Kebelakangan ini ada timbul beberapa isu yang melibatkan warga Shah Alam. Oleh yan demikian, saya sebagai Ahli Parlimen ingin menjelaskan pendirian saya berhubung beberapa isu yang akan saya nyatakan di sini dan usaha saya untuk menanganinya.
KENAIKAN SEWA KOMPLEKS PKNS
Saya telah menyatakan beberapa kali kepada pihak berwajib bahawa saya secara peribadinya tidak bersetuju dengan kenaikan sewa secara mendadak yang ingin dikenakan oleh pihak PKNS di Kompleks PKNS. Walaupun saya faham bahawa kadar pasaran adalah jauh lebih tinggi, kenaikan secara mendadak akan pasti membebankan.
Saya telah dan akan terus meminta supaya keputusan tersebut dikaji semula. Setahu saya, pihak penyewa di Kompleks PKNS secara dasarnya bersetuju bahawa kadar sewa tersebut dinaikkan, hanya mereka memohon supaya ianya dinaikkan secara berperingkat dan dengan jumlah yang munasabah.
TENDER KERJA-KERJA PEMBERSIHAN MBSA
Saya telah dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan kawasan MBSA telahpun ditender dan pihak MBSA ingin menawarkan kontrak untuk kerja-kerja ini kepada pihak yang menawarkan harga terrendah. MBSA akan menawarkan kepada yang terrendah walaupun harganya tidak munasabah dan jauh berkurangan dari anggaran MBSA sendiri. MBSA telah menyatakan bahawa sekiranya akhirnya kontraktor berkenaan tidak terbuat kerja-kerja seperti sepatutnya oleh kerana harganya terlalu rendah, maka kontraktor itu akan disenarai hitam dan kerja-kerja tersebut akan ditender kembali.Saya turut difahamkan bahawa kebanyakan Ahli Majlis MBSA sendiri tidak setuju dengan pendekatan ‘cincai’ MBSA tetapi bantahan mereka tidak diindahkan.
Saya ingin menyatakan bahawa saya juga tidak bersetuju dengan pendekatan MBSA dalam persoalan ini sekiranya maklumat yang saya perolehi seperti di atas adalah benar. Sekiranya pihak MBSA sendiri mengetahui bahawa harga yang ditawarkan adalah terlalu rendah dan tidak munasabah berdasarkan maklumat dari QS kita sendiri, maka mengapa kita sengaja ingin mencari nahas? Sedangkan harga yang terlalu rendah akan menyebabkan berlakunya kualiti kerja rendah, curi tulang, penipuan dan juga rasuah.Amalan re-tender membuang masa (dan masa adalah juga wang) dan akan menyebabkan kerja-kerja terbengkalai. Apabila kerja-kerja terbengkalai, maka tanggung-jawab MBSA kepada penduduk TIDAK dipenuhi.
Warga Shah Alam yang merupakan klien MBSA perlu diutamakan tetapi atas sebab pendekatan yang tidak bijak, maka MBSA akan menganiaya mereka.Maka saya menyarankan agar MBSA mengamalkan apa yang biasa dilakukan oleh badan profesional di mana anggaran dilakukan oleh pihak QS yang mahir dan harga yang diterima semestinya 10% +/- dari anggaran ini. Saya harap pendekatan yang profesional dan bukan yang ‘cincai’ akan dapat diamalkan oleh pihak MBSA dalam persoalan ini dan juga dalam sebarang persoalan pengurusan majlis perbandaran.Ini perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya lebih-lebih lagi apabila kita ketahui bahawa ada syarikat-syarikat kroni yang mungkin akan sanggup menawarkan harga rendah walaupun terpaksa menanggung kerugian semata-mata untuk mencapai agenda tertentu mereka. Termasuk dalam agenda ini ialah untuk mensabotaj usaha murni MBSA dan kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan harga yang munasabah dan berpatutan.
