang tidak sah. Malah, penurunan umur pengundi sah dari 21 kepada 18 tahun juga baik untuk direalisasikan.
Kempen pilihan raya yang adil, supaya pengundi diberikan masa yang cukup untuk mendapat segala maklumat yang diperlukan bagi mereka membuat keputusan yang sewajarnya dalam memilih parti dan calon yang disokongnya, juga syor yang munasabah.
Selain menghapuskan penyelewengan undi pos, SPR juga boleh memperkenalkan konsep kerajaan caretaker untuk melaksanakan tugas pentadbiran harian sepanjang tempoh selepas parlimen dibubarkan hingga ke hari pengundian di mana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dilarang dari menyalahgunakan kuasa, sumber atau dana jawatan rasmi mereka untuk sebarang tujuan kempen pilihanraya dan menghadapi risiko kehilangan kelayakan bertanding sekiranya mereka melanggari peraturan begini - sepertimana yang berlaku kepada Perdana Menteri India, Indira Gandhi dalam tahun 1975 di mana pemilihannya ke Parlimen didapati tidak sah kerana melakukan salahlaku pilihanraya dengan menggunakan sumber-sumber kerajaan termasuk helikopter kerajaan dalam kempen beliau.
Pembahagian kawasan pilihanraya yang adil dan demokratik supaya prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai” dipertahankan, juga patut dipertimbangkan jika demokrasi terbaik mahu ditonjolkan.
Soalnya, apakah ketelusan atas nama “pembaharuan” ini disenangi Najib? Tidakkah “pembaharuan” akan menjadi senjata makan tuan? Jadi apakah yang Najib mahu ubah, mahu dibaharukan... Ini kosmetik saja!
No comments:
Post a Comment