Saya difahamkan bahawa kerja-kerja pengangkutan sampah turut akan ditender tidak lama lagi. Beberapa kontraktor pengangkutan sampah telah bertemu saya memohon supaya mereka terus ditawarkan kerja-kerja ini yang baru sahaja mereka ambil alih semenjak Alam Flora dihentikan. Mereka mendakwa bahawa tempoh masa hanya beberapa bulan tidak membenarkan mereka untuk mendapatkan pulangan ke atas pelaburan mereka. Kontraktor-kontraktor ini mendakwa bahawa mereka telah membantu MBSA apabila diperlukan, iaitu apabila Alam Flora ditamatkan perkhidmatannya, tetapi MBSA sekarang tidak mengindahkan masalah yang dihadapi mereka sekiranya ditamatkan perkhidmatan mereka melalui tender ini.Pada masa yang sama, dikhuatiri bahawa akan ada kontraktor ‘kamikaze’ yang akan menawarkan harga rendah dan tidak munasabah seperti untuk kerja-kerja pembersihan yang diceritakan di atas.
Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada MBSA, sekiranya apa yang dinyatakan oleh pihak kontraktor ini kepada saya adalah benar, supaya MBSA menawarkan kembali kontrak ini kepada kontraktor-kontraktor ini untuk tempoh 2 atau 3 tahun tetapi dengan terlebih dahulu mendapatkan diskaun dari mereka. Melalui ini kontraktor-kontraktor ini tidak akan dizalimi dan pada masa yang sama, penjimatan tetap tercapai. Diskaun sebanyak 10%, sebagai contoh akan mendatangkan penjimatan lebih kurang RM 40 Juta setahun kalau tidak silap saya.Tempoh 3 tahun pula akan menjamin tempoh perkhidmatan yang memungkinkan pulangan atas pelaburan dan selepas itu, proses tender secara profesional seperti yang disebut di atas dapat diamalkan. Tender ini akan mengamalkan kaedah menawarkan kontrak kepada pihak yang memberi harga yang rendah dan berpatutan di mana harga berpatutan akan berpandukan kepada anggaran QS yang mahir dan berkelayakan.
MASALAH BANJIR DI FOOD COURT SEKSYEN 2
Ini merupakan masalah yang berterusan semenjak food court ini dibuka dan ditadbir oleh pihak pembinanya sebagai sebahagian dari kaedah penswastaan oleh MBSA. Banjir dalam kawasan bawah bumbung food-court ini berlaku walaupun hujan tidak begitu lebat dan menyulitkan peniaga dan pelangan.Saya berpandangan bahawa masalah ini berpunca dari kesilapan rekabentuk bangunan dan pihak MBSA perlu bertindak segera untuk mengatasinya. Saya difahamkan bahawa peniaga telah membuat aduan berhubung masalah ini beberapa kali tetapi malangnya ianya tidak ditangani dengan cara yang berkesan hingga sekarang.Saya telah membuat aduan kepada pihak berwajib dan akan terus mendesak supaya masalah ini ditangani dengan segera.
MASALAH KESESAKAN LALU LINTAS ATAS SEBAB ADANYA MAJLIS DI I-CITY
Minggu lepas telah menyaksikan kesesakan lalu lintas yang teramat sekali di Lebuh Raya Persekutuan bagi pengguna yang menuju ke Klang. Puncanya adalah Majlis Sambutan yang diadakan di I-City.Saya telah beberapa kali menyatakan kekecewaan saya terhadap keadaan ini. Jawapan yang diterima ialah ianya akan diatasi apabila fly-over yang dicadangkan dibina. Saya tidak nafikan kebenaran kenyataan tersebut, tetapi yang saya pertikaikan ialah mengapa majlis seumpama itu terus diadakan dalam keadaan fly-over tersebut belum siap.Saya akan terus berusaha supaya pihak MBSA dan Kerajaan Negeri lebih perihatin terhadap kesusahan warga Shah Alam khususnya yang tinggal di Seksyen 7 akibat dari penganjuran Majlis di I-City. Status I-City sebagai pusat hiburan/pelancongan adalah tidak wajar memandangkan kedudukannya yang begitu dekat dengan kawasan perumahan dan ketiadaan infra-struktur yang mampu menampung trafik apabila program sebegitu besar diadakan.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
No comments:
Post a Comment